X Close

Mat Indon pecah masuk Konsert Rentaq Serantau

Diterbitkan: Isnin 5 Feb, 2007


Namun Kehangatan Inul Darasista menyelamatkan ribuan penonton-penonton di stadium tersebut terutamanya di kalangan Mat-Mat Indon yang berpusu-pusu menghampiri pentas utamanya
(Foto mStar Online Oleh Radin Sri Ghazali)

Hampir 10,000 orang membanjiri Stadium Melawati Shah Alam pada malam Sabtu yang lalu untuk menyaksikan pertembungan muzik di antara dua negara yakni Malaysia dan Indonesia.

Konsert Rentaq Serantau menampilkan nama-nama yang gah dalam persada muzik nusantara seperti Search, Radja, Ella dan Inul yang jarang sekali dilihat berkongsi pentas bersam-sama.

Konsert yang sepatutnya bermula pada jam 8 malam bermula satu jam lambat daripada yang dijadualkan.

Penyanyi yang tidak dikenali, Mahera menjadi pembuka tirai kepada konsert itu. Penyanyi yang dikatakan berasal dari negara Singapura itu menyanyikan tiga buah lagu termasuk Ku Akui serta lagu rancak nyanyian Agnes Monica, Tiada Logika dan persembahannya hambarnya sekali.


Sesungguhnya lenggokan serta gelek gerudi penyanyi yang berasal dari Bandung ini bagaikan mengancam kewarasan lelaki-lelaki yang terbuai-buai melihat persembahannya itu
(Foto mStar Online)

Suaranya bagaikan tenggelam timbul serta tarian yang dilakukan juga kurang menjadi.

Namun kehangatan goyang gerudi Inul Darasista bagaikan penyelamat kebosanan ribuan penonton-penonton di stadium tersebut terutamanya di kalangan Mat-Mat Indon yang berpusu-pusu menghampiri pentas utamanya.

Penyanyi lincah tersebut memulakan persembahannya dengan lagu yang berjudul SMS. Lenggokan serta gelek gerudi penyanyi yang berasal dari Bandung ini bagaikan mengancam kewarasan penonton lelaki yang bagai terpaku dan terbuai-buai melihat persembahannya itu.

Mungkin mahu mengambil hati peminat-peminat Malaysianya, Inul mendendangkan dua buah lagu yang pernah popular di Malaysia iaitu Nirmala dan Sahara.

Tercunggap penulis melihat kemampuan vokal penyanyi itu ketika membawa lagu Nirmala.

Suaranya yang mantap memukau penonton ketika menyanyikan intro kepada lagu yang pernah dipopularkan oleh Dato Siti Nurhaliza itu.

Kelincahan Inul disambung dengan lagu-lagu seperti Goyang Inul , Sedang Ingin Bercinta, Bang Toyib dan Bintang Dara.

Indah khabar daripada rupa - hanya itulah saja kesimpulan yang dapat dibuat setelah melihat persembahan Ella
(Foto mStar Online)

Setelah menyanyikan lapan buah lagu, Inul akur dengan kesuntukan masa lantas mengundurkan diri untuk memberi ruang kepada ratu Rock negara, Ella.

Indah khabar daripada rupa - hanya itulah saja kesimpulan yang dapat dibuat setelah melihat persembahan Ella. 

Ramai yang hampa dan terkejut apabila penyanyi yang berusia 41 tahun itu hanya menyanyikan empat buah lagu termasuk Kesal, Nuri dan Jujur.

Bagaikan sukar untuk percaya bahawa hampir kesemua lagu yang dinyanyikan tidak lengkap dan membuat ramai peminat terpinga-pinga apabila Ella meninggalkan pentas utama dalam masa kurang daripada  20 minit.


Stadium Melawati digegarkan dengan lagu yang kuat serta ala gimik yang gah untuk menyambut kehadiran kumpulan rock gergasi Search ke atas pentas.

Search yang tampil dengan gah memulakan set persembahan mereka dengan sebuah lagu yang berjudul Menara Kesesatan.


Search yang tampil dengan gah memulakan set persembahan mereka dengan sebuah lagu yang berjudul Menara Kesesatan
(Foto mStar Online)

Mulalah aksi-aksi head banging di kalangan penonton-penonton yang hadir. Kehadiran Amy Search bagaikan menggerakkan beberapa kelompok Mat Indon untuk bertindak dengan agresif.

Tak sah lah kalau mereka ini tidak bergaduh di antara mereka sendiri di mana-mana konsert.

Namun kehampaan untuk persembahan kumpulan Serach ini mula dirasai pada lagu keduanya Balada Pemuzik Jalanan apabila berlaku masalah audio di atas pentas.


Search yang bertindak profesional cuba menghiburkan ribuan penonton yang hadir dengan lagu-lagu seperti Emmanuelle, Pada Satu Kedudukan dan Pawana
(Foto mStar Online)

Sayang sekali, suara Amy tidak kedengaran dengan jelas apabila mainan gitar oleh Edrie Hashim menenggelami suaranya.

Ini semua gara-gara kesalahan pihak teknikal yang lalai untuk membuat persedian yang rapi untuk konsert sebesar ini tambahan dengan penampilan sebuah kumpulan otai yang pernah menarik diri kerana keengganan penganjur untuk menyediakan penataan bunyi yang terbaik untuk mereka.

Namun, Search tetap bertindak profesional dan  menghiburkan ribuan penonton yang hadir dengan lagu-lagu seperti Emmanuelle, Pada Satu Kedudukan dan Pawana.


Sayang sekali, suara Amy tidak kedengaran dengan jelas apabila mainan gitar oleh Edrie Hashim menenggelami suaranya
(Foto mStar Online)

Hanya pada lagu terakhir yakni Gotik Malam Edan, masalah teknikal dapat diatasi.

Pada ketika ini, semuanya sudah terlambat kerana kumpulan rock nombor satu negara itu sudahpun melabuh tirai persembahan mereka.

Kumpulan rock kapak Indonesia, Radja diberi mandat untuk menutup konsert Rentaq serantau.


Radja turut tidak menghampakan peminat-peminat mereka dengan keunggulan sistem bunyi mereka yang tiada cacat cela berbanding dengan masalah yang dihadapi kumpulan Search
(Foto mStar Online)

Dengan pementasan yang menarik , Ian bersama-sama rakan-rakannya memulakan persembahan mereka dengan lagu berjudul Manusia Biasa.

Sememangnya kemunculan Radja sesuatu yang dinanti-nantikan oleh penonton-penonton yang hadir ke konsert tersebut.

Hampir kesemua lagu dendangan kumpulan tersebut seperti Tulus, Cinderella, Wahai Kau Cinta dan Jujur menyaksikan ribuan yang hadir menghafal lagu-lagu kumpulan tersebut dengan sepenuh hati.

Malah, Radja turut tidak menghampakan peminat-peminat mereka dengan keunggulan sistem bunyi mereka yang tiada cacat cela berbanding dengan masalah yang dihadapi kumpulan Search.

Mujurlah Radja mengambil keputusan untuk membawa sound engineer serta peralatan mereka sendiri dan tidak mahu bergantung dengan penganjur.

Radja mengakhiri Konsert Rentaq Serantau dengan lagu yang melonjakkan nama mereka di Malaysia iaitu Takkan Melupakamu dengan gahnya.


Dengan pementasan yang menarik , Ian bersama-sama rakan-rakannya memulakan persembahan mereka dengan lagu berjudul Manusia Biasa
(Foto mStar Online)

Namun, beberapa perkara yang tidak diingini berlaku pada malam itu. Konsert itu dicemari dengan insiden pencerobohan yang dilakukan oleh sekumpulan Mat Indon yang memasuki stadium tersebut tanpa tiket.

Pencerobohan ini gagal dihentikan oleh pihak polis dan RELA kerana bilangan mereka yang bertugas sedikit.

Kumpulan Mat Indon itu turut mencemaskan pihak media apabila mereka menyerbu tempat duduk khas untu golongan wartawan dan jurugambar yang bertugas.

Gubra melihat kumpulan itu yang enggan meninggalkan kotak media sehinggalah mereka dirahkan secara keras oleh pegawai keselamatan untuk pergi.

Serach tidak puas hati

Search tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hati mereka dengan kualiti bunyi pada set mereka.

"Kami sedar bahawa sepanjang persembahan kami sistem bunyi rosak. Tetapi akan daya, persembahan kami harus diteruskan jua demi peminat-peminat yang hadir," ujar Amy ketika sidang akhbar setelah selesainya konsert tersebut.


Amy bertegas walaupun tidak berpuas hati dengan kerosakan audio, dia masih merasakan bahawa konsert itu berjaya mencapai matlamatnya
(Foto mStar Online)

Rata-ratanya semua ahli Search bersetuju dengan kegagalan sistem bunyi yang sedikit sebanyak mengganggu fokus mereka pada malam tersebut.

"Tetapi yang penting sekali adalah kesemua artis yang hadir memberi yang terbaik. Konsert ini bukan berpandukan Search semata-mata. Malah para penonton terhibur dengan keseluruhan konsert ini. Itulah matlamat yang sebenarnya," tegas Amy lagi.

Bagi Ratu Rock negara, Ella pula tidak kecil hati dengan tindakan pihak penganjur memotong masa persembahannya.

"Ella tidak kecil hati malah Ella rasa bersyukur sangat denga pihak DIGI dan Mulia Events kerana sudi menjemput Ella.

"Tambahan pula, Ella memang sengaja menyanyikan empat buah lagu kerana terpaksa menyiapkan  diri untuk showcase Sunday Nite Live di Planet Hollywwod nanti," ujarnya lagi.

iklan

iklan

Iklan