X Close

"Saya memang 'over' sengau"

Diterbitkan: Isnin 17 Jul, 2006

Pengalaman serta ilmu yang diperolehi melalui Akademi Fantasia merupakan hadiah yang paling berharga untuk kedua-dua peserta, Lotter P Edwin Edin (Lotter) dan Rosliza bt Rosli (Leez).

 "AF bukanlah sebuah pertandingan semata-mata tetapi ianya merupakan sebuah tempat untuk orang baru seperti saya mendalami ilmu nyanyian," kata Lotter mengenai impak rancangan realiti tersebut di dalam kehidupannya.

Begitu juga dengan Leez. Walaupun hanya seminggu bersama Akademi sebagai pelajar jemputan, Leez tetap bersyukur dengan peluang keemasan untuk merasai kehidupan sebagai pelajar rancangan realiti tersebut.


 "Saya bersyukur kerana kritikan itu memang ada benarnya. Saya memang over sengau," ujar Lotter
(The Star)

"Saya amat berterima kasih kepada Akademi Fantasia. Saya telah memberi persembahan yang terbaik dan ramai telah memuji kebolehan saya," ujar Leez yang merupakan salah seorang dari lapan pelajar yang tersungkur pada konsert Prelude.

Pemergian Lotter merupakan sesuatu yang tidak disangka-sangka terutamanya apabila peserta yang berusia 24 tahun ini pernah menduduki tempat pertama beberapa minggu yang lalu menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Kami dilatih agar sentiasa bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan. Kita tidak tahu bilakah kita akan diundi keluar," jawab Lotter ketika ditanya mengenai reaksinya yang kelihatan tenang walaupun diumumkan terkeluar pada konsert ketujuh itu.

Tahu Suara Sengau

 Tanpa segan silu, Lotter mengakui bahawa kelemahan vokalnya yang sengau merupakan antara punca dirinya tersingkir dari Akademi tersebut.

 "Saya bersyukur kerana kritikan itu memang ada benarnya. Saya memang over sengau," ujar peserta yang pernah menerima kutukan berbisa daripada beberapa juri jemputan termasuk Bob Lokman.

"Adakalanya, saya terlalu memberi perhatian terhadap tarian saya berbanding dengan kebolehan vokal saya," kata Lotter yang mengakui bahawa kegagalannya mengimbangi nyanyian dan tarian telah membawa padah kepadanya.

Pelajar yang meminati lagenda rock, Kurt Cobain ini telah diberi tugas untuk menyanyikan lagu ‘Chow Kit Road’, dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad pada konsert ketujuh Sabtu lepas.

"Saya telah melakukan yang terbaik dan itu sudah memadai," ujar Lotter yang dikatakan memberi persembahan yang bertenaga serta menghiburkan sebelum menggulung tikar dari akademi tersebut.

Persembahan Lotter yang menghiburkan telah mengundang dua juri jemputan Edry KRU dan penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza memuji bakatnya sebagai seorang penghibur.

Namun, pujian Edry dan Siti gagal membantu Lotter meraih undi untuk bertahan dalam akademi tersebut.

 "Mungkin para peminat tidak menggemari nyanyian saya dan berpendapat bahawa pelajar yang lain lebih layak untuk meneruskan perjuangan mereka," ujar Lotter mengenai isu peratusan rendah mendadak yang diterima dari peminat-peminatnya.

 "Mereka ada hak untuk memilih. Saya teringin sangat untuk menyanyikan lagu KRU ‘Apa Saja Untukmu’ dan ‘Jangan Tinggalkan Aku,’nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, namun, apakan daya," ujar Lotter mengenai hajatnya yang terbantut begitu sahaja. 

Apabila ditanya perihal pengkritik tetap Adlin Ramli yang dikatakan merajuk dengan mimikan Lotter menerusi salah sebuah siri Diari AF4, anak muda dari Membakut Sabah ini hanya tersenyum dan tidak mahu memberi sebarang komen

Untuk pertama kalinya, Adlin membisu dan enggan memberi kritikan selepas persembahan terakhir Lotter itu. Dan pengacara Aznil Nawawi telah menyelamatkan keadaan dengan memberitahu mungkin Adlin bermaksud "suruh Lotter balik dan dating semula semasa akhir konsert nanti." Komen ini pernah diberikan oleh Adlin ketika di awal konsert. 

Bakal bergabung dengan Felix

Walaupun perjalanan sebagai insan seni baru sahaja bermula, Lotter yakin bahawa bakatnya tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja.

"Banyak yang telah meragui kebolehan saya untuk menceburui bidang nyanyian termasuk bapa saya sendiri.

Saya mahu membuktikan bahawa saya ada kemampuan untuk berjaya," tegas Lotter yang enggan menyerah kalah dalam mengharungi suka-duka dunia hiburan.

Walaupun ramai pelajar terumbang-ambing setelah terkeluar dari Akademi Fantasia, Lotter bertekad agar dirinya tidak mengalami nasib yang sama.

"Ini bukan penghujung kerjaya saya. Malah ini merupakan satu titik permulaan untuk saya mengembangkan sayap saya dalam bidang ini," ujar Lotter yang bakal bergabung tenaga bersama-sama dengan bekas pelajar AF dari Sabah iaitu Rich, Felix dan Marsha untuk menjayakan sebuah konsert bergerak ke seluruh Sabah.

"Saya tidak sabar untuk menjayakan konsert tersebut namun ianya masih dalam perancangan," katanya yang teruja apabila diberitahu yang dia akan digandingkan bersama Felix sepanjang konsert itu.

Leez dan Haziq: Teman sahaja

Leez hanya mampu tersenyum apabila para wartawan mengusik keintimannya dengan Hazwan Haziq Rosebi atau Haziq.

"Kami hanya kawan," tegas Leez yang menyangkal dakwaan hubungan cinta di antara mereka seperti yang telah digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

 "Saya gembira apabila saya dapat menceriakan Haziq pada saat-saat yang kritikal ini," ujarnya mengenai peserta yang dikatakan memberi persembahan yang hambar sepanjang empat minggu berturut-turut.


Dalam diam-diam, Leez sudahpun mencipta nama sebagai seorang pelakon
(The Star)

"Saya, Farhan dan Haziq memang rapat sejak konsert prelude. Ketiga-tiga kami tidak dapat dipisahkan pada waktu itu," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengenai persahabatannya bersama Farhan dan Haziq.


Sudah bergelar sebagai pelakon

Dalam diam-diam, Leez sudahpun mencipta nama sebagai seorang pelakon apabila dia ditawarkan untuk berlakon dalam drama bersiri terbitan Astro, Astana Idaman baru-baru ini.

"Saya sudahpun bergelar sebagai pelakon kira-kira sebulan yang lalu. Malah, penggambaraan terpaksa ditangguhkan kerana pembabitan saya dalam Akademi Fantasia selama seminggu," ujar Leez mengenai kerjaya barunya.

"Nama watak saya Atikah, seorang setiausaha di Astana Idaman yang dipaksa berkahwin dengan seorang hartawan muda," ujarnya lagi mengenai wataknya di dalam Astana Idaman.

Menurut Leez, dia sudah mula jatuh cinta dengan lakonan dan mungkin akan memberi lebih focus kepada bidang ini untuk sementara waktu.  

iklan

iklan

Iklan