X Close

Wahid: 'Pelesit' sedia bersaing dengan filem luar!

Diterbitkan: Jumaat 7 Dis, 2007

SIAPA yang tidak mengenali nama penulis skrip dan pengarah terkenal A.Wahid Nasir yang telah banyak menyumbangkan karya dan idea melalui filem "Awas", "Kad Cinta", "Syakila" dan "Gila Glamour." 

Wahid juga telah melahirkan kreaviti uniknya melalui karya teater "Bukit Kepong" dan "Muzikal Cheng Lock".

Jika sebelum ini filem yang dihasilkan bergenrekan cinta dan komedi, kali ini Wahid cuba mencipta kelainan dengan menghasilkan skrip yang lebih menyeramkan.

Baginya kelainan yang cuba ditonjolkan ini disebabkan genre seram mempunyai peminat tersendiri dan ianya merupakan filem pertama komersial yang akan diterbitkan di bawah syarikat produksinya, Multi Utama Sdn Bhd.

Wahid yakin filem bergenre seram boleh dijual (Foto The Star)

"Filem terbaru ini saya namakan "Pelesit" sebab cerita hantu dan seram ini lebih dekat dengan orang Melayu selain hantu raya dan toyol.

"Filem ini berkisar tentang seorang wanita berusia 80 tahun tetapi disebabkan beliau membela pelesit, rupanya menampakkan usia seperti 30 tahun. Beliau telah berkahwin dengan lelaki berusia 55 tahun.

"Rahsia tentang wanita tua ini akan terbongkar apabila timbul konflik di mana beliau bertemu dengan cucu perempuannya yang pulang ke Malaysia setelah lebih 30 tahun tinggal di Thailand.

"Sebelum ini cucunya pernah mengandung sebanyak empat kali dan semuanya gagal setelah beliau mengalami keguguran akibat bermimpikan wajah seorang wanita yang mengandung dan keguguran.

"Selepas itu timbul konflik antara cucu dan suaminya apabila cucunya nekad untuk tidak mengandung lagi," kata Wahid ketika ditemui di Menara Star semalam.

Menurutnya, Pelesit di dalam filem ini digunakan sebagai pelaris di mana wanita tua tersebut menggunakan pelesit untuk kelihatan cantik, berkahwin ramai dan setiap lelaki akan tunduk padanya.

Kata Wahid, cucunya yang pulang ke kampung itu terkejut apabila neneknya adalah wanita yang sering muncul dalam mimpinya ngerinya selama ini.

Oleh itu, Pelesit akan diwujudkan dalam bentuk seram, unsur konflik dalam watak dan semua perkara sebenar yang banyak divisualkan dalam filem ini.

Bagi Wahid yang telah memerah idea untuk menghasilkan skrip Pelesit selama lebih tiga tahun, skrip filemnya adalah gabungan dan adunan cerita fantasi disulam dengan sedikit pengalamannya sendiri.

"Untuk menghasilkan Pelesit agak mencabar juga sebab saya perlu membuat penyelidikan tentang makhluk misteri ini daripada orang-orang yang berpengalaman seperti pengamal perubatan tradisional atau bomoh bernama Pak Dolah selain merujuk buku perubatan Melayu.

"Saya juga mungkin akan mendapatkan bantuan Ustaz Prof. Dato' Dr. Harun Din," ujar Wahid yang turut membuat banyak rujukan dengan menonton filem, antaranya ialah filem Inggeris The Owen.

Apa yang menyeramkan dalam filem kelima tulisan Wahid ini, pelesit akan mengganas dalam bentuk 'belalang pelesit' sebagai objek perantaraan.

Filem yang dijangka menemui penonton pada bulan Mac tahun hadapan turut memaparkan cara perubatan yang diamalkan oleh bidan kampung dan bomoh.

"Banyak teknik yang perlu diambilkira seperti teknik telepati yang menunjukkan cerita sahaja dan mimpi yang dilakukan menggunakan teori penulisan dan bercerita.

"Filem ini bukan sahaja menjadikan wajah sebagai faktor utama malah persekitaran dan teknikal thriller turut memainkan peranan yang penting," ulas Wahid yang masih merahsiakan nama pengarah dan para pelakon yang bakal menjayakan filem seram pertama karyanya ini.

Wahid berkata dia sengaja tidak meletakkan mana-mana kriteria pelakon dalam setiap watak yang diimaginasikan kerana mahukan pelakon yang mengikut watak.

"Saya tidak pernah melibatkan imaginasi dengan pelakon yang sedia ada kerana itu sangat merbahaya kerana saya tidak mahu menghadkan watak berdasarkan kriteria mereka.

"Saya sanggup kalau terpaksa mencari pelakon baru sekalipun. Kita perlu berani demi keberkesanan pelakon itu nanti. Pelakon itu perlu mengikut watak yang dicipta bukan sebaliknya," terang Wahid.

Walaupun telah banyak filem seram menular dikalangan penonton filem sekarang, Wahid sedar yang "Pelesit" perlu mempunyai kekuatan dan tarikannya tersendiri.

"Aspek penceritaan juga penting supaya penonton akan memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya. Terus terang saya tak takut bersaing dengan filem-filem luar kerana saya sudah membuat kajian kelemahan filem-filem yang lepas dan cuba pastikan perkara yang sama tidak akan berlaku pada "Pelesit".

"Lagipun filem bergenre seram memang mendapat perhatian lebih daripada genre lain seperti cinta dan komedi dan ia bagaikan tiada musim," ujar Wahid yang juga telah membuat kajian sambil menonton filem "Orang Minyak".

Begitu juga dengan harapan peminat filem Melayu. Sungguhpun telah disajikan dengan Pontianak Harum Sundal Malam 1 & II, Waris Jari Hantu, Jangan Pandang Belakang, Puaka Tebing Biru dan banyak lagi, Wahid optimis, kemunculan "Pelesit" akan tetap dinanti-nantikan.

"Ia akan menyingkap banyak kisah benar yang pernah kita dengar. Saya akan cuba wujudkan seram yang bukan dibuat-buat. Ianya lebih natural dan hampir kepada realiti.

"Di zaman moden ini, situasi dan persekitaran semua sudah berubah namun masalahnya tetap sama. "Pelesit" tetap ada....," kata Wahid mengakhiri bicara petang itu.  

iklan

iklan

Iklan