X Close

Menanti tali gantung: Kisah Kim dan Mat

Diterbitkan: Selasa 26 Sept, 2006

KUALA LUMPUR:  "Kim" (bukan nama sebenar) berusia 28 tahun, berkulit cerah dan berbadan agak tegap. Semasa ditemubual, tangan kanannya bergari dengan pegawai penjara yang duduk di sebelahnya.

Kim adalah banduan akhir. Dia dihukum mati kerana kesalahan mengedar dadah mengikut seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2005.

Sukar untuk percaya yang anak muda ini, jika rayuannya ditolak, akan ke tali gantung.

"Mat", 40, bercermin mata dan kelihatan seakan berputus asa adalah banduan hayat.

Dia dipenjara seumur hidup pada 16 November 1990 kerana rompakan bersenjata di bawah seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Untuk itu, dia terpaksa menyarung baju-T penjara bertulis "HSH" (Hukuman Sepanjang Hayat) atau "Home Sweet Home", jelas Mat secara berjenaka.

Kedua-dua banduan ini mempamerkan perwatakan berbeza dan kisah bagaimana mereka akhirnya menjadi penghuni penjara boleh dijadikan teladan dan sempadan.

Kim berbual dengan nada penuh keyakinan yang dia tidak bersalah dan akan mengemukakan rayuan sementara Mat berbual dengan suara perlahan, berbaur kecewa, mungkin mengenangkan nasibnya hidup di balik tirai besi sepanjang hayatnya.

Kisah Kim
Sebagai banduan akhir atau singkatannya BA, Kim tinggal sendirian di sel di Blok Abadi, Penjara Kajang iaitu blok khas yang menempatkan banduan-banduan hukuman mati.

Kim adalah antara lebih kurang 10 orang banduan akhir yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 28 tahun.

Meskipun bergelar BA, Kim, anak kedua daripada empat beradik, masih tampak ceria bila menceritakan kisahnya.

Dia dipenjara kerana dua kesalahan, memiliki 71 peket kecil daun kering, disyaki ganja dan memiliki dua kilo ganja.

"Perbicaraan ini berjalan selama lebih kurang dua tahun lapan bulan. Saya kalah dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Hukuman sebatan telah dijalankan dan hukuman penjara pula dijangka selesai September 2007," kata Kim.

Bagi kesalahan memiliki dua kilo ganja di bawah seksyen 39(B), kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari Januari 2001 hingga November 2005. Dia menerima hukuman mati mandatori.

Tatkala mendengar hukuman mati dibacakan, ingatannya hanya kepada keluarganya.

"Kenapa terjebak dengan dadah?" Itu soalan saya ketika menemubualnya di Penjara Kajang baru-baru ini.

"Saya tidak bersalah. Saya tidak pernah mengambil dadah dan saya tak ada rekod dadah. Saya masih menaruh harapan. Saya sedang menunggu untuk dipanggil ke Mahkamah Rayuan," ujar Kim, pekerja kilang selepas gagal Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

Dia mendakwa dia teraniaya dan dadah yang ditemui polis milik dua kawannya.

Bertemankan semangat
Kim mungkin akan menemui ajal di tali gantung tetapi dia masih bersemangat tinggi dan menjalani kehidupan di penjara seolah-olah dia tidak dijatuhi hukuman mati.

Tinggal sendirian di sel Blok Abadi, dia bukan sahaja bertemankan semangat malah dorongan dan kasih sayang keluarganya.

Kalau ada kebenaran pegawai, dia akan bersarapan pagi atau makan tengah hari dengan dua atau tiga kawan banduan akhir yang lain di luar sel.

Banduan akhir tidak dibenar keluar dari blok kecuali untuk urusan tertentu dan sebahagian besar masa mereka dihabiskan di dalam sel atau di dalam Blok Abadi.

Memandangkan tiada aktiviti luar, Kim membuat senaman sendiri selain menghabiskan masa lapang mendengar 'walkman' atau membaca majalah di samping mengikuti kelas-kelas agama.

Dia juga ternyata mengambil berat tentang kecergasan tubuh badannya. Dia menjaga makannya. "Tak lebih, tak kurang," katanya.

Perasaan sebagai banduan akhir?

"Sedih? Duka? Kecewa? Tak tahu nak cakap. Boleh dikatakan di Blok Abadi, kita kena tunjukkan wajah ceria bukan sahaja kepada banduan malah kepada pegawai.

"Saya tak boleh tunjukkan wajah garang atau muka masam. Ini untuk mengurangkan tekanan. Kalau tunjukkan muka masam, pegawai yang bertugas juga rasa tertekan," tambah Kim.

Menurutnya lagi, meskipun banduan akhir menunggu hari-hari ke tali gantung, mereka hidup seperti satu keluarga.

"Kalau berbual kami tak timbulkan cerita-cerita sedih. Kami juga elakkan pergaduhan, tak nak cari lawan, nak cari kawan. Meskipun kebanyakan banduan akhir banduan berprofil tinggi tetapi kita nak berkawan dengan semua. Mereka pun manusia, kalau kita pinggirkan mereka, mereka akan lebih tertekan," katanya.

Nasib lebih baik
Meskipun bergelar banduan akhir, Kim masih menyifatkan dirinya lebih bernasib baik berbanding banduan-banduan akhir yang lain.

"Kalau nak dibandingkan saya dengan mereka jauh api dari panggang. Apalah sangat pengalaman saya berbanding mereka yang sudah bertahuntahun di Blok Abadi ini. Ada yang langsung tak dijenguk keluarga.

"Sekejap-sekejap ada juga datang fikiran negatif tetapi solat menjadi benteng. Boleh kawal perasaan. Saya tak boleh menyalahkan takdir. Saya akan teruskan kehidupan saya sehingga sampai satu keputusan (rayuan). Saya tak boleh putus asa dan putus semangat," jelasnya.

Berkongsi pengalaman disebat 10 kali, Kim memberitahu hukuman itu dijalankan pada tahun 2005.

Kesakitan disebat tidak dapat digambarkan. Selepas disebat, keluarganya datang melawat. Bapa dan kakaknya menangis melihatkan luka sebatan. Sebulan baru luka itu sembuh.

Kisah Mat
Mat, banduan HSH, anak ketiga daripada enam beradik ini dipenjara pada 1990 ketika berusia 24 tahun.

Ibu bapa Mat bercerai ketika dia berusia 12 tahun. Dia dan kakaknya yang tua tinggal dengan ibunya.

Untuk menyara kehidupan, ibunya berniaga di kantin, dibantu kakaknya.

"Duit senang dapat, tak cukup curi duit emak. Bila dah biasa dengan duit, nak kerja pun malas. Emak dan kakak keluar selepas subuh, balik bila dah gelap. Jadi masa untuk saya 'enjoy' banyak, saya boleh buat apa yang saya suka.

"Ada duit belanja kawan-kawan, senang dimakan ampu oleh kawan-kawan. Bila mereka ampu, kita lupa, rasa kita yang terbaik," cerita Mat dengan suara perlahan ketika ditemubual di Penjara Kajang baru-baru ini.

Mendengar ceritanya, penulis secara spontan berkata, "macam kisah Anakku Sazali", Mat tidak berkecil hati dan masih mampu mengukir senyuman.

Dia tidak menyalahkan sesiapa termasuk kawan-kawannya di atas apa yang berlaku ke atas dirinya. Dia cuma berkata, "bila fikiran dah tak betul, macam tulah" apabila ditanya mengapa dia melakukan jenayah curi motosikal dan samun bersenjata.

"Nak kata menyesal, saya tak mengaku perasaan itu ada kerana apa yang saya buat hari ini, saya tak peduli esok apa jadi, saya tahu saya ada duit, saya nak 'enjoy'. Saya pernah kerja kontrak, di stesen minyak, warung, kerja penat gaji murah. Saya nak hidup mewah.

"Kadang-kadang bagi saya jel itu, bukan saya nak kata bagus tetapi sekurang-kurangnya walaupun saya kena hukuman macam ini, saya boleh tahan. Ada yang dikenakan hukuman tiga tahun, dah kena sakit jiwa," tambahnya.

Menurut Mat dia menyamun merata tempat, terakhir di Petaling Jaya tetapi diberkas selepas kawannya ditangkap dulu oleh polis.

Dia dikenakan dua tuduhan samun bersenjata pistol. Sebelum dikenakan tuduhan, dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 60 hari.

Bila ibu sudah tiada
Tidak dapat dinafikan, bagi seorang ibu, walau sejahat mana pun, anak tetap anak.

"Bagi ibu saya, saya adalah yang terbaik. Dia memangnya tidak menyangka saya boleh buat macam ni, dia tak tahu kejahatan saya," kata Mat, ada kesayuan dalam suaranya.

Semasa ditahan reman, setiap minggu ibunya datang melawatnya di penjara sehinggalah ibu tercinta menghembuskan nafas yang terakhir pada 27 Julai 1990. Dia diberi kesempatan untuk turut sama menguruskan jenazah ibunya.

"Masa menyambut jenazah ibu di dalam liang lahad, kalau nak kata tak sedih, itu bohong tapi sedih pun nak buat macam mana. Bermacam-macam perasaan datang, marah dengan diri sendiri pun ada," tambahnya.

Kini yang tinggal untuk melawatnya di penjara hanyalah adik-beradiknya sahaja. Ayahnya meninggal dunia dua bulan selepas melawat Mat bagi kali pertama dan terakhir di penjara.

Kunjungan adik-beradiknya tidak menentu, kata Mat, mungkin enam atau lapan bulan sekali.

Apakah dia merasa seperti sudah dilupakan apabila kunjungan adik-beradik semakin jarang?

"Saya faham kos nak datang melawat saya bukan sedikit. Harga minyak dah naik, macam-macam dah naik, jadi semua nak duit.

"Masa baru-baru ditangkap, saya ada tulis surat sebab saya tahu alamat. Sekarang saya tak tahu alamat. Mereka dah pindah dan saya malas nak minta alamat. Dulu mereka ada menulis, sekarang dah tak ada. Kalau mereka nak datang, datanglah, kalau tak nak jumpa, tak apa," Mat bersuara.

Belajar erti bersabar
Dari perbualannya, Mat seakan sudah pasrah dengan hakikat dia mungkin akan menghabiskan sepanjang hayatnya di penjara, seperti katanya, "kalau sudah jodohnya di sini, di sinilah. Kita tak tahu apa akan jadi esok."

Seperti sudah tersurat, Mat dilahirkan di Kajang, dibesarkan di Ampang dan kembali ke Kajang sebagai banduan dan mungkin untuk sepanjang hayatnya yang masih ada.

Namun, jika dibebaskan, Mat berkata, "dia boleh berikhtiar untuk hidup di samping kebolehan menjahit."

Mat bekerja di bengkel menjahit dari Isnin hingga Khamis, dari pukul 8:30 pagi hingga 4:30 petang.

Sebagai banduan hayat, dia tinggal sendirian di sel di Blok Ehsan (blok yang menempatkan banduan-banduan yang bekerja).

Selama 16 tahun di sebalik tembok batu dan tirai besi bukan satu tempoh yang singkat. Dia juga sudah menjalani hukuman sebat sebanyak 12 kali. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan