X Close

KASMA BOOTY - Hilangnya sebutir permata

Diterbitkan: Jumaat 1 Jun, 2007

Bukan hanya sebagai kakak tapi Allahyarhamah Kasma Booty umpama ibu kepada pelakon veteran Yusni Jaafar.

Di dalam nada yang tersekat-sekat dan sebak, Yusni memaklumkan kehilangan kekanda tercintanya, primadona filem Melayu Kasma Booty yang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir jam 2 pagi tadi setelah sekian lama mengidap komplikasi paru-paru berair.

"Semasa arwah mengandungkan Cempaka, dia juga menjadi ibu susu saya ketika itu kerana ibu kami sibuk bekerja," jelas ibu Yusni ketika dihubungi.

Bagi Yusni, keakraban kedua mereka sukar untuk diterangkan dengan kata-kata.

"Makan ibu dijaga, pakaian ibu dijahit dan segala masalah ibu dikongsi bersama. Keadaan ibu sekarang samalah macam kehilangan seorang emak....," jelas Yusni lagi yang juga mempunyai seorang lagi saudara tiri bernama Sukani Jaafar.

"Kami lapan beradik kesemuanya tapi berlainan ayah. Arwah Kasma yang paling tua. Walaupun berlainan ibu, kami cukup rapat," kata Yusni lagi.

Kasma yang lahir di Kiasaran berdekatan Medan, Sumatera, Indonesia adalah seniwati Melayu berdarah kacukan Belanda-Jawa dan begitu rupawan sekali paras wajahnya.

Kasma terkenal dalam bidang lakonan pada akhir tahun 1940-an hingga pertengahan tahun 1960-an.

Jenazah Allahyarhamah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Klang Gate selepas Zohor hari ini.

Di zaman kegemilangannya Kasma berusia 75 tahun pernah mendapat jolokan sebagai Liz Taylor dan Ratu Filem Melayu kerana kejelitaan paras wajahnya.

Kecantikan Kasma amat mempesonakan sehingga dia dilamar menjadi bintang filem oleh Shaw Brothers pada 1947 untuk filem Chempaka arahan BS Rajhans, pada usianya 14 tahun.

Bersama dengan Shaw Brothers di Singapura, Kasma turut membintangi filem Pisau Berachun arahan BS Rajhans, Noor Asmara (BS Rajhans), Rachun Dunia (BS Rajhans), Dewi Murni (BS Rajhans) dan Manusia (S Ramanathan).

Kasma memulakan karier lakonan di usia muda disebabkan kesempitan hidup. Di antara filem yang dibintanginya ialah Chempaka, Pisau Berachun, Nur Asmara, Rachun Dunia, Bakti, Dewi Murni, Sejoli, Juwita, Manusia, Mahsuri, Keris Sempena Riau, Selendang Merah, Siti Payung, Ratapan Ibu, Tangkap Basah, Anak Manja dan Ragam P Ramlee.

Pada tahun 1958, atas permintaan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Kasma berlakon filem Mahsuri terbitan Cathay Keris.

Pada era akhir pembabitannya dalam lakonan, Kasma banyak berlakon dalam filem terbitan Studio Merdeka di Hulu Klang. Antaranya filem Keris Sempena Riau arahan L Krishnan, Selindang Merah (L Krishnan), Siti Payong (Salleh Ghani), Ratapan Ibu (L Krishnan), Tangkap Basah (Salleh Ghani), Anak Manja (Salleh Ghani) dan Ragam P Ramlee (P Ramlee).

Pada tahun 1952 pula, Kasma berhadapan dengan kontroversi terhadap pengurusan Shaw Brothers sehingga beliau membuat keputusan menarik diri daripada membintangi filem Antara Senyum Dan Tangis.

Kasma juga merupakan satu-satunya pelakon yang mendapat bayaran paling mahal pada waktu itu iaitu RM1,500 untuk satu filem berbanding pelakon lain yang hanya menerima kurang separuh daripada bayaran itu.

Namun setelah membintangi hampir 20 buah filem Kasma bertekad meninggalkan dunia seni pada tahun 1992.

Filem pertama lakonan beliau ialah Cempaka keluaran 1947 oleh Shaw Brothers dan berlakon di samping seniman Maroeti. Kasma telah digandingkan dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pada tahun 1950 dalam filem Bakti, arahan Datuk L.Krishnan. 

Setelah filem Bakti mendapat mendapat sambutan hebat dan Kasma membintangi filem Sejoli (1951) arahan BS Rajhan dan filem Juwita (1951) yang diarahkan oleh S Ramanathan.

Tak lama kemudian, Kasmah menyertai Studio Merdeka dan terus berlakon dalam filem-filem seperti Anak Manja (sebagai ibu kandung Mustapha Maarof dan ibu tiri kepada Abdullah Chik) dan Ragam P. Ramlee (slot Damaq bersama P. Ramlee sendiri).

Di atas permintaan P Ramlee, Kasma bersetuju untuk berlakon bersamanya sekali lagi menerusi filem Damak pada tahun 1967.


Sebelum bergelar bintang filem, Kasma terlebih dahulu bergiat sebagai pelakon bangsawan dengan kumpulan Rayuan Asmara di Medan pada usia belasan tahun. Kesempitan hidup mendorong Kasma untuk berdikari dan sejak belasan tahun lagi, Kasma telah membawa diri merantau ke Malaysia, waktu itu Malaya, dan mendapat kerja sebagai pelakon bangsawan di Pulau Pinang dan Singapura.

Kasma Booty adalah kakak tiri kepada pelakon Yusni dan Sukari Jaafar. Mereka adalah saudara sama ibu tetapi berlainan ayah. Ibunya, Kasmini, pernah berkahwin pelakon Ulong Jawa dan kemudiannya dengan seorang alim bernama Rosli tetapi jodoh mereka tidak panjang. Beberapa tahun kemudian, Kasmini berkahwin dengan Jaafar Sidek dan dikurniakan tiga anak Yusni (pelakon), Yusna dan Yusno. Jaafar pula berkahwin dengan Aishah dan mendapat seorang anak, Sukarni.

Di usia tuanya, Kasma banyak menghadapi masalah kesihatan dan banyak menghabiskan masa menumpukan perhatian terhadap ibadahnya dan duduk bersama anak-anak dan cucunya di kediamannya di Klang Gate, Hulu Klang. Perkahwinannya dengan Jacob Booty dikurniakan lima anak.

Hasil perkahwinannya dengan Allahyarham Booty Jacobs, pasangan bahagia itu dikurniakan lima orang cahaya mata, Chempaka, 57, Asmara, 56, Kesuma, 55, Suria (meninggal dunia) dan Purnama. Kasma Booty atau nama sebenarnya Kasmah Abdullah juga dikurniakan 12 cucu dan seorang cicit.

Kesemua nama anak-anaknya diambil sempena judul filem yang pernah dibintangi atau lagu yang pernah dinyanyikannya.

Anak sulungnya bernama Chempaka ketika Kasma sedang hamil sewaktu berlakon filem pertamanya Chempaka. Anak keduanya dinamakan Asmara ketika hamil dalam pembikinan filem Noor Asmara. Anak ketiga pula bernama Kesuma, sempena lagu Kesuma yang dinyanyikannya ketika berlakon filem Dewi Murni.

Anak keempatnya Suria mendapat nama ketika menyertai Kasma kumpulan sandiwara, Booty Suria Negara. Dan anak bongsunya pula diberi nama Purnama sempena nama bulan untuk anak bongsunya.

Kasma mempunyai ciri-ciri ibu yang sejati dan penyayang. Sepanjang hayatnya dia sering menekankan pada adik beradik dan anak-anaknya perlu bersatu hati.

"Arwah suka buat makan-makan dan panggil semua keluarga berkumpul. Di situlah dia akan menasihatkan apa yang tidak betul. Dia lembut orangnya, tidak suka meninggikan suara. Dia cukup pentingkan maruah diri dan nilai kekeluargaan.

"Dia pernah pesan. Katanya walau ibu tak ada nama Booty akan disebut-sebut. Jadi, jagalah nama itu baik-baik," kata Yusni yang cukup terasa kehilangan kanda tersayang.

"Kenangan yang ditinggalkan sampai matipun ibu tidak boleh lupa. Dialah kakak, dialah mak....," kata Yusni mengakhiri perbualan.

FILEM DAN PENCAPAIAN

- Kasma bersama Shaw Brothers di Singapura - Chempaka (1947), Pisau Berachun (1948), Noor Asmara (1949), Rachun Dunia (1950), Bakti (1950), Dewi Murni (1950), Sejoli (1951), Juwita (1951) dan Manusia (1951)

-  Bersama Studio Cathay Keris, Singapura: Mahsuri (1958), atas permintaan Perdana Menteri Malaya, Tuanku Abdul Rahman

-  Studio Merdeka di Hulu Klang: - Keris Sempena Riau (1961), Selendang Merah (1962), Siti Payung (1962), Ratapan Ibu (1962), Tangkap Basah (1963), Anak Manja (1963), Ragam P Ramlee (1965) dan Damak (1967)

 - Memenangi Anugerah Merak Kayangan bagi Pelakon Wanita Veteran di Pesta

-   Filem Malaysia ke-7 di Melaka pada 1987 dan Anugerah khas juri di Pesta Filem Asia Pasifik ke-35 di Kuching pada 1990.

iklan

iklan

Iklan