X Close

Polis tembak mati tiga perompak

Diterbitkan: Jumaat 18 Ogos, 2006

IPOH:  Tiga lelaki yang bersenjatakan dua pucuk pistol ditembak mati oleh sepasukan polis yang memburu mereka sejurus selepas kumpulan itu cuba merompak sebuah kedai emas di sebuah pusat membeli-belah di Pengkalan di sini hari ini.


Anggota unit forensik menjalankan siasatan di tempat tiga perompak ditembak mati. (foto Bernama)

Tiga lelaki dipercayai warga asing yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditembak mati di sebuah ladang kelapa sawit di Simpang Pulai, kira-kira empat kilometer dari Pengkalan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk A. Paramasivam berkata drama itu bermula kira-kira 1.20 tengah hari apabila tiga lelaki bertopeng masuk ke kedai emas berkenaan dan terus memecah kaca pameran dan kamera litar tertutup (CCTV).

Kumpulan itu yang membawa beg galas menggunakan sebatang tukul besi dan sebilah parang untuk memecahkan kaca pameran dan CCTV itu, katanya.

Kejadian itu bagaimanapun disedari oleh pengawal keselamatan kedai itu yang terus melepaskan dua das tembakan ke arah ketiga-tiga perompak berkenaan dan mencederakan salah seorang daripada mereka, kata Paramasivam.

"Lelaki berkenaan cedera di bahagian tangan dan ekoran itu mereka terus melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna biru dengan nombor pendaftaran AEL 7188. Sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta berkenaan dan terus mengejarnya hingga ke Simpang Pulai," katanya.

Kereta yang dipandu lelaki itu dipercayai terperangkap selepas memasuki kawasan ladang berkenaan dan apabila salah seorang daripada mereka mengacu pistol ke arah polis, pasukan itu bertindak pantas melepaskan tembakan, katanya.

Ketiga-tiga lelaki itu mati di tempat kejadian.

Paramasivam berkata polis menemui dua pucuk pistol jenis .38 yang masing-masing mengandungi enam butir peluru, sepasang topeng, sarung tangan, beg galas, sebatang rotan dan beberapa dokumen perjalanan di dalam kereta berkenaan.

Katanya kereta yang digunakan oleh lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan polis sedang menyiasat sama ada kereta itu dicuri.

Beliau berkata polis percaya kumpulan lelaki itu adalah kumpulan sama yang cuba merompak sebuah kedai emas di Bidor pada 15 Mei lepas.

Polis menggagalkan cubaan rompakan itu selepas menembak mati seorang daripada lima lelaki yang merempuh masuk ke kedai berkenaan.

Paramavisam berkata siasatan awal polis percaya kumpulan itu juga aktif dalam jenayah pecah rumah dan dipercayai terbabit dalam lebih 30 kes di Sungkai, Sungai Senam, Simpang Pulai, Taiping, Teluk Intan, Simpang, Kampung Gajah, Lintang dan sekitar Ipoh. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan