X Close

Iddin akhirnya jumpa ibu di Australia

Diterbitkan: Khamis 24 Ogos, 2006

MELBOURNE:  Seorang ibu rakyat Australia dan dua anaknya warga Malaysia, bertemu sebagai satu keluarga di sini hari ini selepas 14 tahun terpisah.

Jacqueline Pascarl begitu gembira dengan kejutan ketibaan anak lelakinya berusia 23 tahun, Raja Mohamad Baharuddin Shah Raja Datuk Kamarul Baharin Shah, menurut laporan Australian Associated Press.

Beliau mengikut jejak adiknya Raja Shahirah Aishah, 21, yang datang ke Australia April lepas untuk bertemu dengan ibunya setelah berpisah sejak 1992 ketika berusia 7 tahun.


Iddin bersama bapanya Raja Kamarul Baharin pada April tahun ini di kediaman mereka di Kuala Terengganu. (foto The Star

Raja Mohamad Baharuddin atau Iddin, yang ketika itu berusia 9 tahun, dibawa pulang bersama adiknya ke Terengganu oleh bapa mereka Raja Kamarul Baharin Raja Ahmad Shah ketika beliau mendapat izin melawat anak-anaknya setelah bercerai.

Ketika itu Pascarl menggunakan nama Jacqueline Gillespie, dan cubaan beliau untuk mendapatkan anak-anaknya gagal ketika itu, hinggalah mereka berjaya berhubungan melalui e-mel dan telefon beberapa tahun kemudian.

Akhirnya pada April lepas Shahirah mengambil keputusan mengunjungi ibunya dengan izin Raja Kamarul Baharin di Malaysia.

Hari ini Iddin sambil memeluk ibunya memberitahu pemberita: "Saya kini mempunyai dua buah rumah."

Ditanya kenapa beliau datang ke Melbourne, katanya: "Kerana saya mahu bertemu dengan ibu saya. Saya amat merinduinya. Saya begitu sayangkan dia."

Iddin membayangkan yang beliau akan tinggal di Melbourne "buat masa yang lama" tetapi tidak menyatakan akan menetap di sini.

"Yalah, dia mengambil 14 tahun untuk memikirkan mengenainya," kata ibunya, Pascarl [foto, kiri].

"Australia adalah rumahnya juga."

Pascarl, mempunyai dua anak lagi daripada perkwahwinan sebelum ini. Shahirah berkata Iddin telah mengejutkannya dengan ketibaan beliau ke sini.

"Ia begitu bahagia dan menggembirakan," kata Pascarl ketika mereka bertiga berpegangan tangan di luar rumahnya di pinggir bandar Hawthorn hari ini.

"Saya mempunyai empat anak yang cantik dan unik setiap seorang daripada mereka dan seorang suami yang baik dan kami begitu gembira bersatu semula sebagai sebuah keluarga buat pertama kali sejak 14 tahun lalu, katanya.

"Kami perlu mengenali satu sama lain dengan lebih dekat lagi sekarang dan ini penting," katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada sokongan semua pihak selama ini.

Pascarl mengahwini Raja Kamarul Baharin pada 1980. Iddin dan Shahirah dilahirkan di Malaysia.

Pascarl kembali ke Australia dengan anak-anaknya selepas Raja Kamarul Baharin berkahwin seorang lagi.

Raja Kamarul Baharin kemudian melarikan Iddin dan Shahirah pada 1992, ke Queensland dan kemudian menaiki bot ke Indonesia sebelum mendarat di Malaysia.

Pascarl berkahwin dengan bekas wartawan Iain Gillespie selepas itu tetapi berpisah pada tahun 2000 selepas 10 tahun berkahwin.

Beliau kemudian berkahwin dengan Bill Cocaris, rakan sekolahnya. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan