X Close

Abang nafi Azhar Mansor masuk Kristian

Diterbitkan: Isnin 6 Nov, 2006


IPOH:  Azham Mansor, abang pelayar negara Datuk Azhar Mansor yang dikaitkan dalam SMS yang mendakwa sekumpulan umat Islam akan melalui upacara Baptism di sebuah gereja di sini semalam terkilan dengan tohmahan bahawa adiknya itu sudah murtad.


Azham, abang pelayar Datuk Azhar Mansor. (foto The Star)

Katanya beliau sedih dengan tohmahan melalui SMS yang mendakwa adiknya itu sudah murtad, berpindah ke Australia dan kini giat mengkafirkan orang Islam.

"Fitnah semuanya. SMS yang mengatakan Azhar sudah peluk agama Kristian dan telah banyak membaptiskan pelajar adalah tidak benar.

"Saya sebagai abang Azhar hendak menjelaskan bahawa SMS itu menipu," katanya.

Azham, 56, yang ditemui pemberita di perkarangan gereja Lady of Lourdes, berkata adik kandungnya itu sedang menguruskan perniagaannya di Langkawi.

"Saya pasti dan saya tahu adik saya. Dia seorang Islam. Tolonglah, jangan ganggu dia lagi.


Pelayar solo negara Azhar yang ditohmah sudah memeluk Kristian. (foto fail The Star)

"Memang perkara ini tidak wujud, ini menipu. Dia ada di Langkawi. Saya telefon bapa saya dan dia telefon Azhar yang mengatakan dia di Langkawi. Saya telefon bapa saya sebab saya hendak tahu apa hal semua ni," kata Azham yang kini menetap di Pasir Puteh.

Beliau berkata SMS itu disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, yang ingin memburukkan nama Azhar dan keluarganya.

Azham yang hadir bersama keluarganya di gereja itu berkata sebelum ini, adiknya pernah dilemparkan dengan pelbagai dakwaan berkaitan status Islamnya dan dikatakan memeluk agama Kristian selepas pulang dari pelayarannya mengelilingi dunia tanpa henti menggunakan kapal layar Jalur Gemilang pada tahun 1999.

Azhar tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksinya. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan