X Close

Nilai Islam: Karya P Ramlee perlu dikaji lagi

Diterbitkan: Khamis 1 Jun, 2006

KUALA LUMPUR: Aspek keagamaan dalam karya-karya seniman Tan Sri P Ramlee perlu dikaji lagi kerana masih terdapat isu-isu Islam yang dikaitkan dalam karya tersebut masih dipertikaikan, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid.

"Contohnya isu (hukuman) zina, mungkin orang akan berbeza pendapat. Tetapi dari aspek pengajaran, filem-filemnya masih boleh dijadikan rujukan.

"Dari segi akademik, banyak yang boleh didebatkan, tetapi dari segi kognitif, filem-filem ini tidak ada masalah dalam menyampaikan mesej-mesej tersebut," katanya kepada mStar Online selepas menyampaikan ucap utama di Bengkel Penulisan Skrip Drama dan Filem Berunsurkan Islam di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini semalam.

Hukuman sula dan sebat bagi jenayah zina daripada satu sedutan filem Semerah Padi (1956) karya seniman agung itu antara yang ditampilkan di ucap utama bertajuk 'Nasihat dan Teladan Berunsurkan Islam dalam Filem-filem Tan Sri P. Ramlee.'

"Filem tersebut menunjukkan keadilan dalam Islam.  Ia merupakan satu-satunya filem yang dihasilkan berdasarkan syariat Islam secara langsung," katanya dalam ucapan itu yang disediakan dalam bentuk rakaman audio visual sepanjang 60 minit.

Dalam Semerah Padi, sepasang lelaki dan wanita yang didapati bersalah kerana mengadakan hubungan seks di luar nikah dihukum sula manakala satu pasangan lain dihukum sebat 100 kali dan dipaksa berkahwin.

"P. Ramlee tidak jahil dalam bidang ilmu agama. Beliau prihatin dan sedar tentang perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Mesej ini disampaikan dengan sangat berkesan dan bermutu dalam Semerah Padi. Filem ini juga memaparkan budaya Melayu yang berakar umbi daripada ajaran Islam."

Bekas ketua setiausaha negara ini, yang juga pengarang buku P Ramlee: Erti Yang Sakti, berkata beliau tidak layak untuk menentukan sama ada seniman kelahiran Pulau Pinang ini seorang yang warak tetapi karya-karyanya sarat dengan kritikan, sindiran dan mesej mengenai Islam.

Filem-filem karya P. Ramlee yang turut dirujuk termasuk Dajal Suci (1965), Penarik Beca (1956), Antara Dua Darjat (1960), Seniman Bujang Lapok (1961), Ahmad Albab (1968), Madu Tiga (1964), Sarjan Hassan (1955) dan Anakku Sazali (1956), menyentuh pelbagai isu mengenai Islam termasuk masalah rasuah, semangat patriotisme, dilema berpoligami, hormati-menghormati, kesederhanaan dan kesamarataan.

Ahmad Sarji enggan mengulas mengenai kontroversi isu mesej Islam yang disampaikan secara tidak tepat yang dikatakan terdapat dalam beberapa filem terkini dengan alasan beliau belum menontonnya.

Filem Gubra dan Sepet arahan Yasmin Ahmad mendapat kritikan media kerana dianggap tidak memaparkan nilai-nilai Islam yang sebenar.

Bengkel dua hari ini anjuran IKIM bertujuan mendedahkan teknik-teknik serta format penulisan untuk drama TV yang berunsur Islam. Lebih 50 peserta yang hadir turut didedahkan dengan aspek-aspek teknikal.

iklan

iklan

Iklan