X Close

Roboh surau, kuil di Rimba Jaya jadi kecoh

Diterbitkan: Selasa 30 Okt, 2007

KUALA LUMPUR:  Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meroboh kuil, surau dan beberapa rumah di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam hari ini adalah atas arahan mahkamah.

Katanya, beliau telahpun bercakap dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengenai perkara itu dan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa kerana tanah itu milik kerajaan Persekutuan dan mahkamah telahpun memerintahkan agar mereka yang mendudukinya mengosongkan kawasan tersebut.

Malah kerajaan turut bersedia menawarkan rumah kepada mereka yang terlibat tetapi ada yang berkeras dan tidak mahu berpindah ke tempat lain, katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU) di sini hari ini.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kekecohan yang timbul berikutan kerja-kerja merobohkan kuil di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam di sini.

MBSA telah memulakan kerja meroboh kira 200 rumah, surau dan kuil di kampung itu sejak pagi tadi, bagaimanapun pada pukul 3 petang timbul sedikit kekecohan.

Samy Vellu berkata MBSA bukan sahaja merobohkan kuil di situ tetapi juga surau berikutan arahan mahkamah.

Bagaimanapun pihak tertentu cuba menimbulkan ketegangan dengan menggunakan isu itu di kalangan kaum India yang terbabit, katanya.

Sebelum itu, Samy Vellu turut berjanji dengan MTSU untuk mengemukakan permohonan mereka untuk "menaik taraf skim gaji juruteknik" serta penukaran nama jawatan pembantu teknik kepada pembantu jurutera bagi mencerminkan tugas dan peranan sebenar kumpulan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sehubungan itu, beliau meminta kesatuan itu menyerahkan kertas cadangan berhubung perkara itu kepada beliau untuk dikemukakan kepada JPA untuk tindakan selanjutnya.

Samy Vellu berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri mempunyai 7,500 juruteknik dan kakitangan lain yang berkaitan dengan kerja-kerja teknikal, dan dianggarkan jumlah keseluruhan juruteknik dalam perkhidmatan awam lebih 25,000 orang.

"Saya percaya cadangan ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya kerana MTSU merupakan kesatuan sekerja yang telah memberi kerjasama padu serta menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan," katanya.

Sebelum itu dalam ucapan aluan, presiden MTSU Shuhaimi Othman membangkitkan perkara itu memandangkan telah begitu lama dibangkitkan dan masih belum mendapat pertimbangan daripada kerajaan.

Mengenai laporan yang menyebut bahawa 3,000 anggota MIC menyertai Parti Penduduk Progresif (PPP) di Kuala Selangor Ahad lepas, Samy Vellu berkata dalam politik setiap individu mempunyai hak demokrasi menyertai mana-mana parti politik.

Samy Vellu berkata ramai juga anggota PPP menyertai MIC tetapi tidak menghebahkannya dan baru-baru ini katanya seramai 2,000 hingga 2,500 anggota PPP menyertai MIC. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan