X Close

Perakaunan: Etika dan Profesionalisme

Diterbitkan: Selasa 23 Okt, 2007

BANYAK perkara yang mungkin boleh dikaitkan dengan Enron, skandal perakaunan yang sukar dilupakan, seperti mengakibatkan Arthur Andersen gulung tikar, mengetatkan lagi peraturan untuk membendung salah laku perakaunan dan gesaan supaya wujudnya etika perniagaan yang lebih mantap.

Selepas enam tahun, walaupun ada peraturan ketat seperti SarbanesOxley dan Basle Two, yang sebahagiannya disebabkan krisis Enron dan Worldcom, pasaran masih terbuka kepada salah laku perakaunan.

"Malangnya, meskipun terdapat banyak peraturan dan undangundang, tentu akan terus ada kes salah urus seperti itu yang dilakukan menerusi salah laku korporat, misalnya memanipulasi akaun kewangan syarikat.

"Ini boleh berlaku di manamana negara dan pada bilabila masa. Kes seperti ini tetap berlaku walaupun di negara paling maju dan dalam pasaran yang mempunyai peraturan ketat," demikian menurut Presiden Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA), Gilian Ball.

Malah, jelas beliau, di negara ini, krisis perakaunan barubaru ini seperti kes Transmile Group dan Megan Media masih berlaku walaupun Malaysia mempunyai peraturan tadbir urus bertaraf dunia dan dipuji semua pihak.

Jelas sekali, mengetatkan peraturan ala SarbanesOxley tidak semestinya mengubah tingkah laku asas atau menjadikan manusia lebih beretika.

MENJADIKAN MANUSIA DAN PERNIAGAAN LEBIH BERETIKA
Justeru, apa yang boleh dilakukan supaya manusia dan perniagaan lebih beretika?
Menurut Ball, apa yang diperlukan ialah perubahan paradigma dalam kaedah pemikiran dan membuat keputusan.

"Sekarang, keputusan perniagaan terikat kepada 'bottomline'. Secara ideal, keputusan patut dibuat berasaskan prinsip etika. Individu patut bertanya apa yang betul patut dilakukan, bukannya apa yang paling menguntungkan boleh dilakukan?" terang Ball.

Beliau berpendapat untuk bermula dan berjaya, perubahan besar dalam pemikiran etika dan membuat keputusan mesti dimulai daripada atas.

"Pemimpin mesti mengotakan katakatanya dan tidak boleh lagi berpegang kepada 'Buat apa yang saya suruh, bukan buat apa yang saya lakukan," katanya.

Hanya jika pemimpin menunjukkan tingkah laku beretika, barulah anak buahnya mahu mengikut mereka, dan keseluruhan organisasi akan bergerak selari dengan prinsip etika berdasarkan budaya etika 'ataskebawah', jelas beliau.

MEWUJUDKAN KAYU PENGUKUR KEJAYAAN
Tidak kurang pentingnya ialah mewujudkan pengukur kejayaan bukan kewangan yang memberi imbuhan kepada tingkah laku beretika, kata Ball.

"Berbuat perkara baik patut diberi imbuhan kerana berbuat baik tidak semestinya meningkatkan 'bottomline'. Pemimpin dan perniagaan mesti berpegang bahawa 'bottomline' bukanlah segalagalanya dan menjadi matlamat akhir," tambah beliau.

Ball mengakui memang sukar bagi golongan profesional untuk melakukan perkara yang betul jika mereka sentiasa tertekan dengan ketua supaya mencapai sasaran keuntungan semata-mata.

Beliau menyifatkan keadaan sekarang dengan peraturan yang menghukum tingkah laku tidak beretika bukanlah utopia dan tidak banyak menggalakkan orang berkelakuan baik.

Ball berpendapat tingkah laku etika tidak boleh didorong oleh peraturan luar tetapi sebaliknya manusia harus mengawal tingkah laku mereka berasaskan sejumlah prinsip dalaman.

Teladan daripada kes Enron dan Worldcom di Amerika Syarikat dan Parmalat di Itali menunjukkan kod berdasarkan peraturan dan undang-undang akan menggalakkan perakaunan kreatif dan pincang, kata Ball.

Beliau percaya agak mustahil untuk mengadakan peraturan bagi semua keadaan kerana secara idealnya manusia patut berpegang kepada prinsip etika yang diterima semua, fleksibel dan boleh dilaksanakan dalam semua keadaan.

