X Close

Siti kini bergelar Datin Seri

Diterbitkan: Sabtu 3 Nov, 2007

PEKAN:  Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin hari ini menerima gelaran "Datin Seri" apabila suaminya Datuk Khalid Mohamad Jiwa dikurniakan darjah Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran "Datuk Seri" di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.

Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K merupakan antara 109 penerima darjah kebesaran negeri Pahang sempena ulang tahun ke-77 Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, Siti Nurhaliza yang ditemui pemberita selepas istiadat berkenaan berkata beliau lebih selesa hanya dipanggil Siti.

"Selain majlis protokol, bagi kenal-kenalan, Siti terima apa juga panggilan mengikut keselesaan masing-masing," katanya.

Beliau, yang memakai kebaya berwarna oren sedondon, turut melahirkan rasa syukur dan berbesar hati di atas pengurniaan terhadap suaminya itu.

Katanya penghargaan tersebut akan mendorongnya dan suami untuk lebih berusaha memajukan kerjaya masing-masing.

Pada ulang tahun keputeraan Sultan Pahang ke76 tahun lepas, Siti Nurhaliza telah dianugerahkan darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran "Datuk". BERNAMA

iklan

iklan

Iklan