X Close

Ketua polis Sentul beri amaran kepada samseng, gengster

Diterbitkan: Rabu 3 Mei, 2006

KUALA LUMPUR:  Ketua Daerah Polis Sentul yang baru ACP Mohd Rodzi Ismail bertegas untuk menghapuskan gejala samseng dan kumpulan gangster di kawasan itu, yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai jenayah membabitkan anggota kumpulan berkenaan.

Mohd Rodzi yang dilantik memegang jawatan itu berkuatkuasa hari ini berkata cabaran membanteras kegiatan kumpulan itu akan menjadi antara agenda utamanya dalam menjalankan tugas baru itu.

"Jika mereka (anggota kumpulan samseng) buat masalah... mereka akan dapat masalah," katanya kepada pemberita selepas perbarisan serah terima tugas di sini hari ini, merujuk kepada kegiatan anggota samseng yang sering menimbulkan kekecohan hingga mengganggu ketenteraman awam.

Rodzi dinaikkan pangkat daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi bagi menggantikan Ketua Polis Daerah Sentul, SAC II A.Thaiveegan yang dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Polis Negeri Kedah.

Menurut Rodzi, daerah Sentul yang berkeluasan 131 kilometer kaki persegi dengan penduduk daripada pelbagai kaum serta peringkat masyarakat bakal memberi pengalaman baru kepadanya.

"Jika di Dang Wangi kawasannya hanyalah berkeluasan 16 kilometer persegi dan penduduk kebanyakan daripada golongan elit yang berpendidikan, di sini pula (Sentul) masyarakatnya daripada pelbagai peringkat," katanya. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan