X Close

TV3 nafi bayar RM100 ribu untuk Bawang Merah Bawang Putih

Diterbitkan: Selasa 12 Dis, 2006


Dimaz, Helsi dan Revalina teruja dengan sambutan yang diterima daripada ribuan peminat dari Malaysia
(Foto The Star Oleh Brian Moh )

Sekurang-kurangnya 3.5 juta penduduk Malaysia akan teruja setiap minggu apabila siri sinetron kesukaan ramai Bawang Merah Bawang Putih disiarkan.

Sudah pasti peminat telenovela ini bertambah tambah lagi teruja apabila barisan pelakon idola mereka dalam sinetron popular ini dibawa khas oleh TV3 berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.

Tiga pelakon handalan sinetron paling popular masa kini - Revalina S. Temat (Alya), Dimaz Andrean (Ferdi) dan Helsi Herlinda (Rika) - didatangkan khas untuk mempromosikan telenovela yang kini memasuki episod ke 77 di Malaysia. 

Namun terdapat dakwaan di dalam kolum gosip sebuah akhbar perdana yang mengatakan bahawa Media Prima ataupun TV3 sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk membawa barisan pelakon utama siri sinetron itu.

Berita itu mendakwa bahawa syarikat tersebut telah mengeluarkan wang sejumlah RM100,000.00 untuk membawa rombongan Bawang Merah Bawang Putih dan setiap pelakon dikatakan menerima 'duit saku' sebanyak RM6,000.00 sehari.

"Harga yang pihak kami bayar sesungguhnya amat berpatutan. Tidak begitu mahal tetapi bertepatan dengan pengorbanan yang mereka terpaksa lakukan untuk berkunjung ke Malaysia, " ujar Santokh Singh selaku orang yang bertanggungjawab membawa barisan pelakon sinetron tersebut ke Malaysia ketika ditemubual di Majlis Makan Malam bersama bintang-bintang tersebut di Hotel PJ Hilton baru-baru ini.

Walaupun enggan memberi jumlah kos peruntukan promosi tersebut, Santokh menegaskan bahawa TV3 bukan entiti tunggal yang membiayai kos mereka.Menurutnya lagi, TV3 dibantu oleh syarikat New Southern Records Sdn Bhd daripada segi kewangan.


Dimaz takut didampingi wanita-wanita cantik seperti Revalina menerusi sinetron Bawang Merah Bawang Putih
(Foto The Star)

Rombongan yang sudah berada di Kuala Lumpur sejak hari Jumaat yang lalu turut dikatakan dijaga secara rapi dan diberi layanan VIP.

Ini senario yang biasa setiap kali artis dari seberang berkunjung ke negara kita. Layan istimewa bagaikan satu kewajiban yang sudah semestinya akan diberikan oleh orang tempatan.

Apatah lagi sesetengah artis dari seberang sering dikatakan tiada disiplin dan sering menghilangkan diri.

"Saya tidak bersetuju bahawa kami memberi layanan istimewa. Mereka datang ke sini untuk bekerja dan kami menggunakan waktu untuk melaksanakan aktiviti promosi.

"Bayangkan, sebaik sahaja mereka tiba di Kuala Lumpur pada 10 pagi Jumaat lalu, mereka terus dibawa ke Sri Pentas untuk rakaman Wanita Hari Ini serta menghadiri sesi bertemu peminta.

"Malah, pada hari ini juga mereka telah berada di karnival Jom Heboh dari pagi lagi. Dan ketiga-tiga mereka sudi melayan kira-kira 6,000 orang peminat yang menyerbu mereka di sana," ujarnya lagi.

Helsi: BMBP paparkan realiti


"Putih....." begitulah jeritan yang mempopularkan pelakon Helsi di dunia sinetron Indonesia serta Malaysia
(Foto The Star)

"Putih....." begitulah jeritan popular yang menjadi trademark pelakon Helsi Herlinda yang yang memegang watak ibu tiri jahat, Rika menerusi sinetron Bawang Merah Bawang Putih.

"Jika seseorang penyanyi itu mendapat tepukan yang gemuruh menerusi sebuah lagu yang dinyanyikan selama lima minit, saya pula hanya memerlukan satu patah perkataan dalam masa beberapa saat untk mendapat sorakan yang sama," ujar Helsi mengenai populariti wataknya yang sememangnya mengangkat namanya di pesada sinetron.

