X Close

'Saya akan ziarah makam isteri, anak setiap hari'

Diterbitkan: Rabu 2 Ogos, 2006

KUANTAN:  "Selepas keluar dari hospital nanti saya akan kunjungi makam arwah isteri dan anak saya setiap hari," kata Tunku Ismail Tunku Sulaiman, suami Allahyarham Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar.

Beliau yang ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini hari ini, berkata perkara pertama yang akan dilakukannya sebaik saja dibenarkan keluar ialah mengunjungi kedua-dua makam isteri dan anaknya, Tunku Rizal Shahzan, 21, di Makam Diraja Pekan.


Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad, isterinya Tengku Puan Tengku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan anak Tengku Muhammad Ri'ayatuddin menziarahi Tunku Ismail Tunku Sulaiman di wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dua hari selepas tragedi yang mengorbankan adinda Sultan Pahang, Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar. (fail foto The Star)

Menurutnya, walaupun kehilangan isteri dan anak tersayang dalam keadaan yang menyedihkan namun beliau pasrah dengan ketentuan Ilahi selain berharap kedua-duanya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

"Sudah semestinya saya akan menziarahi pusara mereka kerana sejak kejadian itu saya masih belum dapat berbuat demikian memandangkan keadaan kesihatan masih belum mengizinkan," katanya, kelihatan semakin sembuh.

Beliau berkata, kehidupannya selepas ini akan diteruskan seperti biasa walaupun kehilangan isterinya yang dikahwini sejak 40 tahun lepas amat dirasai.

"Dia merupakan isteri dan ibu yang penyayang dan baik hati selain sentiasa berpegang kuat kepada ajaran Islam dan sangat rapat dengan kelapan-lapan anak kami," katanya.

Dalam keadaan yang masih diselubungi kesedihan, beliau berharap seluruh masyarakat dapat menghapuskan pandangan negatif terhadap arwah anaknya, Tunku Rizal Shahzan terutama dalam isu pengambilan dadah.

Menurutnya, beliau yakin anaknya itu tidak mengambil dadah seperti yang diuar-uarkan sebelum ini sebaliknya menyatakan tindakan tersebut sedikit sebanyak dipengaruhi oleh "gangguan tertentu".

"Sebenarnya, sejak setahun yang lepas Tunku Rizal mengalami perubahan sikap yang agak aneh tanpa diketahui puncanya... dia pernah mengadu kepada kembarnya, Tunku Rizal Ramadan yang dia sering mendengar suara ghaib memintanya melakukan tindakan tertentu termasuk menyuruhnya melakukan pembunuhan.

"Bagaimanapun, Ramadan sentiasa cuba mententeramkannya apabila dia berada dalam keadaan sedemikian sebelum memberitahu keluarga situasi yang dialami oleh Tunku Rizal Shahzan," katanya.

Malah katanya, pada satu ketika arwah pernah menelefonnya sambil menangis teresak-esak kerana gagal mencari jalan pulang walaupun pada ketika itu dia berada di kawasan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di kawasan Berkelah, Maran.

Sebagai bapa, katanya, perasaan risau terhadap perkara yang menimpa anaknya itu tidak dapat disembunyikan menyebabkan beliau menghantar pasangan kembarnya itu ke Gold Coast, Australia untuk berehat sambil menenangkan fikiran.

Bagaimanapun, katanya, sikap aneh yang berlaku terhadap Tunku Rizal rupa-rupanya berulang kembali apabila dia didapati hilang dari tempat penginapannya sebelum dijumpai di kawasan hutan berdekatan oleh pasukan polis Australia.

"Apabila pulang semula ke sini saya bercadang untuk membawanya berubat secara tradisional namun tidak kesampaian selepas berlakunya kejadian tersebut pada pagi Isnin itu," katanya.

Tunku Ismail berkata, perkara aneh yang menimpa anaknya itulah yang menguatkan lagi tanggapannya bahawa tindakan yang diambil oleh Tunku Rizal pada hari tersebut bukan disebabkan oleh pengaruh dadah.

"Saya tidak tahu kalau di belakang saya dia ada ambil dadah tapi yang pasti dan yang saya tahu dia tidak akan buat seperti itu... dan pasal dadah, biarlah polis yang siasat," katanya.

Pada kejadian 1.20 petang 24 Julai lepas, Tunku Ismail cedera parah di perut manakala isterinya, Tengku Puteri Kamariah, 64, yang juga adinda kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, meninggal dunia dipercayai ditikam dengan pemutar skru dan pisau 'Rambo' oleh Tunku Rizal Shahzan di kediamannya di Villa Ismaputri 2, Kubang Buaya dekat sini.

Menurut laporan media, pada hari kejadian, Tunku Rizal Shahzan dikatakan seperti dirasuk selepas terjun dari tingkat atas villa berkenaan dan kemudiannya bertindak memasuki semula kediaman itu dan menikam ibu bapanya.

Tunku Rizal Shahzan meninggal dunia enam jam selepas kejadian tersebut, dipercayai akibat mengambil dadah berlebihan. BERNAMA

Berita berkaitan:
Tunku Rizal 'lebih suka menyendiri dan berdiam diri' (25 Jul)
Jenazah Tengku Puteri selamat disemadikan (25 Jul)
Berita bergambar tragedi Kubang Buaya foto

iklan

iklan

Iklan