X Close

Konsert S2 Celebration hilang bisa kerana Search?

Diterbitkan: Isnin 8 Jan, 2007

Hambar! - Hanya itu yang boleh disimpulkan tentang keseluruhan Konsert S2 Celebration yang menampilkan kumpulan muzik terkemuka Indonesia, Slank, buat pertama kalinya beraksi di negara ini.

Masakan tidak, konsert yang berlangsung Jumaat lalu di Stadium Merdeka itu hanya disaksikan oleh kehadiran kira-kira 7,000 penonton sahaja, tidak seperti yang diuar-uarkan oleh pihak penganjur, Tiga Event Sdn. Bhd sebelum ini yang mensasarkan kira-kira 20,000 penonton yang akan hadir.

Mungkinkah penarikan diri kumpulan Search dari konsert tersebut yang menimbulkan 1001 kontroversi itu menyebabkan penganjur 'kehilangan' ramai penonton?

Mungkin juga ada kebenarannya kerana sebaik saja penarikan diri Search diumumkan baru-baru ini, peminat-peminat kumpulan rock itu dibenarkan memulangkan tiket jika ingin berbuat demikian di Ibu Pejabat Axcess Tickets Sdn. Bhd.


Persembahan Slank bagaikan penyelamat pada malam tersebut
(Foto The Star Oleh Kamal Sellehuddin)

Justeru, tidak hairanlah mengapa sambutan 'dingin' seperti itu dapat dilihat di Konsert S2 Celebration, walaupun yang menggantikan tempat Search sebagai 'peneraju utama' konsert itu bukanlah calang-calang band.

Persembahan Slank pada malam itu memang cukup bertenaga ditambah pula dengan sound system yang hebat, tetapi sayang sekali dengan jumlah penonton yang tidak seberapa itu, 'kehangatan' konsert itu bagaikan kurang dirasai.  

Yang nyata, hanya 'mat-mat Indon' yang memenuhi ruang padang stadium itu menunjukkan 'sokongan' padu mereka pada setiap persembahan Slank itu. 

Slankers, gelaran kepada peminat Slank ini, memang dilihat begitu extreme sejak awal hingga ke akhir konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam itu.

Lebih memburukkan suasana konsert ialah dengan insiden pergaduhan yang membabitkan penonton-penonton 'Indon' ini.

Beberapa kali pergaduhan tercetus sepanjang berlangsungnya konsert itu sehingga memaksa anggota penguatkuasa merelaikan pergaduhan tersebut. Malah, vokalis kumpulan Slank, Kaka dilihat turut kecewa dengan insiden itu dan meminta penonton yang hadir menjaga tingkah laku masing-masing.


Awie dan Wings bagaikan memberi persembahan yang ala kadar sahaja
(Foto The Star)

"Yang bermasalah, sila keluar dari sini. Tolong bagi attitude yang moden, jangan ketinggalan zaman," luah Kaka sebelum meneruskan persembahan mereka.

Persembahan ala kadar oleh Spider dan Wings

Konsert S2 Celebration malam itu bermula kira-kira jam 9 malam dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Spider, disusuli pula kemudiannya oleh Wings. Lima buah lagu disampaikan oleh kedua-dua band termasuklah lagu-lagu hits mereka.

Inilah yang dikatakan lain yang dirancang, lain jadinya. Sepatutnya, kumpulan rock Malaysia Search yang menjadi highlight pada konsert tersebut tapi pada saat akhir, kumpulan rock Malaysia Spider dan Wings terpaksa menjadi pengiring bagi kumpulan Indonesia Slank di tanah air sendiri. 


Spider gagal menunjukkan kehebatan mereka pada malam tersebut
(Foto The Star)

Namun, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan persembahan Spider atau Wings pada konsert tersebut. Selain tepukan gemuruh yang diberikan penonton setiap kali mereka membawakan lagu-lagu popular masing-masing, nyanyian Tam Spider dan Awie adakalanya kedengaran 'sumbang' dan 'pecah'. 

Tidak dinafikan, persembahan mereka juga tetap menghiburkan, tetapi perkara 'remeh' seperti itu rasanya tidak patut terjadi pada kedua-dua vokalis band ini walaupun mereka ini seolah-olah dilihat sebagai 'bidan terjun' sahaja pada konsert itu ekoran penarikan diri Search.

'Mood' penonton yang sememangnya tidak sabar menantikan kemunculan Slank juga adakalanya membuatkan penonton tidak begitu memberi perhatian pada persembahan kedua-dua band itu.


Ironi, persembahan Awie diiringi dengan bendera dari negara jiran kita
(Foto The Star)

Penantian selama sejam akhirnya berakhir apabila Slank mengambil alih pentas dengan membawakan 18 buah lagu, antaranya I Miss You But I Hate You, Gara-Gara Kamu, Ku Tak Bisa, Kamu Harus Pulang, Balikin dan Terlalu Manis.

Seiring dengan penglibatan mereka selama 23 tahun di persada muzik, Slank ternyata cukup hebat untuk membuatkan penonton-penonton yang hadir terhibur dengan aksi bertenaga oleh Kaka (vokal), Bim Bim (dram), Abdee (gitar), Ridho (gitar/keyboard) dan Ivankan (bass).

Walaupun dengan jumlah penonton yang agak mengecewakan dan keadaan stadium yang agak 'lengang', mereka masih mampu memberikan satu persembahan yang memang tidak menghampakan.


Rusuhan semestinya bagaikan satu kebiasaan jika terdapat konsert-konsert rock di Malaysia
(Foto The Star)

Pada malam itu juga, Slank turut menunjukkan keprihatinan mereka terhadap mangsa-mangsa banjir di Johor Bahru dengan menyumbangkan cek bernilai RM10,000 kepada Tabung Kemanusiaan Mangsa Banjir Johor, yang diserahkan kepada Pengurus Besar Perkhidmatan Pengurusan Anak Syarikat Media Prima Sdn. Bhd, Ahmad Puad Onah 

Konsert S2 Celebration sepatutnya mengadakan konsert keduanya di negeri itu pada 7 Januari lalu, namun terpaksa dibatalkan kerana masalah banjir yang dihadapi di sana.

Apapun jika dilihat dari aspek lain, penarikan diri Search sebenarnya membawa hikmah  kepada Slank yang ternyata berjaya menjadikan konsert itu 'milik' mereka 100 peratus. Tidak ada cacat celanya persembahan mereka, malah vokal Kaka yang konsisten sehingga ke penghujung konsert memang amat mengagumkan.

Jika jumlah penonton atau sambutan orang ramai yang menjadi ukuran, tidak salah jika dikatakan konsert tersebut sememangnya gagal mencapai objektifnya.

Namun, jika diukur dari segi persembahan yang dipamerkan oleh penerima The Most Rockin Band Indonesia, The Most Solid And United Established Band 2006 di Festival Muzik Tahunan Jakarta ini, berbaloi lah juga tiket yang dibeli oleh penonton-penonton untuk konsert tersebut!

iklan

iklan

Iklan