Wanita yang seringkali mempertahankan sinetron tersebut apabila media Malaysia mendakwa sinetron tersebut  boleh memesongkan aqidah sekali lagi tegas menyatakan bahawa 'Bawang Merah Bawang Putih' merupakan satu realiti kehidupan masyarakat.

"Namun, jalan ceritanya dibuatkan agar jelas bahawa jahat itu sememangnya jahat dan baik itu sememangnya baik, "jelas Helsi yang turut mengakui bahawa elemen seperti pari-pari hanya untuk mewarnai sinetron tersebut.

Revalina tidak mahu jadi Bawang Putih lagi

Pelakon cantik yang memegang watak Alya atau lebih popular Bawang Putih bagaikan teruja dengan sambutan yang diterima di Malaysia.

"Kalau di Indonesia, crowd dia tidak begitu fanatik walaupun ianya merupakan sinetron nombor satu di sana. Namun di Malaysia, beribu-ribu orang sanggup tunggu dalam hujan dan panas untuk melihat kami. Terharu banget!" ujar pelakon yang kini sibuk dengan pelajarannya di  School of London.


Reva tidak mahu memegang watak seperti Bawang Putih atau Alya kerana tidak mahu dirinya distigma oleh penonton sebagai lemah
(Foto The Star)

Namun, pelakon jelita ini seringkali mendapat stigma bahawa dirinya merupakan seseorang yang lemah dan sentiasa memegang watak yang seringkali dianiaya dan ditindas.

Malah, di dalam filem sulungnya yang berjudul 'Pochong 2', Reva sekali lagi  memegang watak Maya, seakan-akan seperti Alya.

"Tiada perbedaan di antara Alya dengan Maya. Kedua-duanya seringkali ditindas. Dalam Pochong 2, Maya adalah mangsa ilmu jahat dan seringkali dilanda masalah terutama akibat perbuatan dengki adiknya," ujarnya mengenai filem arahan Rudi Sudirwo yang berkonsepkan seram.

"Kalau boleh, saya mahukan watak yang lebih mencabar. Mungkin watak seorang yang tahan lasak ataupun lebih agresif," jelas Rava yang sudahpun berlakon sebanyak lapan buah sinetron.

Ketika soal peribadi diaju, Reva hanya mampu mengukirkan sebuah senyuman sambil diusik oleh Dimaz dan Helsi.

"Saya ada beberapa orang teman tetapi mesra sahaja. Saya mahu memberi tumpuan terhadap lakonan serta pelajaran saya," ujar wanita yang pernah digosipkan dengan pelakon kacak Ananda Maliko

Dimaz takut bersama Reva dan Nia

Bagi pelakon baru dunia sinetron Doimaz Andrean, dia tidak dapat menahan perasaan gementar apabila berlakon bersama-sama dua pelakon jelita sinetron Indonesia, Reva dan Nia Ramadhani.

"Semestinya saya memenag nervous banget berlakon bersama mereka. Mereka bagaikan senior dalam aliran sinetron di Indonesia," ujar pelakon yang berusia 20 tahun itu.

Rakaman produksi sinetron itu yang memakan masa dua tahun dua bulan turut membantu memntapkan lagi keupayaan Dimaz untuk menguasai bidang lakonan.

"Ada masanya saya  tidak konsisten dan ada pulanya saya dapat menjiwai watak dengan baik. Namun, inilah pengajaran yang terbaik untuk diri saya jika saya mahu bertahan di dalam indudstri yang terdapat banyak saingan ini," ujar jejaka tampan yang memegang watak budak baik Ferdi dalam sinetron itu.


Dimaz... Pelakon muda yang berbakat besar belum lagi membintangi sebarang filem lagi  
(Foto The Star)

Dimaz, yang juga penuntut di salah sebuah universiti di Indonesia itu juga kini sibuk dengan pembikinan beberapa sinetron baru seperti Hikmah 3.

Oleh kerana terlalu sibuk dengan penggambaran sinetron, Dimaz mengakui bahwa dirinya belum lagi mempunyai tawaran untuk berlakon film.

"Ingin sekali berlakon filem tetapi buat masa ini saya mahu fokus dengan sinetron dulu. Bayarannya pun agak lumayan," katanya lagi.

iklan

iklan

Iklan