X Close

Pelajar koma selepas terjatuh dari tingkat empat

Diterbitkan: Jumaat 12 Jan, 2007

IPOH:  Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu koma lebih lima hari selepas terjatuh dari sebuah tingkap di Tingkat Empat Sekolah Menengah Seri Ampang di sini Isnin lepas.

Dalam kejadian itu, Khew Kok Peng, 13, dipercayai cuba mendekati sebuah sarang burung yang berada berhampiran tingkap di tingkat empat bangunan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Jalaludin Ibrahim berkata kejadian berlaku ketika pelajar terbabit bersama rakannya yang lain berada di dalam kelas, manakala pelajar lain menghadiri perhimpunan sekolah.

"Mereka bermain-main di dalam kelas pada masa itu dan entah macam mana pelajar itu terjatuh dari tingkat empat bangunan itu.

"Setakat ini polis telah membuka kertas siasatan dan dipercayai tiada perbuatan khianat dilakukan oleh mana-mana pihak,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pelajar berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Besar Ipoh dan keadaannya tidak banyak berubah selepas cedera di bahagian kepala dan anggota badan.

Jurucakap polis berkata pihaknya telah menyoal rakan mangsa bagaimanapun tidak mendapat banyak maklumat yang diperlukan.

Berikutan kejadian itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar akan melawat pelajar berkenaan di Hospital Besar Ipoh, dan bilik darjah tempat mangsa terjatuh, esok. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan