X Close

Ruffedge: Industri kita tidak akan mati kalau bersaing

Diterbitkan: Selasa 2 Okt, 2007

ISU stesen radio berbahasa Melayu menyiarkan lebih banyak lagu luar semakin mendapat perhatian masyarakat terutama para artis yang rata-rata tidak berpuas hati dan selebihnya tidak menganggap isu tersebut terlalu meruntun hati mereka sehebat kes kematian Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin.

Bagi dua orang ahli baru kumpulan Ruffedge, Meor Zulkarnain Mohd. Zamhuri (Nine) dan Irwan Iskandar menafsirkan artis luar juga berada di dalam dunia yang sama dengan mereka walaupun berlainan negara.


Ruffedge yang hadir bertiga tanpa Zain yang sedang menunaikan
umrah ketika majlis pelancaran album 'Bila Tiba Hari Raya' oleh EMI
(Dari kiri: Irwan, Nine dan Azan)

(Foto The Star oleh Mohd Sahar Misni)

"Mereka pun cari makan juga. Ada pro dan kontranya di mana saya tak boleh kata tidak setuju dengan isu tersebut dan juga tak boleh nak salahkan sesiapa. Bagi saya, artis luar mahupun tempatan adalah sama sahaja.

"Mungkin ramai yang belum nampak perjuangan yang diketengahkan oleh artis tempatan. Contohnya, selepas Siti Nurhaliza masuk ke pasaran Indonesia baru dia glamour.

"Apa yang menarik mengenai penyanyi Indonesia ini adalah kredibiliti persembahan di mana sekarang adalah musim mereka. Saya tak rasa yang industri kita akan mati kalau artis luar sama-sama bersaing dalam industri ini," kata Nine yang sebelum ini pernah menyertai kumpulan Phyne Ballerz.

Menyentuh tentang luahan perasaan penyanyi rock Amy Search baru-baru ini yang membangkitkan isu tersebut, Nine menyatakan Amy berhak menyuarakan pendapatnya lebih-lebih lagi di dalam negara yang demokrasi ini.

"Dia lebih berpengalaman dalam industri ini. Tak salah dia meluahkan pendapat. Semuanya bukan sahaja melibatkan persaingan malah bergantung kepada rezeki masing-masing.

"Sudah ditakdirkan rezeki artis luar membanjiri industri ini. Lagipun siapalah saya untuk memperkatakan lebih lanjut mengenai perkara ini kerana saya hanya sebahagian artis di Malaysia. Jika diikutkan sudah lama artis luar seperti dari UK, Amerika dan banyak lagi yang bertapak di sini," ujar Nine semasa majlis pelancaran album 'Bila Tiba Hari Raya' oleh EMI baru-baru ini.

Irwan yang melakonkan watak Pak Atan dalam filem 'Mukhsin' juga berkongsi pendapat mengenai isu yang turut mendapat perhatian Jawatankuasa Penyelarasan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia ini.

"Penyanyi luar suka mengikut trend muzik. Mereka akan buat muzik lagu yang meletup di pasaran. Tetapi fenomena begini sekejap sahaja bertahan.

"Satu perkara lagi, orang luar banyak mengkaji budaya orang lain. Kita asyik duduk dalam kotak yang sama. Mereka mengkaji lagu yang dibuat. Contohnya, dari segi lirik dan melodi Indonesia lebih kepada rentak moden.

"Mereka tahu bagaimana nak pikat seseorang artis dalam pemilihan lagu," jelas Irwan yang masih lagi dalam proses memantapkan vokal melalui latihan yang dijalankan.

Berkenaan kes kematian Allahyarham Nurin yang menyayat hati, Ruffedge turut melontarkan pendapat sekaligus merasakan ibu bapa Nurin tidak patut disalahkan seratus-peratus.

"Dalam hal ini, kita tak boleh salahkan  ibu bapa Nurin. Ini kerana kalau orang berpendapatan sederhana yang bekerja sukar untuk mengawasi anak-anak selama 24 jam sehari.

"Kalau orang kaya yang mempunyai pembantu rumah, mungkin boleh minta mereka tengok-tengokkan anak-anak.

"Tapi budak-budak sekarang mudah terpedaya dan mengikut orang lain walaupun tidak dikenali.

"Kanak-kanak disifatkan sebagai insan yang penyayang dan mereka tak reti nak menolak kerana masih kecil dan kurang pengetahuan tentang keselamatan diri," ujar Nine yang tertarik untuk menyertai Ruffedge kerana mereka semua rapat antara satu sama lain serta mereka mempunyai kriteria tersendiri.

Manakala Irwan lebih menyalahkan orang yang melakukan perbuatan kejam tersebut di mana beliau sendiri bapa kepada tiga orang anak tahu tanggungjawab masing-masing.

"Nak kata silap ibu bapa tidak juga tetapi siapa yang buat itu bersalah kerana mereka yang sebegini tidak mengira kanak-kanak atau orang dewasa sebagai mangsa.

"Selepas kejadian tersebut saya tidak rasa terlalu takut tapi apa yang boleh dikatakan sebelum apa-apa terjadi sayangilah anak-anak walau mereka degil sekalipun," ulas Irwan yang selain 'Mukhsin' beliau juga berlakon dalam telefilem 'Rabun' arahan Yasmin Ahmad.

Menyentuh tentang album baru kumpulan yang juga terdiri daripada Azan dan Zain, Nine berkata mereka masih lagi mengumpul 'material' dan mereka akan menyiapkan 'single' terbaru dengan secepat mungkin.

"Konsep yang dibawa oleh Ruffedge masih sama seperti dahulu (pop, balada) dan akan terap nafas baru dari segi lirik, melodi dan muzik yang lebih 'matching'.

"Kami memang akan tampil dengan muzik yang lebih segar. Jadi jangan patah semangat untuk menyokong Ruffedge," akhiri Nine yang lebih minat dalam pembikinan muzik.

iklan

iklan

Iklan