X Close

Lima pelajar tahfiz maut van rempuh lori

Diterbitkan: Jumaat 29 Dis, 2006

TAPAH:  Lima pelajar lelaki sebuah sekolah tahfiz di Kuala Muda, Kedah terbunuh manakala tiga lagi termasuk pemandu cedera apabila van yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori kontena Pos Malaysia Berhad di Km 355.7 Lebuhraya UtaraSelatan arah utara di Sungkai dekat sini awal pagi ini.

Pemandu van dan seorang daripada pelajar itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dimasukkan ke Hospital Slim River manakala seorang lagi pelajar yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Ipoh.


Bahagian depan van, sebelah kiri, remuk teruk akibat rempuhan kuat di bahagian belakang lori. (foto Bernama)

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Roslan Bek Ahmad berkata kemalangan berlaku kira-kira 2.50 pagi semasa van yang membawa pelajar Pusat Tahfiz Amal di Km 17 Jalan Yan, Simpang Empat Kangkong, Kuala Kedah itu, sedang dalam perjalanan balik daripada lawatan dua hari di Kuala Lumpur.

"Kelima-lima mangsa tercampak keluar daripada van, seorang daripada mangsa terputus kepala... kesemua mereka mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Mereka yang terbunuh ialah Mohd Miqdad Amir, 12; Mohd Fadhullah Yusuff, 12; Anas Syazwan Ani, 13; Muhammad Abu Dehya Chin Mohd Syukri Chin, 12, berasal dari Bandar Seri Damansara, Kuala Lumpur dan Muhammad Al Ghazi Zulkifli, 12, dari Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

Kesemua mangsa yang terkorban telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Pelajar yang dihantar ke Hospital Ipoh akibat cedera parah dikenali sebagai Mohd Abdul Qayum Anis, 13, manakala rakannya yang dirawat di Hospital Slim River ialah Mohd Dinyak Nurdin, 13.

Roslan Bek berkata pemandu van Mohd Shafirin Ani, 19, adalah abang kepada Anas Syazwan dan kedua-dua beradik itu berasal dari Kota Kinabalu, Sabah tetapi dipercayai menetap di Perlis.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan brek.

"Pemandu lori berkenaan dan kelindannya belum sempat turun untuk meletak tanda amaran apabila tiba-tiba mereka terdengar bunyi kuat," katanya.
 
Roslan Bek berkata pemandu lori berusia 54 tahun dan berasal dari Shah Alam, Selangor itu telah ditahan untuk diambil keterangan.

"Hasil siasatan awal, polis syak pemandu van berkenaan berada dalam keadaan mengantuk... jalan lurus dan lori berada di lorong kecemasan dengan lampu terpasang sebab itu kita syak dia mengantuk," katanya.

Beliau berkata kenyataan daripada pemandu van bagaimanapun belum diperolehi.

Roslan Bek berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kesemuanya meminta supaya jenazah dihantar ke pusat tahfiz berkenaan selepas selesai bedah siasat hari ini.

Sementara itu, beberapa orang guru pusat tahfiz berkenaan yang berada di Hospital Tapah bagi menguruskan jenazah mangsa enggan mengulas mengenai kejadian itu.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Bidor dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan