X Close

Jamal: Cinta dan dadah itu sama!

Diterbitkan: Khamis 28 Jun, 2007


Jamal kini berada di pusat pemulihan Pengasih
(Foto The Star Oleh TK Lim)

Ketika ditemui pada sidang media khas semalam di pusat pemulihan dadah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Jamal nampak semakin berisi dan kelihatan ceria. 

Penyanyi tersebut yang kini sedang menjalani sesi terapi fasa kedua di situ sejak sebulan lebih akui sudah menampakkan perbezaan berbanding sebelum memasuki pusat tersebut.

"Dulu ketika saya masuk Pengasih buat kali pertama, saya rasa saya mampu untuk teruskan kehidupan di luar. Rupa-rupanya saya gagal.

"Susah untuk saya lupakan 'benda' itu sebab ke mana-mana saya pergi, pasti saya akan teringat. Di dalam bilik persalinan untuk sebarang show, saya pasti akan teringat semula bagaimana sebelum mula sesebuah persembahan, saya akan ambil dulu benda itu.

"Bila emosi saya tertekan, pasti perkara itu akan saya buat. Secara tidak sengaja, ia sudah jadi way of life saya," ujar Jamal.

Penyanyi berusia 47 tahun itu akan menjalani sesi terapi di situ selama enam hingga lapan bulan akan datang. Jamal sebelum ini pernah memasuki Pengasih pada tahun 2006 selama enam bulan untuk sesi terapi fasa pertama.

Ditanya mengapa sehingga kini amat sukar untuk dirinya menjauhkan diri daripada dadah, Jamal sambil tersenyum berkata, dia memang pernah menyimpan azam untuk menjadi 'normal' seperti sediakala, namun dia akui amat sukar untuk berbuat demikian.

"Jika anda tanya mengapa saya tidak pernah cuba mengelak, bayangkan saja bagaimana perasaan kita ketika bercinta. Sewaktu bercinta, kita akan gembira bila kita hubungi orang yang kita cintai.

"Begitu juga jika dapat berjumpa, pasti perasaan gembira tu akan lebih. Begitulah juga yang saya rasa dengan 'benda' ini. Saya ibaratkan percintaan dan dadah adalah sama," kata Jamal.

Menurutnya, jika dia tidak terfikir untuk menjauhkan diri daripada dadah, masakan dia sanggup 'menyerah diri' menyertai semula Pengasih buat kali kedua.

"Kenapa saya sanggup lari ke sini semula? Sebab hanya di sinilah saya rasakan saya 'selamat'. Dulu saya tidak pernah dengar cakap mereka, tetapi sekarang saya sedar saya kena ikut apa yang mereka cakap.

"Tetapi, buat masa ini saya tidak boleh beri kepastian sama ada saya yakin dapat berhenti sepenuhnya selepas ini, tapi apa yang boleh saya katakan saya bersyukur kerana hari ini saya berada di Pengasih," ujar Jamal.

Walaupun sedang menjalani terapi di sana, Jamal masih lagi bebas untuk keluar berjumpa sesiapa saja mahupun memenuhi undangan persembahan di bawah pengawasan Pengasih.

"Bermula pada saat ini, semua urusan mengenai kerjaya saya akan dikendalikan oleh pihak Pengasih. Alhamdulillah, masih banyak tawaran yang saya terima. Bulan depan saya juga akan adakan konsert Malam Mengenang P.Ramlee di Universiti Sains Malaysia.

"Sekarang ini setiap hari saya akan bangun jam 6 pagi dan kemudian teruskan dengan kerja saya seperti menghafal lagu, lebih-lebih lagi untuk konsert tersebut," katanya.

Mengulas tentang penerimaan keluarga terhadap dirinya kini, ujar Jamal, keluarganya sentiasa memberikan sokongan padu terhadap dirinya, terutama ayahnya.


Jamal kini nampak sihat
(Foto The Star)

"Saya kagum dengan ayah saya. Kalau dulu saya pernah salahkan dia semua ini terjadi kerana dia tinggalkan saya dan pergi seberang laut, tetapi bila difikirkan semula dialah yang patut dijadikan contoh.

"Cuba bayangkan bagaimana dia menghadapi masyarakat atas apa yang saya buat. Dia amat tabah," jelasnya.

Jamal juga berkata, dia sendiri hairan mengapa peminat-peminatnya masih setia memberikan sokongan sehingga hari ini walaupun begitu banyak kontroversi yang melanda hidupnya.

"Minta maaf jika saya katakan, saya menyanyi selama ini adalah untuk diri saya sendiri, kerana menyanyi adalah satu hiburan pada saya dan boleh menenangkan tension. Kalau ada yang meminati saya, itu terpulang.

"Saya sendiri tertanya-tanya mengapa masih ramai yang beri sokongan. Mungkin juga kerana saya jujur dalam nyanyian saya. Saya tidak hipokrit.

"Kepada yang meminati saya, doakanlah agar saya dapat kembali pada jalan yang benar. Mungkin ada yang malu meminati saya selama ini, tetapi percayalah saya akan 'bayar' semula apa yang telah mereka berikan pada saya iaitu sokongan dan kemaafan mereka," ujar Jamal yang akan menghasilkan album terbarunya tidak lama lagi.

"Saya sudah ceraikan isteri"

"Saya sudah lafazkan cerai dengan talak satu kira-kira dua bulan lepas," luah Jamal secara ringkas tatkala diasak dengan soalan mengenai status rumahtangganya dengan isteri, Fatimatuzahra Samat, 24, ketika ini.

Jamal yang pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa memukul isterinya tidak lama dulu akui buat masa ini dia belum mempunyai niat untuk merujuk semula dengan isterinya itu.

"Perasaan sayang memang masih ada. Tetapi, sudah tiga kali sebenarnya dia minta cerai, saya sendiri tidak tahu kenapa. Yang pastinya memang kami sudah tiada jodoh.

"Saya tidak rasa dadah adalah sebab utama kami bercerai, selain dari jarak usia, saya rasa attitude masing-masing yang buatkan kami jadi macam ni. Sikap saya yang kuat cemburu dan dia yang tidak memahami saya.

"Saya tidak sepatutnya kahwin, kerana saya sendiri tidak 'mampu' menjadi suami yang baik. Saya adalah jenis yang memerlukan perhatian sebab saya 'sakit', tetapi saya tidak salahkan dia," ujar Jamal.

Menurutnya, dia juga tidak mahu memikirkan tentang soal perkahwinan lagi buat masa ini.

"Kenapa saya perlu berkahwin jika saya tidak layak. Sekarang ini saya hanya ingin betulkan diri saya terlebih dahulu, baru fikirkan benda lain," kata Jamal.

Penyanyi tersebut telah mendirikan rumahtangga dengan Fatima pada 16 Disember 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki Ahmad Zaki Osama yang berusia lima bulan.

Jamal juga mempunyai seorang anak lelaki, Osama Yamani, 6, hasil perkongsian hidup bersama Intan Nur Aina, yang merupakan perkahwinan keduanya.

Ditanya mengenai dakwaan dirinya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anaknya Osama, Jamal dalam nada tenang menafikan perkara tersebut.

"Saya akui, saya bukan ayah yang sempurna. Kalau nak cakap saya 100 peratus abaikan dia, itu tidak betul. Orang tidak faham saya, saya tidak sempurna kerana saya adalah penagih dadah.

"Saya memang tidak patut ada anak. Saya pernah berdoa supaya tidak dikurniakan anak kerana saya tidak mampu, tetapi Allah berikan juga rezeki itu. Mungkin ada hikmah.

"Cuma saya harap satu hari nanti orang tidak beri macam-macam tohmahan pada dia. Kalau nanti dia tidak mampu tanggung beban yang dilakukan oleh ayahnya ini, dia juga boleh hancur.

"Jadi, saya harap sangat kepada semua berilah kasih sayang kepada dia. Tolonglah. Saya cuma berharap agar satu hari nanti anak-anak saya akan bangga ayah mereka ini dapat pulih daripada dadah sepenuhnya," luah Jamal. 

iklan

iklan

Iklan