X Close

Kaunseling untuk wanita hadapi isu rumahtangga

Diterbitkan: Selasa 22 Mei, 2007

KUALA LUMPUR:  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menyediakan perkhidmatan kaunseling dan program motivasi secara percuma kepada golongan wanita yang menghadapi masalah rumahtangga.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk G. Palanivel berkata perkhidmatan itu disediakan kepada wanita bermasalah tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

"Khidmat percuma itu disediakan di ibu pejabat JPW serta 13 buah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara," katanya ketika menjawab soalan Senator Heng Seai Kei pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Palanivel berkata tahun lepas JPW telah menerima sejumlah 1,575 kes aduan wanita mengenai pelbagai masalah seperti keganasan rumahtangga, tuntutan nafkah dan perceraian.

Selain perkhidmatan kaunseling, tahun lepas JPW telah menganjurkan 29 buah program motivasi dan pengurusan emosi untuk wanita agar mereka mampu menangani masalah hidup dengan lebih positif, katanya.

Katanya sejumlah RM195,700 telah diperuntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tahun lepas untuk melaksanakan program tersebut. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan