X Close

Fauzi 'orang minyak' versi moden

Diterbitkan: Khamis 1 Nov, 2007

KIRA-KIRA lima puluh tahun lalu, watak orang minyak yang dilakonkan oleh lagenda seni negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee memang berjaya memberi impak kepada khalayak yang menonton filem arahan beliau sendiri, Sumpah Orang Minyak.

P.Ramlee ketika itu membawakan watak Si Bongkok yang terpaksa menjadi orang minyak akibat melanggar sumpah dan perlu memperkosa 21 orang gadis dalam masa tujuh hari selain mengaku bahawa syaitan adalah tuhan.

Kali ini, versi terbaru orang minyak muncul pula menerusi filem sulung terbitan Infohibur Productions, Orang Minyak, di mana kali ini Fauzi Nawawi diberi kepercayaan untuk membawakan watak tersebut.

Versi terbaru ini sama sekali bukan kesinambungan kepada filem Sumpah Orang Minyak, tetapi hanya subjek kisah 'orang minyak' yang terus digunakan sebagai fokus filem ini.

Fauzi bangga diberi peluang menjadi orang minyak versi moden

Bakal ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan mulai 15 November ini, Orang Minyak mengisahkan tentang seorang pensyarah pusat pengajian tinggi bernama Dian (Sharifah Sofea) yang membuat kajian tentang orang minyak di Kampung Silang.

Ketika berada di sana, Dian ditempatkan di rumah Pak Junid (Sidek Hussin). Ketika sebuah majlis pertunangan diadakan di kampung tersebut, orang minyak tiba-tiba muncul dan mengganas.

Terdahulu, orang minyak tersebut sebenarnya telah ditawan oleh Pak Junid dan Munir (Fizz Fairuz), seorang pemuda yang handal dalam ilmu persilatan, beberapa tahun sebelumnya.   

Malek Kumbo (Fauzi Nawawi) adalah salah seorang penuntut seni silat yang menjadi orang minyak setelah terpedaya dengan hasutan Syaitan yang menjanjikan ilmu yang lebih hebat dengan memperkosa 21 orang gadis.

Filem arahan bersama oleh C.K Karan dan Jamal Maarif ini turut membariskan pelakon-pelakon seperti Loloq, dan Bob Kuman.

Mengulas lanjut tentang peranan 'orang minyak' yang dipegangnya itu, Fauzi akui ia memang cukup mencabar. Tambahan pula kali terakhir karektor orang minyak diketengahkan ialah ketika kemunculan filem Sumpah Orang Minyak pada tahun 1956.

"Karektor orang minyak sebenarnya cukup luar biasa. Jiwanya dipengaruhi syaitan dan dia bukan sepenuhnya manusia biasa.

"Saya terpaksa buat banyak kajian untuk watak orang minyak ni. Saya menonton semula filem arahan P.Ramlee itu dan juga filem-filem seram luar negara.

"Karektor saya adalah Malek Kumbo yang menjadi orang minyak tetapi sebenarnya secara fizikal, bukan saya yang melakonkan watak orang minyak itu kerana kita menggunakan khidmat pelakon tambahan lain.

"Watak orang minyak memerlukan seorang lelaki yang berbadan sasa dan saya memang tidak menepati ciri-ciri tersebut. Sebab itu kita guna pelakon lain iaitu Jobot Maheran.

"Bagaimanapun, saya tetap bangga kerana diberi kepercayaan untuk 'menjadi' orang minyak versi baru setelah 50 tahun kita tidak menonton cerita seperti ini," kata Fauzi.

Menurut aktor berusia 34 tahun ini, cabaran lain yang dihadapinya sepanjang penggambaran filem sulungnya ini juga adalah ketika babak pergaduhan antara Malek dan Munir.


Tunggak utama Orang Minyak, Fizz Fairuz dan Fauzi

"Aksi pergaduhan yang kita buat dalam filem ini kebanyakannya real hinggakan kesan darah dan lebam pada badan Fizz juga bukan dibuat-buat. Itu sebenarnya terjadi secara tidak sengaja.

"Memang cukup sukar untuk buat babak bergaduh ini sehingga makan masa berjam-jam. Bagi saya, yang penting biarlah hasilnya memuaskan hati masing-masing.

"Saya sudah berikan yang terbaik untuk keseluruhan watak saya dan apa yang saya harapkan agar filem ini mampu dapat sambutan yang baik kerana ia memaparkan orang minyak dalam versi yang terbaru dan moden," katanya lagi.

Filem yang menelan belanja RM1.7 juta ini telah memulakan penggambaran pada bulan Jun lalu selama 28 hari. Filem yang dibiayai sepenuhnya oleh produksi ini sendiri juga telah menjalani proses pasca produksi di India.

iklan

iklan

Iklan