X Close

'Nabi' Kahar cabar takrif kabur Islam di Perlembagaan

Diterbitkan: Sabtu 6 Jan, 2007

PETALING JAYA:  Seorang lelaki yang dituduh menyebar ajaran sesat, antaranya mendakwa dirinya nabi, di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor mencabar beberapa peruntukan enakmen itu akibat kekaburan takrif dasar-dasar agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malik Imtiaz Sarwar, peguam bela kepada tertuduh Abdul Kahar Ahmad dan dua pengikutnya, berkata negeri-negeri boleh menggubal undang-undang, termasuk hal-ehwal agama, selagi tidak menceroboh hak khusus bidang kuasa persekutuan.

Katanya, perundangan Islam itu mestilah tidak bercanggahan dengan Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan yang menyentuh aspek-aspek jenayah.

Menulis di blognya Disquiet (www.malikimtiaz.blogspot.com), Malik Imtiaz berkata asas cabaran Abdul Kahar dalam kes ini ialah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 telah menceroboh ruang khusus kuasa persekutuan.

"Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai kuasa terhad untuk mewujudkan kesalahan mengikut Islam. Kesalahan yang boleh diwujudkan oleh DUN adalah kuasa untuk mewujudkan kesalahan berkaitan 'dasar-dasar asas Islam' yang tidak termasuk Senarai Persekutuan," katanya.

Bagaimanapun penghujahan yang bakal dikemukakan oleh Abdul Kahar ini masih di peringkat samar-samar.

"Sayangnya, Perlembagaan tidak menyatakan dengan jelas 'dasar-dasar asas Islam' dan maknanya dibiarkan terbuka untuk dibahaskan," tulis Malik Imtiaz lagi.

"Kekaburan ini menjadi medan pertarungan dalam keadaan apabila keluhuran undang-undang menjadi kian kabur, antaranya disebabkan arus Islamisasi."

Malik Imtiaz menambah, Perkara 4(4) dalam Perlembagaan pernah dijadikan asas untuk mencabar usaha menguatkuasakan enakmen-enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

Peguam itu yang juga wakil rakyat Kota Baru, Zaid Ibrahim berhujah peruntukan kesalahan jenayah dalam enakmen hudud di dua negeri bawah pentadbiran PAS itu (Terengganu sehingga 2004) jatuh di bawah bidang kuasa persekutuan atau Parlimen, kata Malik dalam artikelnya 'Of Fatwas and Precepts: The Haji Kahar Challenge' yang disiarkan semalam.

Cabaran itu bagaimanapun tidak diteruskan oleh Zaid apabila beliau menarik balik walaupun mahkamah telah membenarkannya.

Mahkamah Persekutuan pada Rabu membenarkan Abdul Kahar, 56, mencabar beberapa peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan memberikan kepadanya tempoh selama 60 hari untuk memfailkan petisyen.

Abdul Kahar sebelum ini menghadapi lima tuduhan mengikut enakmen itu selepas ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Jun 2005.

Pada Ogos tahun itu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam terhadap semua tuduhan itu dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000.

Dalam permohonannya di Mahkamah Persekutuan April lepas, lelaki dari Kampung Kemensah, Ulu Klang itu ingin Seksyen-seksyen 7, 8(a), 10(b), 12(c) dan 13 enakmen jenayah syariah itu dan juga Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 diisytiharkan sebagai terbatal dan melanggar Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Dua orang pengikutnya, Mazli Mansor, 48, dan Mat Razali, 43, juga mengemukakan permohonan serupa bagi mencabar kesahihan seksyen-seksyen 8(a) dan 16(1)(a) enakmen berkenaan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat Perlembagaan, yang dibentuk lebih kemudian daripada perundangan kerajaan negeri, tidak membatalkan pelaksanaan peraturan Islam sebelumnya. 

"Bila Perlembagaan digubal, kuasanya tidak membatalkan undang-undang yang sedia ada dari segi perkataan dan semangatnya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi semalam.

Beliau menjelaskan, pertindihan kuasa antara persekutuan dengan negeri bergantung kepada tafsiran terhadap takrif jenayah.

"Mengikut tafsiran (Abdul) Kahar, jenayah juga termasuk jenayah syariah tetapi dalam Perlembagaan, DUN boleh membuat undang-undang untuk memberi hukuman atau penalti kepada mereka yang melanggar dasar-dasar asas Islam," kata Zainul Rijal.

"Dasar-dasar ini bermaksud perintah dan tegahan dalam Islam. Jenayah syariah mengikut undang-undang syariah meliputi apa-apa hukum, perintah atau tegahan, termasuk yang melanggar hukum syarak."

Katanya, isu pertindihan ini telah dijelaskan dalam satu laporan mengenai bidang kuasa perundangan DUN yang dihantar kepada sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Hakim Syariah Malaysia pada 2003.

mStar Online sebelum ini melaporkan cadangan Zainul Rijal supaya penguatkuasaan jabatan agama Islam diperluaskan, manakala hukuman bagi kesalahan jenayah syariah diberatkan bagi meningkatkan martabat undang-undang Islam.

Cadangan itu juga bertujuan membendung orang Islam daripada melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.

Berita berkaitan:
'Nabi' Kahar dibenar cabar undang-undang syariah (3 Jan)
Lelaki dakwa diri rasul cabar enakmen jenayah syariah (7 April 2006)

iklan

iklan

Iklan