X Close

Armali Saloma-Tompel meninggal dunia

Diterbitkan: Isnin 7 Ogos, 2006

Armali Aman Ramli, anak tunggal hasil perkongsian hidup dengan biduanita Saloma dan AR Tompel meninggal awal pagi Ahad sejurus selepas menonton program kesukaannya, Akademi Fantasia.

Armali yang juga abang, berlainan ibu, kepada pelakon terkenal Adlin Aman Ramli, menghembuskan nafasnya pada malam Sabtu lepas di kediamannya di Kampung Batu Belang, Tampin Negeri Sembilan.

Menurut pelakon dan pelawak terkenal Aziz Sattar, isteri Armali, Melor Muhammad telah menghubunginya untuk memberitahu berita sedih itu.

Armali yang berusia 53 tahun, minat sangat dengan program realiti Akademi Fantasia kerana ingin menyaksikan pelajar kesukaannya Farhan AF4. Allahyarham tidak pernah ketinggalan menyaksikan program itu tambahan pula kerana suka melihat gelagat dan kritikan adiknya Adlin selaku pengkritik tetap AF4.

"Menurut Melor, Armali minat sangat kat Farhan AF4 dan terkilan pelajar kesayangannya tidak menang. Dia beriya-iya hendak menghubungi Adlin untuk mengadu kenapa tidak memilih Farhan sebagai pemenang," kata Aziz.

Hajat Allahyarham untuk bercakap dengan Adlin tidak kesampaian apabila Melor tidak mengendahkan permintaannya untuk bercakap dengan Adlin.

"Allahyarham nampak sihat dan menonton siaran langsung Konsert Akhir Akademi Fantasia bersama keluarganya di rumah. Dia sangat mengharapkan Farhan menang dan nampak begitu kecewa apabila Farhan mendapat tempat ketiga sahaja," terang Aziz yang rapat dengan keluarga Armali.

Walaupun Allahyarham datang daripada keluarga seni tetapi beliau tidak berminat dengan bidang lakonan tetapi lebih kepada bidang muzik dan mempunyai kemahiran bermain alat muzik seperti dram, keyboard dan bass.

Tugas terakhir Armali ialah pemuzik bebas sepenuh masa dengan menyertai beberapa kugiran di Tampin.

Bagi Aziz, dia akan senantiasa mengenang Allahyarham sebagai seorang yang peramah, bersikap mementingkan keluarga dan mempunyai sifat yang disenangi.  Armali Aman Ramli adalah salah seorang daripada 23 anak kepada seniman AR Tompel.

Menurut ibu saudara Allahyarham, seniwati Mariani, "walaupun mempunyai ramai adik beradik berlainan ibu, semua adik-beradik boleh dikatakan rapat juga kerana arwah suka menyatu-padukan semua mereka."

"Arwah juga bercadang untuk membuat majlis perjumpaan generasi seniman AR Tompel selepas Aidiladha nanti," kata Mariani yang turut sama mengiringi jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Kampung Batu Belang pada jam 11 pagi semalam.

Turut hadir dalam majlis pengebumian semalam ialah saudara mara terdekat Allahyarham selain Adlin Aman Ramli dan Amran Aman Ramli, adik beradik Dian dan Nasir P Ramlee serta penyanyi utama kumpulan Blues Gang, Ito Mohamad.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak iaitu Mohd Elfiriduan,10, dan Mohd Aieman Haikal, 5.

iklan

iklan

Iklan