X Close

Siti jadi 'rocker' kerana protege

Diterbitkan: Isnin 24 Jul, 2006

Kekecohan kontroversi yang berlaku minggu lalu di dalam Mentor musim kedua nyata tidak melemahkan semangat Siti Nurhaliza dan protegenya, Kat apabila kedua-dua mereka muncul dengan memberikan satu persembahan yang mantap pada konsert mingguan program itu, malam tadi.

Kat, atau nama sebenarnya Siti Khatijah Hassan telah berjaya membuktikan bahawa dia sememangnya layak berada di bawah bimbingan penyanyi tersohor itu apabila persembahannya melalui dua buah lagu, Salam Untuk Kekasih dan Permata Biru berjaya menghiburkan penonton-penonton yang hadir di konsert yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam itu.

Minggu lepas, ramai yang terkejut apabila dua protege asal Siti iaitu Ayu Safina Sahidan dan Nurnadia Russali tersingkir dan digantikan dengan Kat yang diserap semula, selepas gagal melayakkan diri sebagai protege Amy Search.


Gandingan mantap Siti dan protegenya Kat melalui lagu 'Permata Biru' berjaya menggamatkan Sri Pentas 2 semalam (Foto: Kamal Sellehuddin)

Kat, yang kalah di tangan seorang lagi protege Amy iaitu Mohd Firdauz Abdul Halim pada konsert prolog, dibawa masuk semula di dalam Mentor dan diletakkan di bawah bimbingan Siti pula.

Alasan yang diberikan oleh TV3 bahawa kemasukan semula Kat dan penyingkiran dua protege sekaligus dilakukan berdasarkan undian SMS, telah mencetuskan kekecohan, termasuklah bapa kepada protege Nurnadia yang amat tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Pertikaian itu berterusan apabila ada pihak yang mendakwa Kat dimasukkan semula kerana statusnya sebagai adik ipar kepada Amy Search. 

Mungkin untuk membuktikan kebolehannya dan menyangkal dakwaan sesetengah pihak tentang kredibilitinya, Kat bangkit dengan satu persembahan yang cukup bertenaga malam tadi, hasil bimbingan mentor 'baru'nya itu.


Tiga protege kumpulan A...(dari kiri) Eiya, Kat dan Nieyl (Foto: Kamal Sellehuddin)

Kedua-dua mentor dan protege itu juga turut mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan fesyen pakaian yang sama. Perbezaan perwatakan dan genre muzik, nyata bukan satu halangan untuk Siti berganding bahu dengan protegenya.

Walaupun sebelum ini ramai yang beranggapan imej rock Kat tidak sesuai dengan perwatakan lemah-lembut Siti, tetapi pada konsert malam tadi kedua-dua mereka berjaya membuktikan masih wujud 'keserasian' di antara mereka. 

Malah, Siti sendiri yang turut berduet dengan protege berusia 19 tahun itu melalui lagu Permata Biru, nyanyian asal oleh Ratu Rock Ella telah menggamatkan suasana apabila sanggup menjadi 'minah rock' demi protegenya.

"Tak apalah, Siti jadi rock pula malam ini untuk protege Siti," kata penyanyi itu sebaik selesai membuat persembahan bersama Kat.

Boleh dikatakan, persembahan Kat pada malam itu adalah yang terbaik, berbanding dua protege lain yang turut beraksi di dalam konsert untuk kumpulan A itu, iaitu Nieyl, protege kepada Nurul dan Eiya, protege Yassin.

Eiya dan mentornya Yassin ketika mendendangkan lagu Dealova dan Doa Buat Kekasih (Foto: Kamal Sellehuddin)

Bukan kerana mentornya Siti ataupun abang iparnya ialah Amy Search, tetapi Kat sebenarnya tidak dinafikan mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang mampu memukau penonton-penonton yang hadir.

Mungkin kerana imej yang agresif membuatkan Kat berbeza daripada protege-protege yang lain dan ternyata, keputusan Siti untuk membiarkan Kat terus membawa gaya dan rentak muzik yang disukainya adalah satu keputusan yang bijak.

Pada persembahan malam tadi, Siti juga banyak memberi ruang kepada Kat untuk menonjolkan bakatnya yang sebenar. Walaupun berduet, Siti hanya menyanyikan beberapa bahagian lagu itu sahaja, mungkin kerana ingin memberikan 'laluan' untuk protegenya beraksi dengan lebih lagi.

"Saya nampak ada keserasian di antara Kat dan mentor. Satu persembahan yang cukup menarik," komen Adibah Noor, salah seorang juri jemputan pada malam itu.

Turut hadir sebagai juri ialah komposer Adnan Abu Hassan dan Zainal Abidin selaku juri tetap. Secara keseluruhan, kedua-dua mereka juga turut memuji persembahan protege itu.

Manakala persembahan Eiya, protege kepada Yassin juga tidak mengecewakan. Eiya atau nama sebenarnya Hidayah Osman yang membawakan lagu Dealova dan Doa Buat Kekasih turut berduet dengan mentornya itu bagi kedua-dua buah lagu tersebut.

Tidak dinafikan, Eiya mempunyai vokal yang hebat, namun, seperti yang dikritik oleh juri, keserasian protege dan mentor tersebut berpadu suara tidak kelihatan.

Yassin turut mengakui perkara itu kerana merasakan kedua-dua mereka berlainan citarasa muzik dimana Yassin lebih cenderung ke arah konsep world music manakala Eiya gemar membawa lagu-lagu berentak balada.

Namun,

Dengan kemantapan vokalnya, Nieyl sememangnya tidak menghadapi masalah besar ketika mendendangkan lagu Ku Bahagia dan Bisikan Cinta (Foto: Kamal Sellehuddin)

pujian harus diberikan untuk Yassin yang mengambil inisiatif untuk mengubah imej protegenya agar nampak lebih berkeyakinan.

"Saya tidak nafikan kemampuan bakatnya. Tapi, bila saya lihat dia berdiri di samping protege-protege lain, dia nampak tenggelam. Sebab itu saya cadangkan kepada dia untuk ubah sedikit imejnya itu," kata Yassin yang kini bangga melihat penampilan baru protegenya itu yang nampak lebih bergaya berbanding di awal kemunculannya dulu sewaktu di konsert prolog.

Namun, ini baru di peringkat permulaan dan masih banyak lagi ruang untuk Eiya memperbaiki apa yang kurang dibawah bimbingan mentornya itu.

Begitu juga yang berlaku pada Nieyl, protege kepada penyanyi Nurul. Dari segi vokal, Nieyl sememangnya tidak menghadapi masalah besar ketika mendendangkan lagu Ku Bahagia dan Bisikan Cinta.

Tetapi, persembahannya malam tadi masih ada kekurangan. Pertamanya, sebutan protege itu kedengaran kurang jelas. Kedua, kurang penghayatan yang dilahirkan oleh Nieyl ketika mempersembahkan lagu tersebut.

Pentas itu juga nampaknya 'dikuasai' oleh Nurul berbanding protege itu sendiri ketika mereka berduet untuk lagu Bisikan Cinta.

"Saya rasa, beberapa part nyanyian Nurul yang high note itu sepatutnya dibawa oleh awak supaya vokal awal lebih terserlah lagi," komen Adnan.  

Namun, secara keseluruhannya, ketiga-tiga protege daripada kumpulan A ini berjaya menampakkan kesungguhan mereka beraksi, walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki oleh mereka.

Minggu depan, tiga protege daripada kumpulan B pula akan berentap untuk mengumpul mata bagi menentukan siapa yang akan mara ke peringkat seterusnya. 

Mereka adalah Syed Alfrizal, protege kepada Zaf VE, Rahayu Baharuddin (Hazami) dan Mohd Firdauz Abdul Halim (Amy Search).

Setiap protege dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B dimana mereka perlu bersaing sebanyak tiga kali. Markah akan diperolehi oleh protege berdasarkan 50 peratus undian SMS dan talian tetap, serta 50 peratus lagi daripada pilihan juri professional.

Penonton diberi masa seminggu untuk menghantar undian mereka dan peratus keputusan undian akan diumumkan pada siaran minggu berikutnya.

Selepas tiga kali persaingan, protege yang mendapat markah terendah di dalam setiap kumpulan akan disingkirkan, manakala dua protege yang lain daripada dua kumpulan itu akan meneruskan perjalanan ke peringkat separuh akhir.

Di dalam peringkat separuh akhir, juara kumpulan A akan bersaing dengan naib juara kumpulan B dan juara kumpulan B pula akan bersaing dengan naib juara kumpulan A.

Pemenang di peringkat separuh akhir ini akan berentap di dalam pertandingan akhir bagi merebut gelaran juara Mentor musim kedua serta berpeluang menjadi artis rakaman EMI.

Konsert mingguan Mentor disiarkan secara langsung di TV3 pada setiap hari Ahad, jam 9 malam.  

iklan

iklan

Iklan