Ball berkata, ACCA khuatir jika peraturan dengan cepat akan menjadi terlalu banyak peraturan (yang mengongkong), dan keadaan takut kepada hukuman tidak menggalakkan profesional kewangan untuk mengoptimumkan kemahiran dan kebolehan mereka.

"Kami percaya peraturan perlu setimpal dengan risiko dan timbal balas material jika wujud salah laku. Sebahagian daripada pati dan nilai profesional akauntan adalah kebolehan mereka untuk membuat keputusan berasaskan prinsipprinsip etika," jelas beliau lagi.

SUKATAN PENGAJIAN BARU
Justeru, Ball menjelaskan bahawa etika merupakan teras kepada raison d'etre ACCA dan sehubungan itu, beliau menyifatkan pengenalan sukatan pengajian baru yang membabitkan Etika dan Profesionalisme oleh ACCA memang sesuai dan tepat dengan masanya.

Beliau berkata pengenalan sukatan pengajian baru itu bertujuan untuk membantu profesional kewangan menghayati kod prinsip yang luas dan mengawal mereka ketika membuat keputusan dan bertindak dalam sebarang keadaan.

"Kami mahu melahirkan profesional yang faham dan mengamalkan etika serta profesionalisme," jelas Ball.

Sebagai sebuah badan perakaunan terbesar di dunia dengan 115,000 ahli dan 296,000 pelajar di 170 buah negara, ACCA secara berkala menyemak sukatan pengajiannya bagi menggambarkan perubahan semasa dalam kerjaya berkenaan, jelas Ball.

Ia juga bagi memenuhi kehendak majikan, kata Ball sambil menambah bahawa inisiatif untuk menegakkan agenda etika dan profesionalisme adalah reaksi kepada maklum balas perundingan ACCA dengan lebih 25,000 pihak berkepentingan di seluruh dunia.

ETIKA DAN PROFESIONALISME
Sebagai tambahan, kata Ball, cabaran baru mencetuskan satu kemestian untuk ACCA menjadikan Etika dan Profesionalisme begitu ketara dalam sukatannya.

Perubahan kepada Standard Perakaunan Antarabangsa yang rumit dan mendesak termasuk berubah kepada nilai adil, yang menuntut kepada integriti dan pemikiran waras dan keperluan untuk mematuhi kod kebangsaan yang lebih ketat sekali gus meningkatkan tumpuan kepada nilai profesional, etika dan tadbir urus, jelas beliau lagi.

Beliau percaya seseorang akauntan memerlukan kemahiran teras seperti kerangka etika berasaskan prinsip untuk menangani cabaran selepas perniagaan disesuaikan dengan kod perilaku, peraturan dan undangundang yang lebih ketat.

Menurut Ball, kelayakan ACCA yang baru mempunyai penekanan yang ketara ke atas etika.

Dalam sukatan pengajian baru yang bermula dengan pengambilan Disember 2007, latihan mengenai etika disepadukan dalam 11 daripada 16 kertas termasuk satu kertas khusus, dinamakan Akauntan Profesional.

MODUL ETIKA PROFESIONAL SECARA ONLINE
Etika juga dimasukkan ke dalam keperluan latihan praktikal ACCA dan modul Etika Profesional secara online, kata Ball.

Menurut beliau, latihan baru ini sangat interaktif di mana para pelajar diberi beberapa keadaan supaya mereka boleh merasai sendiri suasana berada dalam dilema etika.

"Tiada jawapan yang betul atau salah. Asasnya, sukatan baru ini akan meningkatkan kesedaran pelajar dan mereka akan mendapat respons dan pengalaman berikutan keputusan mereka dalam satu situasi yang selamat," kata Ball.

Pengalaman ini boleh diterapkan dalam situasi sebenar dan mereka boleh menggunakan simulasi itu sebagai garis panduan kepada keputusan sebenar yang akan menimbulkan kesan yang betul, tambah beliau.

Ball menyuarakan peri pentingnya pemupukan etika dalam diri akauntan kerana mereka adalah pihak pertama yang menyediakan nasihat perniagaan.

"Dengan menukar minda akauntan, yang kebanyakannya adalah ketua pegawai kewangan yang memegang jawatan pemimpin utama, kita mencipta kesan berganda dalam perniagaan." BERNAMA

iklan

iklan

Iklan