X Close

Amin Al-Ma'unah mati digantung

Diterbitkan: Jumaat 4 Ogos, 2006

KUALA LUMPUR:  Mohamed Amin Mohamed Razali, Ketua Pertubuhan Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma'unah (Al-Ma'unah), yang terlibat dalam insiden Sauk enam tahun lalu, menjalani hukuman gantung hari ini di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Dia digantung sampai mati kira-kira pukul 6 pagi dan mayatnya dituntut keluarganya pada pukul 10 pagi tadi.

Menurut sumber daripada Penjara Sungai Buloh, sebelum Mohamed Amin menjalani hukuman itu, dia meminta untuk berjumpa dengan anggota keluarganya.


Mohamed Amin diiringi keluar mahkamah selepas prosiding pada November 2000 (foto fail The Star)

"Dia (Mohamed Amin) meminta maaf kepada anggota keluarganya atas kesalahannya dan turut menangis. Semasa hukuman dijalankan Mohamed Amin kelihatan tenang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan mayat Mohamed Amin dibawa balik ke kampung asalnya, Kampung Ngor, Sauk, Perak untuk dikebumikan selepas solat Asar hari ini.

Dalam kejadian pada 2 Julai 2000, sekumpulan 15 lelaki daripada kumpulan Al-Ma'unah melarikan pelbagai jenis senjata dari dua kem tentera di Grik, Perak, sebelum menyertai 13 orang lagi anggota kumpulan itu bersembunyi di Bukit Jenalek, Sauk.


Mohamed Amin dikawal ketat oleh polis ketika dibawa melawat kawasan persembunyian kumpulan tersebut di Bukit Jenalek, Sauk pada November 2000 (foto fail The Star)

Mohamed Amin telah menembak mati R. Sagadevan dan Mathew anak Medan, dua anggota pasukan keselamatan daripada empat tebusan kumpulan itu.

Pada 21 Okt 2002, Mohamed Amin yang dijatuhkan hukuman mati kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong merayu supaya hukuman itu dikurangkan kepada penjara seumur hidup.

Zahit Muslim dan Jamaluddin Darus, dua lagi pemimpin Al-Ma'unah yang juga dihukum mati kerana peranan mereka dalam insiden Sauk itu.

Seramai 16 lagi anggota kumpulan itu yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana kesalahan sama.


Seorang tentera menunjukkan sebuah Pajero yang sarat dengan 97 pucuk senapang M-16 dan dua Steyr di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada Ogos 2000 dalam satu demonstrasi kembali insiden rampasan senjata Sauk. Lima belas anggota tentera memerlukan masa hanya empat minit untuk memindahkan lebih 100 jenis senjata ke dalam tiga trak. (foto fail The Star)

Mereka dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati ataupun penjara sepanjang hayat.

Pada 7 Dis 2000, enam anggota Al-Ma'unah masing-masing dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan alternatif membuat persediaan dengan niat untuk melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka adalah antara 14 daripada 29 anggota Al-Ma'unah yang ditawarkan pertuduhan alternatif oleh pihak pendakwa raya.

Tujuh mengaku bersalah tetapi kemudian menarik balik pengakuan bersalah masing-masing. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan