X Close

Asraf teman Siti pergi rakaman RTM

Diterbitkan: Ahad 23 Jul, 2006

Walaupun sibuk dengan persiapan perkahwinannya pada 21 Ogos ini, penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza Tarudin masih dapat meluangkan masa untuk rakaman edisi istimewa, ‘Konsert Fenomena Hari Raya Siti Nurhaliza dan Saiful Apek’ di Angkasapuri semalam.


Asraf menemani Kak Siti ke Konsert Fenomena Siti Nurhaliza dan Saiful Apek di Angkasapuri
(The Star)

Pada hari Isnin lepas, Siti telah membuat satu sidang akhbar khas untuk mengumumkan perkahwinannya dengan tokoh korporat Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Kehadiran anak ketiga Datuk Khalid Mohd Jiwa, Mohd Asraf Khalid pada sesi rakaman  menjadi tumpuan orang ramai.

Namun Ashraf, bakal anak tiri kepada Siti Nurhaliza, dikawal ketat oleh seorang pengawal peribadi penyanyi itu agar tidak disambar oleh mana-mana pihak.

Ternyata Asraf tidak langsung terjejas dengan tekanan publisiti yang meluas prihal perkahwinan bapanya kepada penyanyi jelita tersebut.

Remaja berusia 14 tahun yang berbaju T-shirt hitam itu hadir bersama seorang rakan lelaki dan kelihatan riang setiap kali Siti melakukan persembahan pada malam itu.  

Konsert anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu merupakan konsert pertama yang diadakan selepas pengumuman tarikh pernikahan Siti bersama Datuk Khalid pada hari Isnin yang lalu.


Siti Nurhaliza memukau dengan lagunya , 'Biarlah Rahsia'
(Utusan)

Ratusan penonton yang membanjiri Auditorium Angkasapuri tidak henti-henti melaungkan ucapan tahniah kepada penyanyi yang berusia 27 tahun itu.

Lagu-lagu seperti 'Haiya Cik Siti', ‘Antara Mataku Dan Kamu’ serta ‘Sedang Ingin Bercinta’, meyaksikkan persembahan duet yang menghiburkan serta bertenaga di antara Siti dan Saiful Apek sebagai pembuka tirai pada konsert itu.

Malah, penyanyi wanita nombor satu di Malaysia sempat bergelek menerusi lagu ala dangdut yang dipopularkan oleh Dewa 19 itu.

Siti juga merakamkan sebuah lagu rancak bertajuk ‘Destinasi Cinta’ daripada album terbarunya ‘Transkripsi,’ dengan diringi penari-penari latar.

Walaupun tarian tidak sehebat mana, keunggulan vokal Siti berjaya menyelamatkan persembahan lagu itu. 

Suasana romantis mula mengisi setiap ruang di Auditorium apabila penyanyi nombor 1 itu menyanyikan beberapa buah lagu baladanya secara medley seperti ‘Jerat Percintaan’ dan lagu yang berjaya menembusi pasaran Indonesia, ‘Aku Cinta Padamu’.


Siti terharu dengan ucapan tahniah daripada ratusan penonton yang menghadiri konsert di Angkasapuri
(Utusan

Penonton yang hadir memberi tepukan yang gemuruh apabila penyanyi itu memulakan dendangan  lagu ‘Biarlah Rahsia’.

Penghayatan Siti menerusi lagu tersebut begitu ketara kerana intipati ‘Biarlah Rahsia’ begitu sinonim kepada kisah percintaannya bersama Datuk Khalid.

Sesi seterusnya, melihat gabungan duet Siti-Apek menerusi medley lagu-lagu popular seperti 'Wajahmu', ‘Teman Tapi Mesra’, ‘Pupus,’ ‘Pudar’ dan ‘Jujur’.

Telatah Saiful Apek yang cuba ‘mengorat’ Siti ketika persembahan disambut dengan gelak ketawa para penonton.

Segmen terakhir konsert tersebut memaparkan dendangan lagu-lagu Hari Raya.


Siti Nurhaliza bakal menghiburkan penonton menerusi rangkaian RTM pada Hari Raya kelak
(Utusan)

Saiful Apek, yang memulakan kerjaya sebagai insan seni menerusi pertandingan ‘Sinaran Pasport Kegemilangan’ menunjukkan kehebatan vokalnya menerusi persembahan solo ‘Balik Kampung’.

Siti yang bakal bergelar isteri bulan hadapan, menambahkan seri suasana ‘Aidilfitri’ pada malam itu dengan dendangan ‘Nazam Lebaran’ dan ‘Sesuci Lebaran’.

Konsert pada malam itu melabuh tirainya dengan persembahan duet menerusi lagu ‘Seloka Hari Raya’.

Saksikan siaran rakaman ‘Konsert Fenomena Hari Raya Siti Nurhaliza dan Saiful Apek’ ini pada hari  Aidilfitri menerusi RTM kelak.  
 

iklan

iklan

Iklan