X Close

Pereka tari Yannus akan kurangkan intimasi antara penari

Diterbitkan: Rabu 25 Apr, 2007

Artikel ini disiarkan pada 04-04-2007 01:46:05 PM


Yannus dipilih sebagai pereka tari dan juri
(Foto The Star Oleh Norafifi Ehsan)

Teka-teki siapakah hakim yang bakal menilai serta memberi kritikan pada penari-penari amatuer menerusi rancangan So You Think You Can Dance? kini sudahpun terjawab.

Nama-nama gah di persada dunia seni persembahan tempatan seperti Ramli Ibrahim, Pat Ibrahim, Judimar Hernandez serta penari profesional dari Australia iaitu Yannus Sufandi diumumkan sebagai panel juri ketika sidang akhbar kedua So You Think You Can Dance? bertempat di C-18 Bangsar baru-baru ini.

"Saya merasakan pilihan hakim kami tepat. Siapa tidak mengenali Ramli Ibrahim, antara pelopor pertama di Malaysia dalam tarian India?

"Saya merasakan bahawa pengalaman serta kredibiliti Ramli sememangnya tiada tolok bandingannya untuk bersama-sama mengemudi rancangan ini," ujar Sunil Kumar selaku penerbit rancangan tersebut mengenai Ramli Ibrahim yang sudah memahat dirinya sebagai penari profesional selama lebih 30 tahun.

Ramli yang memulakan kerjaya seninya sebagai penari di peringkat antarabanga menerusi Sydney Dance Company selama enam tahun adalah seorang penari yang begitu mahir dalam tarian seperti ballet, tarian moden dan tarian klasik India.

Malah, beliau turut menjadi guru tarian Bharatanatyam dan Odissi terulung di Malaysia dan antara penari yang paling dihormati di dunia sebelah sini.

Manakala pemilihan Pat Ibrahim pula berdasarkan pengalamannya mereka tari tarian fusion iaitu campuran tradisional dan kontemporari.

"Hasil kerja Pat menerusi video klip Asmara Dana menunjukkan kebolehannya menggabungkan pelbagai konsep tarian serta membawa unsur-unsur kemodenan yang relevan kepada penggiat tarian di Malaysia," ujar Sunil mengenai penglibatan Pat yang begitu sinonim dengan filem Puteri Gunung Ledang itu lagi.

Namun, pemilihan dua orang penari asing sebagai juri dipersoalkan ketika sidang akhbar pada petang tersebut.

Tindakan ini mungkin dilihat sebagai mencabar kredibiliti penari-penari profesional tempatan yang dianggap tidak layak untuk mengadili rancangan tersebut.

"Kami mahukan yang terbaik. Kedua-dua mereka, Judimar dan Yannus mempunyai pengalaman serta kebolehan luarbiasa.

"Mereka sudah menempah kejayaan di peringkat antarabangsa serta ada yang pernah menari dengan artis-artis antarabangsa.

"Yannus mempunyai pengalaman yang menakjubkan di mana dia pernah menari bersama Kylie Minogue, Janet Jackson dan Sugar Babes. Malah kepakarannya dalam bidang tarian konsep hip hop, funky dan Jazz sememangnya diiktiraf oleh pelbagai pihak," ujar Sunil lagi mengenai pemilihan penari yang berasal dari Australia itu lagi.

Menurutnya lagi, pemilihan Judimar yang merupakan penari dan tenaga pengajar profesional adalah disebabkan Judimar sudah berpengalaman mengajar penari-penari muda di Malaysia selama berbelas tahun.

"Judimar mempunyai pengalaman luas dari segi mengajar. Malah, dia sudah menetap di Malaysia selama 15 tahun dan sudah mengenali budaya dan adat resam kita," ujar Sunil mengenai pemilihan pensyarah Akademi Seni Kebangsaan yang berasal dari Venezuela itu.

Apa kriteria seorang pemenang?

Dengan empat orang juri yang mempunyai kredential sebagai penari berkaliber, sudah semestinya harapan serta standard pertandingan ini akan meningkat.

Apakah kriteria yang diinginkan oleh keempat-empat orang juri ini?

"Yang pentingnya mereka yang bertanding harus mempunyai star quality yang menonjol. Dia seharusnya berkarisma dan mampu menggamit emosi mereka yang meyaksikannya menari," begitulah harapan pemilik Sutra Dance Theater, Ramli Ibrahim tentang syarat wajib yang mesti ada pada pemenang program realiti 'So You Think You Can Dance?' yang diadaptasi dari Amerika Syarikat.

Manakala untuk Pat, dia mencari seorang penari yang mampu menonjolkan identiti mereka yang sebenarnya.

"Saya mahu dia mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dan kita dapat berbangga dengan kebolehannya itu," ujar Pat lagi.

"Memandangkan majoriti penari di Malaysia sentiasa terikat dengan satu konsep tarian, saya mahu mencari seorang penari yang versatile. Dia harus mampu keluar daripada kepompongnya untuk mencuba sesuatu yang baru," Judimar.

Untuk juri yang turut bertindak sebagai pereka tari So You Think You Can Dance?, Yannus mahukan seorang yang berkerja kuat serta sanggup bekerja keras untuk  menjadi yang terbaik.

"Saya mahu melihat semangat yang membara serta ketulusan sewaktu diamanahkan sebarang tugasan.

"Malaysia mempunyai banyak bakat-bakat yang belum digilap lagi dan saya berharap bakat-bakat ini dapat ditonjolkan menerusi program ini. Biar satu Malaysia tahu bahawa terdapat banyak bakat-bakat terpendam di negara ini," ujarnya lagi.

Format bakal diubahsuai?

Setelah menapis kira-kira 600 yang hadir selama dua hari ujibakat di Kuala Lumpur, panel juri berjaya memilih 40 peserta untuk menyertai Boot Camp.

Setelah seminggu dikerah dan diuji tahap kemampuan serta daya tahan mereka, hanya 20 orang yang terdiri daripada 10 peserta wanita dan 10 peserta lelaki dipilih untuk peringkat penyingkiran.

"Mereka akan bertanding secara berpasangan setiap minggu. Juri akan memilih tiga pasangan yang mendapat markah terendah dan kemudiannya pengundi-pengundi akan memilih siapa yang harus dikeluarkan," ujar Sunil mengenai format pertandingan tersebut.

Rancangan yang merupakan adaptasi pertama di Asia ini akan mengekalkan konsep-konsep tarian yang dipertandingkan di Amerika Syarikat.

"Mereka akan diuji menerusi tarian Jazz yang termasuk Kontemporari serta Lyrical Jazz, serta Hip Hop termasuk Reggae dan House. Mereka turut akan diuji tarian Amerika Latin seperti Salsa.

"Tarian klasik seperti Quick Step dan Swing turut akan diselitkan lagi," jelas Yannus mengenai variasi tarian yang akan menjadi ujian serta penentu kepada kebolehan mereka yang bertanding.

Pihak produksi turut diasak mengenai tarian-tarian yang bakal melanggar batasan norma. Yannus selaku pereka tari rasmi rancangan tersebut berjanji bahawa mereka akan mematuhi adat resam dan budaya tempatan.

"Cara di Amerika Syarikat sememangnya lain daripada negara-negara Asia. Saya memahami bahawa orang Asia masih berpegang teguh kepada adat resam mereka.

"Oleh itu, saya akan memberi fokus yang banyak terhadap ekspresi diri dalam tarian serta kemampuan mereka menguasai pelbagai jenis tarian.

"Saya akan kurangkan intimasi di antara penari-penari untuk menghormati tatasusila orang tempatan," tegas penari yang dilahirkan di Indonesia itu lagi.

Rancangan So You Think You Can Dance? bakal memulakan siaran pada Khamis ini jam 9.30 malam. Manakala, pusingan penyingkiran akan bermula pada bulan Mei kelak.

iklan

iklan

Iklan