X Close

Helikopter terhempas, pekerja Petronas hilang di laut

Diterbitkan: Rabu 31 Jan, 2007

MIRI:  Sebuah helikopter Super Puma L2 dengan lapan pekerja pelantar minyak dan dua juruterbang terhempas petang tadi di Laut China Selatan sewaktu dalam perjalanan di antara dua pelantar di luar pesisir Bintulu.

Helikopter itu disewa oleh Petronas daripada Malaysian Helicopter Services untuk membawa pekerja-pekerjanya.

Setakat 7.30 malam tadi, sembilan orang termasuk dua juruterbang itu terselamat. 

Mereka berjaya berenang keluar dari helikopter tersebut sejurus selepas kemalangan, kira-kira 40km dari pantai.

Sementara seorang lagi pekerja Petronas Carigali masih belum ditemui.

Polis marin, unit udara polis, dua syarikat minyak Shell dan Petronas telah melancarkan usaha mencari dan menyelamat pekerja yang hilang. 

Mereka yang terselamat, walaupun difahamkan tidak serius, dirawat di hospital Bintulu.

Menurut sumber-sumber, helikopter itu yang pada awalnya membawa 16 orang, termasuk dua juruterbang berkenaan, menuju kawasan cari gali minyak dan gas di Block D pada pukul 1.08 petang tadi.

Di pelantar D35, enam pekerja mendarat tanpa sebarang masalah.

Kira-kira jam 2.45 petang, sewaktu dalam perjalanan ke pelantar D18, ia terhempas sebelum sempat mendarat.

Setakat ini punca kemalangan belum dapat dipastikan.

Jabatan Penerbangan Awam, selepas terputus hubungan dengan helikopter malang itu, segera menghubungi kakitangan Petronas di Miri, Bintulu dan Kuching.

Helikopter yang menemui kecelakaan ini dikatakan sama jenis dengan helikopter yang terhempas bersama 13 pekerja Shell Sarawak dua tahun lalu di luar pesisir Miri.

Sehingga berita ini ditulis, pejabat Petronas Miri belum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Berita berkaitan:
Petronas cuba sorok maklumat kemalangan? 

iklan

iklan

Iklan