X Close

"Teratak Kasih Mahanis" hargai artis veteran

Diterbitkan: Khamis 16 Feb, 2006


Pelakon-pelakon yang membintangi Teratak Kasih Mahanis bergambar kenangan di majlis perasmian drama tersebut baru-baru ini (Foto: The Star)

Tidak semua syarikat penerbitan yang berani menerbitkan drama mahupun filem yang menampilkan seniman dan seniwati tanahair sebagai tunjang utama.

Namun, penghargaan perlu diberikan kepada Pena Creative Pictures Sdn Bhd yang masih merasakan bintang-bintang lagenda ini mempunyai "value" tersendiri yang mampu memberi kesan di hati penonton.

Drama bersiri 13 episod Teratak Kasih Mahanis yang bakal disiarkan di saluran RTM ini akan menampilkan ramai seniman dan seniwati negara seperti S. Shamsuddin, Aziz Sattar, M. Rajoli, Hashimah Yon, Neng Yatimah dan Hajah Mariani sebagai hero dan heroin drama tersebut.

Drama tersebut turut diperkuatkan lagi dengan kemunculan Eman Manan, Pengarah Urusan Pena Creative Pictures Ziela Jalil, Eizlan Yusof, Datuk Mustapha Maarof, Shiela Rusli dan Faizal Hussien yang turut menjadi tunggak utama Teratak Kasih Mahanis.

Drama arahan Amie Maziah ini mengisahkan anak tunggal kepada Allahyarham Datuk Arshad (Datuk Mustapha Maarof), Mahanis (Ziela Jalil) yang mewarisi AF1, sebuah empayar perniagaan perabot mewah berasaskan kayu dari Allahyarham bapanya.


Eman Manan dan Ziela Jalil jadi nadi utama Teratak Kasih Mahani (Foto: The Star)

Dia juga diwasiatkan supaya menjaga rumah peninggalan pusaka yang dinamakan Teratak Kasih Mahanis, untuk menabur bakti kepada golongan warga emas yang sering kesunyian.

Mahanis dibantu oleh Yusman (Eman Manan) yang dia sendiri tidak begitu kenal dan dari situ dia mula mengenal karektor-karektor warga emas yang menginap di Teratak Kasih Mahanis tanpa mengetahui mereka sebenarnya bukanlah warga emas terbiar, tetapi adalah sahabat sejati arwah ayahnya.

Mahanis yang pada mulanya rasa beban dengan wasiat tersebut akhirnya mula bertukar menjadi seorang yang penyayang dan mesra dengan penghuni di situ, terutamanya dengan enam rakan baik di teratak itu iaitu Ajis, Sudin, Rajoli, Mak Yon, Mak Ani dan Mak Neng.

Pelbagai konflik turut berlaku terhadap Mahanis yang juga tidak mengetahui perkara sebenarnya bahawa Yusman adalah seorang yang diamanatkan oleh arwah ayahnya untuk menjaga Mahanis dari tipu helah dalam dunia perniagaan. 

Turut berlakon di dalam drama ini adalah pelakon veteran lain seperti Yusni Jaafar, Rominah Sidek, Kuswadinata dan Latif Borgiba. 

Penggambaran drama bersiri ini telah pun bermula pada pertengahan Disember lalu dan ia dijangka berakhir pada 20 Februari ini, yang mana hampir 70 peratus lokasi penggambaran telah dijalankan di Janda Baik, Pahang. 

Satu majlis perasmian drama tersebut telahpun dirasmikan oleh Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin baru-baru ini yang turut dimeriahkan oleh ramai seniman dan seniwati tanahair.

iklan

iklan

Iklan