X Close

Kes liwat digugurkan, Sukma bebas

Diterbitkan: Isnin 6 Nov, 2006

kemas kini KUALA LUMPUR:  Sukma Darmawan Sasmitaatmadja, adik angkat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibebaskan hari ini selepas pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan liwat terhadapnya kerana tiada bukti.

Hakim Mahkamah Sesyen Nursinah Adzmi melepaskan dan membebaskan beliau selepas Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Zakaria memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan "berpendapat adalah tidak sesuai dan wajar daripada aspek kepentingan awam bagi meneruskan perbicaraan terhadap Sukma".


Sukma bercakap kepada pemberita selepas dibebaskan. (foto Utusan)

Hanafiah memberikan dua alasan kenapa pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Sukma Darmawan, menyatakan "keadilan tidak akan tercapai sekiranya kes itu dipanjangkan memandangkan tempoh masa perbuatan itu yang dikatakan berlaku lapan tahun lepas.

Beliau berkata tidak akan mencapai manfaat terhadap Sukma Darmawan atau mana-mana pihak sekiranya pendakwaan diteruskan terhadapnya kerana Sukma Darmawan telah menjalani hampir keseluruhan tempoh enam bulan penjara yang telah dijatuhi terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen berikutan pada awalnya beliau mengaku bersalah terhadap pertuduhan meliwat itu pada 1998.

Hanafiah yang membacakan kenyataan tiga muka surat berkata, baki tempoh masa penjara yang seharusnya Sukma Darmawan menjalani hanya tinggal 16 hari sahaja apabila Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman itu.

Sukma Darmawan, 45, yang kini menjalankan perniagaan permaidani dengan ibunya di Jakarta, dituduh semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Jun kerana melakukan perbuatan melampaui batasan dengan membenarkan Anwar meliwatnya di kediaman rasmi Anwar di No 47, Jalan Damansara, pada April 1998.

Beliau dituduh semula selepas Mahkamah Rayuan pada 14 Jun memerintahkan perbicaraan baru selepas Mahkamah Rayuan memutuskan pengakuan bersalahnya nyata tidak selamat kerana terdapat penyekatan fakta penting menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah.

Perbicaraan kes itu ditetapkan lima hari bermula hari ini.

Di luar mahkamah, bagaimanapun, peguam bela Sukma Darmawan, Gobind Singh Deo, berkata ia merupakan kemenangan pahit manis bagi anak guamnya kerana komen "berniat jahat" yang dibuat oleh pendakwaan yang beliau dakwa sebagai cubaan untuk merosakkan nama anak guamnya itu.

"Kami menghargai hakikat bahawa pertuduhan ditarik balik tetapi kami sedih dengan perlakuan DPP dan Jabatan Peguam Negara yang membacakan kenyataan itu di dalam mahkamah yang cuba menggambarkan bahawa beliau (Sukma Darmawan) adalah bersalah tetapi setelah kes ini berjalan selama lapan tahun, mereka (pendakwaan) memilih untuk menggugurkannya," kata Gobind Singh.

"Sekiranya pendakwaan mahu menarik balik sesuatu, mereka tarik balik. Tidak perlu membuat komen yang Sukma Darmawan tidak berpeluang untuk mempertahankan dirinya," katanya.

Sukma Darmawan berkata pengguguran pertuduhan itu telah membuktikan yang beliau tidak bersalah.

"Saya berasa lega akhirnya (tetapi) saya tidak gembira 100 peratus kerana kenyataan yang dibuat pihak pendakwaan itu," kata Sukma Darmawan yang kini menetap di Jakarta untuk menjaga ibunya yang sudah lanjut usia.

Mengenai hubungannya dengan Anwar, Sukma Darmawan berkata "kami satu keluarga".

Katanya beliau turut bekerja sebagai perancang perkahwinan tetapi lebih menumpukan pada perniagaan permaidani.

Terdahulu, dalam mahkamah, Nursinah menerima kenyataan pendakwaan sebagai penjelasan oleh pihak pendakwaan bagi menggugurkan pertuduhan terhadap Sukma Darmawan.

Gobind Singh telah membantah penerimaan kenyataan itu sebagai dokumen mahkamah, yang disokong oleh S. N. Nair dan Amer Hamzah Arshad yang masing-masing bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Anwar dan Majlis Peguam.

Gobind Singh memberitahu mahkamah bahawa perlakuan pendakwaan yang membacakan kenyataan di mahkamah terbuka adalah sama seperti cubaan untuk memberitahu mahkamah bahawa Sukma Darmawan bersalah terhadap pertuduhan meliwat itu tetapi pendakwaan, atas alasan kemanusiaan, memilih untuk tidak meneruskan perbicaraan itu.

"Perlakuan seperti ini tidak patut dibenarkan. Selama lapan tahun lepas kami (pembelaan) telah berjuang habis-habisan menentang pihak pendakwaan," katanya.

Beliau berkata pendakwaan tahu bahawa sebenarnya tiada kes terhadap Sukma Darmawan tetapi untuk menyelamatkan air mukanya, mengeluarkan kenyataan itu.

"Kami telah menyatakan bahawa anak guam kami tidak bersalah dan bersedia untuk berjuang sehingga ke akhir. Jika pendakwaan mahu menarik balik pertuduhan, tidak perlu membuat komen seperti itu," kata Gobind Singh semasa meminta mahkamah menolak kenyataan itu.

Gobind Singh memberitahu pemberita kemudiannya bahawa sebaik sahaja mahkamah merekodkan pembebasan, perkara itu sudah berakhir dan pendakwaan tidak boleh menuduh Sukma Darmawan bagi kesalahan yang sama sekali lagi.

Beliau berkata pihak pembelaan, bagaimanapun, mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil terhadap kerajaan dan akan memutuskan perkara itu kelak.

"Biar kami ambil tindakan langkah demi langkah. Sekarang ini kami gembira kerana pendakwaan jenayah itu sudah berakhir walaupun kami dari hari pertama lagi kami yakin bahawa beliau (Sukma Darmawan) tidak bersalah.

"Cara sabitan dilakukan adalah tidak betul dan kami terpaksa merujuknya ke Mahkamah Rayuan untuk menang kes. Kami kembali ke Mahkamah Sesyen di sini, bersedia untuk berjuang tetapi pendakwaan menggugurkannya, jadi saya pasti ia memberi gambaran kepada anda kekuatan kes pendakwaan," katanya. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan