X Close

Penyata KWSP anda kini semak di e-Kiosk, i-Akaun

Diterbitkan: Isnin 15 Mei, 2006

KUALA LUMPUR: Mulai tahun ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya akan menghantar Penyata Kira-kira Ahli sekali setahun memandangkan pencarum kini boleh mendapatkan penyata melalui e-Kiosk dan i-Akaun menerusi laman web KWSP.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata e-Kiosk yang terdapat hampir di setiap pejabat KWSP boleh membekalkan ahli Penyata Kira-kira terkini secara serta-merta.

"Ahli hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam alat pembaca MyKad yang disediakan dan mengesahkan cap ibu jari kanan bagi membolehkan mereka mendapatkan Penyata Kira-Kira dalam tempoh tidak melebihi 40 saat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pencarum KWSP yang ingin menggunakan i-Akaun pula perlu terlebih dahulu mendaftar melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my dan mengaktifkan pin keselamatan i-Akaun berkenaan sebelum mereka boleh membuat capaian kepada penyata kira-kira terkini secara dalam talian pada bila-bila masa.

Sementara itu, KWSP telah menghantar Penyata Kira-kira Ahli untuk tahun 2005 kepada 6,614,188 ahlinya termasuk mereka yang mencarum dalam tempoh Januari hingga Disember 2005 dan ahli yang tidak aktif tetapi telah mengemas kini alamat surat-menyurat mereka.

Nik Affendi berkata semua penyata itu dihantar terus kepada ahli menerusi alamat kediaman atau majikan seperti dalam rekod KWSP dan mereka yang tidak menerimanya sehingga akhir bulan ini dinasihatkan menyemak dengan majikan masing-masing atau berhubung terus dengan pejabat KWSP yang berhampiran secepat mungkin.

"KWSP menggesa ahli supaya menyemak penyata yang diterima dengan teliti bagi memastikan akaun mereka teratur dan jika terdapat butir-butir yang tidak teratur, ahli perlu mendapatkan penjelasan daripada majikan atau KWSP," katanya.

Beliau berkata semua ahli, termasuk yang tidak aktif juga boleh mendapatkan penyata di mana-mana pejabat KWSP dengan mengemukakan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang lain.

Permohonan penyata melalui telefon tidak dibenarkan untuk menjamin keselamatan simpanan ahli, katanya. BERNAMA

> Apa itu e-Kiosk (laman web KWSP)
> Apakah i-Akaun (laman web KWSP)

Berita berkaitan:
KWSP labur RM16 bilion dalam 15 syarikat besar GLC

iklan

iklan

Iklan