X Close

Siti hampakan Shah Rukh Khan

Diterbitkan: Isnin 4 Dis, 2006


Datuk Siti Nurhaliza terpaksa menarik diri daripada GIFA 2006 atas urusan peribadi
(Foto The Star Oleh Azlina Abdullah)

Impian untuk menyatukan pelakon Bollywood tersohor, Shah Rukh Khan dengan penyanyi wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin akhirnya tidak kesampaian.

"Saya telahpun menarik diri daripada acara Anugerah Filem India Sedunia (GIFA 2006) dan sudahpun memaklumkan perkara ini kepada pihak penganjur ," ujar Siti ketika ditemui di acara 'Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene' bertempat di One Utama baru-baru ini.

"Pada mulanya saya tidak mempunyai masalah untuk membuat persembahan namun penukaran tarikh ke bulan Disember membuatkan saya terpaksa menarik diri atas urusan peribadi," ujarnya yang telah dilantik sebagai Duta bersama-sama penyanyi Mawi pada bulan Mei yang lalu.

Siti mengakui bahawa tiada rezeki untuknya melakukan persembahan namun berharap dia akan dapat berkerjasama dengan artis Bollywood pada suatu hari nanti.

Walaupun menarik diri dari GIFA 2006, tugas Siti selaku duta sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 masih tetap berjalan seperti biasa.

"Saya akan melakukan sebuah persembahan Titian Budaya di Jakarta pada 16 Disember nanti di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA). Ini merupakan satu kerjasama di antara kedua-dua kerajaan untuk merapatkan silaturrahim menerusi budaya," ujarnya lagi.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa suaminya, Datuk Khalid Muhamad Jiiwa turut akan menyetainya ke Jakarta, Siti hanya mampu tergelak.

"Siapa yang kata? Iskh... Saya sendiri pun tidak pasti lagi. Kemungkinan besar saya akan pergi seorang sahaja," ujarnya lagi.

"Siti sudah lali. Inilah kehidupan Siti sebagai public figure dan Siti harus menerimanya,"
(The Star)

Siti sudah lali

Tahun 2006 turut menyaksikan Siti mengharungi pelbagai pengalaman pahit dan manis.

Daripada tercetusnya spekulasi perkahwinannya kepada suami tercinta sehinggalah dirinya menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' daripada Sultan Pahang baru-baru ini.

Hampir setiap pergerakannya menjadi tumpuan pihak media.

"Siti sudah lali. Inilah kehidupan Siti sebagai public figure dan Siti harus menerimanya," ujarnya lagi.

Namun, sokongan serta dorongan keluarga terutamanya suami tercinta mendorong Siti untuk cekal mengharunginya.

"Dia amat memahami kehendak kerjaya ini. Jika dulu Siti hanya ada keluarga sebagai tempat mengadu, kini Siti mempunyai seorang suami untuk memberi dorongan kepada Siti terutamanya ketika Siti menghadapi masalah," ujar peyanyi yang berusia 28 tahun itu mengenai suaminya.

Komitmen kepada Mencari Bintang Pantene

Selaku duta produk penjagaan rambut Pantene serta pengasas kepada idea 'Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene', pasti ramai yang akan mempersoalkan kewibawaan serta komitmen penyanyi yang berasal dari Pahang ini.

Siti telah dikriitik dengan hebatnya menerusi rancangan 'Mentor' apabila dia dikatakan tidak memberi kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya kepada protegenya, Kat.

"Konsep 'Mentor' dan 'Mencari Bintang Pantene' ini sememangnya lain. Ketika Siti ditawarkan 'Mentor', Siti sudahpun memaklumkan kepada pihak penerbitan bahawa Siti sibuk terutamanya untuk persiapan perkahwinan.


Siti akan menjadi hos dan juri kepada rancangan realiti terbaru 'Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene'  
(The Star)

"Namun, rancangan tersebut terus dijalankan kerana terdapat artis-artis yang lain yang boleh memberi komitmen sepenuhnya pada jangkamasa itu," ujar Mentor kepada Kat ini.

Kat merupakan adik ipar kepada penyanyi rock popular Amy Search.

"Rancangan baru "Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene" ini juga terpaksa dibuat mengikut kesesuaian waktu serta jadual kerja Siti. Siti tiada masalah untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada rancangan ini," tegasnya lagi mengenai rancangan yang akan disiarkan pada 17 Disember nanti menerusi TV3.

Sebelum ini, sebuah rancangan realiti khas untuk tatapan kaum wanita pernah diterbitkan dengan kerjasama sebuah syarikat produk kecantikan, Dove iaitu 'Malaysia's Most Beautiful Women'.

Ramai yang beranggapan program 'Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene' menggunakan format yang sama dengan rancangan tersebut?

"Rancangan Pantene ini lebih disasarkan kepada golongan remaja jika dibandingkan dengan 'Malaysia's Most Beautiful'.

"Rancangan ini juga turut meyelitkan penyediaan ataupun sesi grooming bagi penyediaan mereka sebelum dinobatkan sebagai wajah baru Pantene," tegas Siti yang akan bertindak sebagai hos serta juri untuk rancangan tersebut.

"Di Indonesia, rancangan ini sudahpun bermula. Sepuluh orang gadis sudah dipilih dan kini duduk sebumbung di sana. Namun, keunikkan rancangan ini di Malaysia adalah remaja-remaja yang bertudung turut dipilih untuk menyertai rancangan ini kerana mereka turut merupakan pengguna produk kecantikkan seperti Pantene sedangkan di Indonesia, wanita bertudung tidak digalakkan untuk menyertai," ujar Siti yang bakal menyertai program Mencari Bintang Pantene di Indonesia pada 17 dan 18 Disember ini.

iklan

iklan

Iklan