X Close

Hari Ibu bersama Jamal penuh penyesalan?

Diterbitkan: Selasa 15 Mei, 2007

BAGI mereka yang meminati Jamal Abdillah, tiada sebarang kontroversi pun yang dilaporkan tentang penyanyi bersuara emas ini yang boleh menggugat kesetiaan mereka.

Apa pun cerita-cerita negatif yang didedahkan oleh media tentang Jamal, semuanya tidak memberi kesan terhadap populariti penyanyi yang hampir mencecah umur separuh abad ini.

Seorang teman yang kini berada di luar negara, Huda Dato' Mohd Nor, pernah berkata, "Saya tak perduli tentang hal peribadinya. Saya mengkagumi suaranya yang sehingga kini pun masih gemersik seperti dulu. His voice is like a fine wine, it has only improved with age."

Huda adalah di antara ribuan peminat Jamal yang tidak jemu-jemu mengikuti dan memberi sokongan terhadap perkembangan kareer penyanyi yang sentiasa murah rezeki ini.


Sehingga bila Jamal Abdillah perlu bergantung kepada suaranya sahaja?
(Foto ihsan Utusan)

Maka tidak hairanlah jika Jamal tetap dicari untuk menjayakan rancangan-rancangan televisyen, konsert-konsert amal dan majlis-majlis khas.

Terbaru, Jamal menghiburkan lebih 500 tetamu di Sogo City Arena yang terletak di kompleks membeli-belah Sogo bersempena dengan sambutan Hari Ibu yang dianjurkan oleh Hotel Quality, Kuala Lumpur.

Sokongan yang diberikan kepada Jamal memang padu dan majlis yang bertemakan "Kasih Ibu Membawa Ke Syurga" ini berjalan lancar dari awal hingga akhir walaupun ramai yang berdebar-debar menanti kemunculan penyanyi yang baru-baru ini dikatakan berhadapan dengan masalah rumahtangga pula.

Jamal membuka tirai persembahannya dengan lagu Gadis Melayu dan walaupun vokal penyanyi kelahiran Bintang RTM ini masih mantap, dia jelas tampak gusar.

Dari mula sehingga akhir persembahan, Jamal bagaikan mencipta sebuah jurang yang besar agar tiada yang dapat mendekati hatinya.

Walaupun mengucapkan penghargaan atas kehadiran para tetamu, sekali pun Jamal tidak turun dari pentas untuk menemui atau bersalaman dengan penonton seperti yang biasa dilakukan oleh penyanyi-penyanyi lain di majlis-majlis sedemikian.

Bapa kepada dua orang anak ini bagai 'bersembunyi' di atas pentas dan hanya mengalunkan suaranya untuk dinikmati oleh mereka yang ada.

"Pandanglah apa yang saya nyanyikan...jangan pandang pada perangai saya," ucap Jamal yang bagai merasakan pandangan-pandangan mata yang menghukum dirinya selepas menyanyikan lagu Kau Lupa Janji.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidullah Ali mendendangkan lagu-lagu seperti Keluhan Perantau, Penyiksaanku, Perjalananku, dan lagu-lagu yang pernah mempopularkan dirinya.

Perasaan syahdu menyelubungi apabila Jamal menyanyikan lagu Kepadamu Kekasih dengan penuh penghayatan.  Sungguh dalam maksud bait-bait lirik lagu tersebut dan Jamal bagaikan melahirkan penyesalannya di dalam lagu ciptaan M.Nasir itu.
 
Jamal turut tidak dapat menahan sebak apabila mendendangkan lagu Kasihnya Ibu yang didedikasikan untuk ibu-ibu dan bapa-bapa yang hadir.

Jamal yang sedang berdiri tiba-tiba duduk bertinggung dan menundukkan kepalanya ke lutut kerana tidak dapat menahan kesedihannya.

Mungkin terkenangkan anak-anaknya Osama dan Yamani, Jamal tidak dapat menyanyikan rangkap kedua lagu tersebut; "Kasihnya ayah...Sanggupkah berpisah? Dan kasih anaknya...Berkorban nyawa...Biar pun jiwa...Akan tersiksa...Ikhlas dan rela...Asal kau bahagia."

Tetamu yang hadir hanya mampu bertepuk tanda memberikan sokongan dan Jamal kemudiannya bangkit untuk menyanyikan lagu Syurga Itu Di Telapak Kaki Ibu.

Sepanjang persembahannya, beberapa kali Jamal terlupa lirik tetapi dengan rela mengakui bahawa dia "sudah tua" dan ingatannya telah berkurangan.

Apabila menyanyikan lagu Seroja, Jamal seperti di alam sendiri dan menyanyi tidak mengikut tempo.  Puaslah pula pemain keyboard mengejar tempo Jamal.  Begitulah juga apabila mendendangkan beberapa lagu seperti lagu Inggeris Honesty, Jamal hilang punca dan seperti "main tibai sahaja".

Adakalanya Jamal seperti bercakap seorang diri kerana tidak jelas butir-butir percakapannya.

Namun sempat juga Jamal menyampaikan sebuah cerita lawak dan menunjukkan kebolehannya bermain keyboard dan gitar.

Kehebatannya vokalnya juga usah dipertikaikan apabila Jamal secara spontan menyanyikan intro Ghazal Untuk Rabiah.

"Lagu ini lagu duet, lagipun selalu sangat nyanyi lagu ini...tapi bolehlah saya nyanyikan sedikit," katanya yang tidak mahu menghampakan permintaan salah seorang tetamu.
 
Sebelum meninggalkan majlis dengan kawalan ketat, Jamal turut akur dengan permintaan pengacara Dee untuk menyanyikan lagu Tidurlah Wahai Permaisuri secara unplugged dan mungkin kenangan itulah yang dibawa oleh peminat-peminat wanita Jamal ke alam mimpi pada malam hari tersebut.

iklan

iklan

Iklan