X Close

Siti kembali sebagai 'mentor'

Diterbitkan: Rabu 21 Jun, 2006

Siti Nurhaliza sekali lagi dipilih menjadi 'sifu' di dalam musim kedua program realiti terbitan TV3, Mentor, yang bakal memulakan siarannya 9 Julai ini.

Siti adalah satu-satunya 'mentor' dari musim pertama program tersebut yang dikekalkan kali ini bersama lima lagi barisan mentor baru yang terdiri daripada Amy Search, Hazami, Nurul, Yassin dan Zaf VE.

Pada musim pertama program itu yang pernah disiarkan tahun lepas, Siti dipilih bersama beberapa artis lain seperti Nora, Zainal Abidin, Cat Farish, Noraniza Idris, Ning Baizura, Hattan dan Liza Hanim.


Siti bersama dua protegenya Ayu Safina (kiri) dan Nurnadia Rusali. Konsert prolog yang bakal disiarkan 9 Julai ini akan menentukan seorang sahaja protege yang akan terus mendapat khidmat mentor masing-masing

"Sebenarnya, dari awal lagi kami memang ingin menampilkan barisan mentor yang baru. Kita telah hubungi ramai artis, tetapi mereka tidak dapat memberikan komitmen yang penuh terhadap program ini kerana sibuk dengan pelbagai perkara.

"Jadi, kami cuba hubungi Siti sekali lagi. Kami dimaklumkan dia bersetuju dan boleh memberikan komitmen kepada Mentor, sebab itulah dia dipilih semula. Manakala Zainal Abidin kita telah lantik sebagai ketua juri," ujar Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan di majlis pelancaran musim kedua program realiti itu semalam.

Tambahnya lagi, pemilihan mentor kali ini amat istimewa kerana keenam-enam artis yang terlibat mewakili genre muzik mereka yang tersendiri. Ini secara tidak langsung membawa kelainan kepada musim kedua program tersebut.

"Kami yakin, dengan barisan mentor dan protege yang menakjubkan kali ini, program ini pasti akan mendapat sambutan ramai.


Barisan mentor baru...(dari kiri) Hazami, Zaf VE, Nurul, Amy Search dan Yassin. (Foto: The Star)

"Kita sedar ada beberapa lagi program realiti yang sedang ditayangkan. Tetapi, isu persaingan tidak timbul disini kerana konsep yang kami paparkan adalah berbeza. Tambahan pula program-program itu ditayangkan pada waktu yang berlainan," katanya.

Seramai 12 peserta telah terpilih daripada hampir 4,000 peserta yang telah menghadiri sesi uji bakat di tujuh buah negeri iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Johor, Selangor dan Sarawak.   

Musim kedua Mentor akan dimulakan dengan konsert Prolog 9 Julai ini pada pukul 9 malam yang akan disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. Pada konsert itu, 12 protege tersebut akan berentap bagi menentukan enam peserta yang bakal ke pusingan seterusnya dan terus mendapatkan khidmat mentor masing-masing

"Sepatutnya, setiap mentor hanya akan mempunyai seorang protege. Tapi, kami mengalami kesukaran untuk menentukan protege mana yang sesuai untuk setiap mentor kerana bakat semua protege tidak jauh berbeza.


12 protege yang bakal berentap untuk musim kedua Mentor (Foto: The Star)

"Jadi untuk permulaan, kami letak dua protege untuk setiap mentor dan kami serahkan kepada penonton untuk memilih melalui SMS seorang sahaja protege yang lebih sesuai untuk mentor masing-masing selepas konsert prolog disiarkan nanti," ujar Azhar.

12 protege tersebut adalah Farizzudin Mohamad Taib dan Rahayu Baharuddin (Hazami); Mohd Firdauz Abdul Halim dan Siti Khatijah Hassan (Amy Search); Rachel James dan Nuriylia Zailani (Nurul); Syed Alfrizal dan Nur Raihan Mat Zaki (Zaf VE); Hal Husaini Razmi dan Hidayah Othman (Yassin); serta Ayu Safina dan Nurnadia Rusali (Siti Nurhaliza).

Musim kedua ini juga turut menampilkan tenaga pengajar di belakang tabir iaitu Azmeer selaku penasihat kepada protege dan mentor; Zainal Abidin sebagai ketua juri; Mohamad Ali Azman (kareografer); Profesor Dr. Ibrahim (pakar motivasi) serta Eliza Mohamed dan Nizal Mohamad sebagai penasihat dalam perantaraan dan komunikasi.

Manakala Ezlynn masih dikekalkan sebagai pengacara dan menampilkan Ashraf Sinclair sebagai rakan pengacaranya yang baru.

Juara protege kali ini akan ditawarkan menjadi artis rakaman di bawah naungan syarikat EMI.

Konsert Mentor akan disiarkan selama sejam setiap Ahad pada pukul 9 malam bermula 9 Julai ini.

  

iklan

iklan

Iklan