X Close

Gol & Gincu 2 dipenuhi konflik dan dilema

Diterbitkan: Jumaat 22 Jun, 2007

Bagi yang tidak pernah ketinggalan mengikuti drama bersiri Gol & Gincu yang disiarkan di saluran 8TV pada tahun lalu, drama popular yang membariskan pelakon sensasi Fazura, Sazzy Falak, Ashraf Sinclair dan Pierre Andre itu bakal kembali dengan musim keduanya tidak lama lagi.

Konflik di dalam kehidupan, percintaan, keluarga dan persahabatan - itulah elemen yang akan lebih banyak disaksikan di dalam musim terbaru Gol & Gincu yang akan memulakan siarannya pada 8 Julai ini, setiap Ahad.

"Kita telah mengembangkan watak-watak di dalam siri ini. Di dalam musim pertama, penonton telah dikejutkan dengan Reza (Pierre) yang menghidap penyakit HIV positif. Dalam musim kedua ini pula, penonton akan lihat bagaimana kekasihnya Putri (Fazura) belajar untuk memahami masalah itu.

"Karektor-karektor lain juga akan menghadapi pelbagai dilema antaranya masalah rumahtangga, kerjaya dan sebagainya.


Ashraf, Sazzy, Fazura dan Pierre terus menjadi tunggak utama Gol & Gincu musim kedua (Foto fail The Star)

"Semua isu yang kita ketengahkan adalah di dalam bentuk humor, sensitif dan memang menyentuh perasaan supaya semua lapisan penonton dapat menghayati jalan ceritanya," ujar penerbit eksekutif drama bersiri tersebut, Lina Tan.

Musim terbaru Gol & Gincu ini menampilkan barisan pelakon lamanya iaitu Lana Nordin, Melissa Maureen, Razif Hashim, Rafidah Abdullah, Zarina AF dan Celina Khor.

Dalam musim kedua ini, penonton akan disajikan dengan kesinambungan kisah Putri dan Reza yang kembali meneruskan hubungan cinta mereka dengan pelbagai konflik yang masih akan terus melanda, terutamanya dendam Ayu (Lana) yang cuba mencari jalan untuk memusnahkan hidup Putri.

Begitu juga dengan Shasha (Sazzy) dan Haikal (Razif) yang terpaksa menghadapi cabaran dalam percintaan mereka di mana kedua-duanya perlu membuat satu keputusan yang boleh menggugat masa depan hubungan mereka.

Watak Putri yang dipegang oleh Fazura lebih mencabar dalam musim terbaru

Tidak ketinggalan watak-watak lain seperti Ling (Celina) yang terpaksa mempertahankan hubungan cinta dengan kekasih barunya walaupun mendapat tentangan daripada bapanya serta Dayang (Zarina) yang jatuh cinta pada bekas kekasih rakannya, Zie (Rafidah) iaitu Ikan (Que Haidar).

Fazura lebih fahami tentang HIV

Bermula daripada filem Gol & Gincu yang kemudiannya dijadikan pula dalam bentuk drama bersiri, tidak dinafikan watak Putri lakonan Fazura memang benar-benar memberi impak kepada penonton.

Bukan kerana karektornya yang 'luar biasa', tetapi wataknya yang menggambarkan seorang gadis yang bijak, cantik, innocent serta bersemangat kental di dalam mengharungi perjalanan hidupnya, membuatkan watak Putri amat 'dekat' di hati penonton.

"Seronok bawakan peranan ini. Malah ketika saya berada di Singapura untuk mengendalikan MTV Juice, ada ramai juga yang tahu watak Putri ini.

"Putri untuk musim baru ini akan menghadapi lebih banyak dugaan. Cabaran bukan saja datang daripada Ayu, tetapi kali ini juga Putri akan hadapi dilema apabila ibunya mendapat tahu Reza menghidap HIV," kata Fazura.

Menurut pelakon berusia 24 tahun ini, sepanjang dia bersama produksi Gol & Gincu ini, pelbagai perkara  dipelajarinya, termasuklah isu-isu yang diketengahkan di dalam drama bersiri itu.

"Gol & Gincu memaparkan perkara sebenar yang berlaku di sekeliling kita. Ia tidak hipokrit. Melalui watak Puteri, saya sendiri banyak belajar pelbagai perkara, antaranya tentang HIV.

"Saya sendiri ada rakan yang menghidap HIV dan kami masih lagi berkawan hingga hari ini. Saya jadi lebih aware tentang perkara seperti ini dan semua ini saya rasa banyak saya pelajari dalam Gol & Gincu," ujarnya lagi yang kini masih lagi sibuk menjalani penggambaran drama musim kedua ini.

'Shasha', 'Putri' makin rapat

Di dalam Gol & Gincu versi filem, mereka berdua adalah musuh, lebih-lebih lagi kekasih

Shasha lakonan Sazzy terus dilanda dilema dalam percintaan

Shasha adalah bekas kekasih kepada Putri.

Musim pertama drama bersiri itu kemudiannya menyaksikan Shasha dan Putri bersahabat dan untuk musim baru ini pula, Sazzy berkata, kedua-dua watak tersebut akan menjadi bertambah rapat.

"Penonton boleh lihat dan belajar bagaimana persahabatan boleh terjalin walaupun mempunyai karektor atau perwatakan yang berbeza.

"Lihat saja Shasha dan Putri yang mula-mula bergaduh, tetapi kemudiannya boleh menjadi kawan baik. Mereka jadi lebih rapat dan sering berkongsi masalah," kata Sazzy.

Seperti mana pelakon-pelakon lain, menurut Sazzy, wataknya kali ini juga lebih mencabar terutamanya mengenai kisah cinta antara Shasha dan Haikal.

"Saya rasa ramai yang suka lihat 'drama' antara mereka berdua ini. Percintaan Shasha dan Haikal bukanlah seromantik Putri dan Reza. Mereka sering bergaduh tetapi kedua-duanya memang menyintai antara satu sama lain.

"Cuma kali ini Shasha akan ada love interest yang baru. Kenalah tonton apa yang akan berlaku pada hubungan dia dan Haikal nanti," jelas pelakon berusia 26 tahun ini.

Lana puas bawa watak kejam

Watak Ayu yang diwujudkan sejak musim pertama drama ini memang benar-benar menyerlahkan bakat lakonan Lana Nordin.

Malah, tuan empunya badan ini sendiri akui amat berpuas hati dengan peranan yang dipegangnya itu walaupun untuk musim baru ini, dia hanya akan muncul di dalam lima episod saja.

"Musim kedua ini akan memperlihatkan tranfomasi Ayu daripada gadis kampung kepada lebih trendy kerana dia ingin menjadi seperti Putri. Ayu akan jadi bertambah kejam dan berdendam dengan Putri.

"Tetapi, apapun saya seronok dengan watak yang saya pegang sebab ia lebih kepada ekspresi. Mungkin juga saya sesuai pegang peranan seperti ini sebab banyak kali juga saya bawa watak jahat di dalam drama-drama lain," ujar Lana yang akan memulakan penggambaran filem terbarunya Taiko tidak lama lagi bersama M. Nasir dan Eman Manan.

Gol & Gincu musim kedua akan mula disiarkan 8 Julai ini, setiap Ahad pada jam 10 malam di 8TV

iklan

iklan

Iklan