X Close

SPR mahu tukar alamat pengundi

Diterbitkan: Rabu 9 Ogos, 2006

PUTRAJAYA:  Seksyen 25 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, akan dipinda bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menukar alamat pemilih kepada alamat terbaru mereka.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata draf pindaan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada Oktober ini dan ia disasarkan dapat digunakan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menerusi pindaan itu, SPR dapat menyediakan daftar pemilih yang "bersih" dan tidak diragui mana-mana pihak, katanya kepada pemberita selepas melepaskan Pasukan Kembara Merdeka SPR 2006 di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata sebelum Julai 2002, terdapat kira-kira 9 juta pemilih, namun 3.5 juta daripadanya tidak berada di alamat seperti yang didaftarkan, yang bermakna mereka telah berpindah.

"Ia perlu disusun atur semula... sebelum ini kita tidak mempunyai kuasa, orang tak faham. Ini saya tak pernah jelaskan dulu. Saya tidak beri penjelasan dan sekarang sudah tiba masanya kita buat penjelasan, kita tidak ada kuasa...

"Jika seseorang pemilih tidak menetap di alamat yang didaftarkan, daftar pemilih akan terus diragui dan SPR disoal macam-macam dan dituduh macam-macam," katanya.

Abdul Rashid berkata menerusi pindaan itu, SPR akan melakukan semakan alamat pemilih dalam daftar pemilih dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan jika didapati tidak sepadan, SPR akan menghubungi mereka dan menasihatkan supaya menukar alamat.

Katanya jika mereka enggan berbuat demikian, SPR mempunyai kuasa untuk menukar alamat mereka tanpa kebenaran pemilih berkenaan.

"Tak bolehlah, sebab dia tidak ada lagi di situ, tempat kediaman dia tidak ada di situ. Kita ikut tempat kediaman, ia bermaksud tempat tinggal anda sekarang. Tetapi kita tidak akan potong nama dia, dia masih kekal sebagai pengundi," katanya.

Beliau berkata keperluan untuk menukar alamat itu hanya membabitkan pemilih yang berpindah ke negeri lain dan jika berpindah tetapi masih berada di kawasan pengundian yang sama, mereka tidak perlu berbuat demikian.

Abdul Rashid berkata SPR juga telah memaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewujudkan sistem alamat yang lengkap.

"Sekarang, alamat hanya ada pada hartanah yang dikenakan cukai, hartanah yang berada di luar kawasan bercukai, tak ada alamat. Keadaan itu menyebabkan posmen melonggokkan surat di satu tempat sahaja pada satu alamat.

"Sebab itu kita dapati dalam daftar pemilih, banyak alamat rumah yang ramai orang atau ramai pemilih tinggal di situ. Ini pun kita dituduh macam-macam dan kita tidak boleh mengeluarkan mereka kerana jika kita berbuat demikian, kita telah mengeluarkan pengundi yang sah," katanya.

Di samping itu, katanya SPR telah mengarahkan semua pengarah-pengarah negeri membuat "pembersihan" pada daftar pemilih masing-masing dengan membuat pengesahan jika terdapat pemilih yang telah meninggal dunia.

"Di kampung-kampung, kita guna ketua kampung untuk mengesahkan orang yang telah mati, jika ada kita akan keluarkan. Dulu, kita banyak bergantung kepada JPN dan saya tak salahkan JPN, jika orang tak lapor," katanya.

Abdul Rashid berkata baru-baru ini, SPR dapat mengesahkan hampir 13,000 pemilih di kawasan rumah panjang Sarawak, yang telah meninggal dunia tetapi masih tersenarai dalam daftar pemilih.

Sementara itu, katanya terdapat kira-kira 4 juta orang yang layak mendaftar tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

"Berdasarkan rekod JPN, terdapat kira-kira 15 juta orang yang telah mencapai had umur 21 tahun ke atas tetapi dalam daftar pemilih, hanya 10.3 juta orang dan daripada jumlah itu, 3.5 juta pemilih tidak menetap di alamat yang diberikan," katanya.

Beliau berkata program Kembara Merdeka yang bermula hari ini dan dijangka berakhir pada 22 Ogos di Kuala Terengganu, memberi peluang kepada masyarakat untuk mendaftar sebagai pemilih.

Katanya pasukan itu yang akan menjelajah ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, akan melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat terutama Orang Asli, masyarakat desa, penduduk pekan kecil, masyarakat bandar dan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). BERNAMA

iklan

iklan

Iklan