X Close

Pelatih PLKN meninggal dunia akibat sesak nafas

Diterbitkan: Jumaat 19 Jan, 2007

MELAKA:  Seorang pelatih perempuan Program Latihan Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Ayer Keroh di sini meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital pagi ini setelah ditemui sesak nafas ketika tidur.

Iliameera Azlan, 17, dari Taman Tuanku Jaafar, Seremban, dikejarkan ke Hospital Melaka setelah ditemui oleh seorang rakan pelatih dalam keadaan sesak nafas pada 6.30 pagi tadi, kata Ketua Polis Melaka Datuk Ayub Yaakob.

"Berasaskan laporan awal, tiada unsur khianat yang menyebabkan kematian pelatih. Siasatan juga mendapati Iliameera tidak menjalani aktiviti fizikal yang berat pada malam tadi dan tidak mempunyai rekod masalah kesihatan," katanya kepada pemberita di Hospital Melaka di sini.

Di Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata siasatan rapi akan dijalankan bagi mencari punca kematian.

"Saya amat sedih mendengar kematian pelatih itu. Saya belum dapat lagi laporan dari segi punca kematiannya tetapi kita akan menjalankan siasatan untuk mengetahui apa punca sebenarnya,

"Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian sekarang. Kita tunggu laporan dalam sedikit masa lagi dan kita akan keluarkan kenyataan," katanya kepada pemberita.

Iliameera dilaporkan tidak bangun tidur pada waktu yang ditetapkan pada pukul 5.30 pagi dan apabila ditemui dalam keadaan sesak nafas pada kira-kira pukul 6.30 pagi, jurulatih di kem itu telah membawanya ke hospital.

Iliameera dipercayai meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Melaka.
Pengarah Hospital Melaka Dr Abu Bakar Mohamud sewaktu ditemui pemberita enggan memberitahu sebab kematian Iliameera setelah bedah siasat dilakukan.

"Kita telah lakukan ujian pelbagai 'sample' dan pemeriksaan lanjut akan dilakukan sebelum kami menghantar laporan kepada Kementerian Kesihatan," katanya.
Ayah Iliameera, Azlan Jaafar, 46, berkata beliau dan isteri, Hasnah Arshad, telah bergegas ke Melaka setelah menerima panggilan dari kem yang memaklumkan keadaan anaknya.

"Anak saya sihat, sebelum datang sini pun sihat, tak sakit, kata seronok di sana (kem). Tiba-tiba hari ini sahaja terima panggilan, dia dah mati," katanya.

Kali terakhir beliau bertemu anak perempuan sulungnya itu ialah pada 7 Jan lepas, dan sepatutnya bertemu beliau lagi pada 27 Jan, kerana allahyarham dijadual menghadiri satu temuduga kerja bagi jawatan juruteknik dengan Penerbangan Malaysia (MAS).

Iliameera, pelajar Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban, sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Dol Said di Sikamat.

Ketua Pengarah PLKN Abdul Halim Abdul Hamid turut berada di Hospital Melaka dan menyerahkan sumbangan wang tunai RM3,000 yang merupakan sebahagian daripada insurans. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan