X Close

Ujibakat penyampai Suria FM

Diterbitkan: Khamis 20 Jul, 2006

Suria FM kini sedang mencari bakat-bakat baru untuk menjadi penyampai dan penerbit rancangan di stesen radio tersebut.

Antara syarat dan kriteria untuk sesiapa yang berminat, anda perlulah seorang warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas, memiliki ijazah atau diploma dan mempunyai suara yang baik serta kreatif.

Anda juga harus sentiasa mengikuti perkembangan semasa dunia muzik di dalam dan luar negara, fasih bertutur di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, berperwatakan ceria, lancar berkomunikasi serta bijak berinteraksi dengan semua golongan masyarakat.

Bagi yang berminat, anda boleh datang ke sesi temuduga pada 22 Julai ini bertempat di Sheraton Imperial Hotel, Kuala Lumpur. Sesi tersebut akan bermula pada jam 10 pagi hingga 5 petang.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-40451053.

Dalam pada itu, lapan artis tempatan telah dibawa secara eksklusif oleh Suria FM, Ahad lepas, bagi memeriahkan larian Seremban Half Marathon, bersempena dengan Hari Keputeraan ke 84 DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.


Artis-artis terlibat sempat merakamkan kenangan bersama deejay-deejay Suria FM dan beberapa kakitangan The Star (Foto: The Star)

Kehadiran Deja Moss, Fazli Malaysian Idol, CD Naz, Khadeeja, Ridzuan, Kumpulan Diva, Nassier Wahab dan pengacara Casa Impian Eric Leong yang membuat persembahan pada hari itu berjaya menghiburkan ribuan hadirin di N.S Padang Seremban.

Persembahan mereka adalah antara aktiviti yang dirangka oleh Suria FM sendiri yang turut membuka 'booth' untuk para peminat bertemu secara dekat dengan artis-artis tersebut serta deejay-deejay stesen radio itu.

Antara deejay Suria FM yang hadir adalah Sazali, Rezzlyn, Zaf dan June.


Barisan selebriti dan deejay yang turut menyertai larian tersebut (Foto: The Star)

Larian tersebut merupakan anjuran Kumpulan Antah dan Persatuan Atlet Amatur Negeri Sembilan dimana The Star turut bertindak sebagai media rasmi.

Acara larian itu dimulakan pada jam 6.45 pagi yang disertai oleh lebih 6,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai genap lapisan masyarakat.

Lebih menarik, beberapa artis terlibat seperti Deja Moss, Eric Leong, Fazli Malaysian Idol dan CD Naz turut mengambil bahagian bersama-sama beberapa deejay Suria FM di dalam larian tersebut.

Acara turut diserikan lagi dengan kehadiran DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

iklan

iklan

Iklan