X Close

Lumba haram bagai negara tiada undang-undang

Diterbitkan: Khamis 7 Sept, 2006

KUALA LUMPUR:  Aksi pelumba motosikal haram di jalan raya yang membahayakan pengguna jalan raya lain memberikan gambaran seolah-olah tiada penguatkuasaan undang-undang di Malaysia, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini.

Beliau berkata perbuatan segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya lain mencemar imej negara.

"Jika pelancong asing lihat, mereka akan beranggapan negara kita mempunyai jalan raya yang tidak selamat dan menyebarkan tanggapan itu apabila pulang ke negara masing-masing," katanya ketika berucap merasmikan Forum Gejala Lumba Haram di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras di sini.

Musa berharap forum itu, yang dihadiri antara lain pelajar sekolah dan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara, dapat menjadi landasan untuk mengajar para remaja tentang bahaya gejala lumba haram dan tindakan undang-undang yang boleh dikenakan, jika disabit kesalahan.

Statistik PDRM bagi tempoh Januari 2001 hingga Mei tahun ini menunjukkan 2,970 daripada 3,182 orang yang tertangkap kerana terlibat dalam kegiatan lumba haram merupakan belia berumur dari 16 hingga 25 tahun.

Ditanya mengenai cabaran dalam membasmi kegiatan lumba haram, Musa berkata ia sukar kerana perlumbaan itu berlaku secara spontan.

"Biasanya lumba motosikal haram ini berlaku apabila seorang mencabar dan yang lain menyahut cabaran itu, jadi susah hendak jangka bila akan berlaku," katanya.

Beliau berkata tindakan mencegah seperti menambah bonggol di jalan-jalan tidak praktikal kerana akan menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Mengenai keputusan Kabinet semalam supaya polis menangguhkan pelaksanaan kadar baru saman trafik yang membabitkan pengurangan kadar sehingga 70 peratus bagi pelbagai kesalahan, Musa berkata polis akur dengan kehendak kerajaan.

"Itu keputusan Kabinet, maka kita patuh. Buat masa ini kita tangguh dulu." BERNAMA

iklan

iklan

Iklan