X Close

Kenji laksana tanggungjawab jiwai watak Cheng Lock

Diterbitkan: Rabu 23 Mei, 2007

MELAKONKAN watak-watak tokoh-tokoh sejarah bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi jika tokoh tersebut memainkan peranan yang amat penting di dalam pembentukan masyarakat di negara ini.

Inilah cabaran dipikul pelakon dan pengarah Kenji Sawahii yang diberi mandat untuk melakonkan watak pejuang kemerdekaan dan presiden parti MCA yang pertama, Tun Tan Cheng Lock.

Teater Muzikal Cheng Lock, arahan pengarah Lokman Ab Ghani dan Chin Chee Peng serta menampilkan Suhaimi Md. Zain atau  Pak Ngah selaku pengarah muzik akan memulakan pementasannya di Istana Budaya esok.

Kenji digandingkan dengan pelakon dan bekas Ratu Cantik Astro Chinese International Felina Cheah yang melakonkan watak Toh Puan Yeo Yeok Neo, isteri kepada Cheng Lock.


Kenji dan Felina melakar sejarah sendiri apabila menjadi pasangan pertama yang melakonkan watak Cheng Lock dan Yeok Neo di dalam bentuk teater muzikal.
(Foto The Star oleh Brian Moh)

Menurut Kenji, tawaran untuk melakonkan watak utama pementasan muzikal tersebut datangnya dari Lokman yang menghubunginya sewaktu dia sedang menjalani penggambaran di Sekinchan.

"Walaupun jarang berlakon teater, saya amat menghormati dan mengagumi penggiat-penggiat seni ini.  Saya memang mencari peluang untuk menimba pengalaman berteater," ujar Kenji yang pernah menjayakan teater Landasan pada tahun 1999.

Maka apabila ditawarkan watak Cheng Lock, Kenji berkata dia terkedu.

"Saya meminta masa untuk berfikir tetapi Lokman meyakinkan saya dengan berkata bahawa pengalaman saya berlakon dan mengarah di dalam dan luar negara selama 22 tahun tidak akan lengkap jika saya tidak membawa watak Cheng Lock ini," katanya lagi.

Kenji berkata dia mula merasakan tekanan pementasan tersebut selepas seminggu berlatih dialog bersama-sama pelakon-pelakon yang lain seperti Louisa Chong, Abon dan Jalaluddin Hassan.

"Bayangkanlah, bukan sahaja berlakon tetapi saya juga terpaksa menari dan menyanyi!" ujar pelakon dan pengarah berusia 44 tahun ini.


Salah satu babak yang menyayat hati di dalam Muzikal Cheng Lock
(Foto The Star)

Namun Kenji mendapat semangatnya kembali setelah melihat penari-penari bertungkus-lumus berlatih untuk pementasan tersebut yang skripnya ditulis oleh Abdul Wahid Nasir dan Soon Tien Yang.

"Hati saya tersentuh apabila kami mula berlatih bersama-sama.  Lantai yang saya pijak basah dengan keringat mereka.  Adakalanya saya melihat darah terpalit di lantai kerana ada di antara mereka yang luka-luka kerana bersungguh-sungguh menjiwai watak yang diberikan walau hanya untuk satu babak," ujar Kenji.

Kenji berkata kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli produksi tersebut memberikannya semangat untuk berusaha lebih keras kerana tidak mahu menghampakan mereka.

"Mereka memberikan lebih dari 100% untuk "menghidupkan" Cheng Lock, jika saya tidak memberikan yang terbaik, malulah saya untuk menghadapi mereka," ujarnya sambil menambah bahawa dia menolak beberapa tawaran berlakon termasuk untuk sebuah produksi filem di Singapura kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Muzikal Cheng Lock ini.

"Saya amat menyedari tanggungjawab berat yang saya pikul setelah menerima watak ini. Setiap hari saya mempelajari sesuatu yang baru yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan lakonan yang mantap untuk pementasan ini," ujarnya lagi.

Cheng Lock - pemimpin berjiwa rakyat

Teater musikal Cheng Lock mengisahkan perjuangan Tun Tan Cheng Lock, pengasas parti politik MCA, membela nasib kaum Cina di Malaya sewaktu pemerintahan British.

Anti komunis, Cheng Lock berusaha memajukan kaum Cina di Malaya dan berganding bahu bersama-sama pemimpin-pemimpin Umno dan MIC untuk menuntut kemerdekaan dari pihak British dan memerangi anasir-anasir komunis.

Cheng Lock juga mengimpikan kerakyatan bagi semua orang-orang Cina yang menetap di Malaya ketika itu.

Menurut Kenji, untuk mengenali karektor pemimpin yang disegani itu, dia turut ke Melaka bersama-sama beberapa krew produksi untuk mendapatkan gambaran kehidupan Cheng Lock.


Tegas...Cheng Lock membantah penindasan askar British terhadap orang-orang Cina
(Foto The Star)

"Saya boleh bayangkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang penyayang dan murah hati.  Dia memasuki arena politik untuk berkhidmat kepada negara dan bangsa dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.

"Saya juga dapat memahami mengapa beliau amat berharap bahawa orang-orang Cina menerima Malaya sebagai tanah air mereka dan tidak lagi menumpukan perhatian mereka kepada politik di tanah besar Cina," katanya lagi.

Muzikal Cheng Lock dipentaskan mulai 25 Mei sehingga Jun 30 bersempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara oleh Istana Budaya dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia dan biro Kebudayaan MCA.

Tiket-tiket untuk malam gala pada 30 Mei telah habis dijual tetapi orang ramai masih boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM20, RM30 dan RM50 untuk tarikh-tarikh yang lain.

Hubungi Istana Budaya di 03-40265558 atau e-mel www.boxoffice@istanabudaya.gov.my. Layari laman web mereka di www.istanabudaya.gov.my 

iklan

iklan

Iklan