X Close

JAIS kenal pasti pihak rakam video khalwat

Diterbitkan: Isnin 27 Nov, 2006

PETALING JAYA:  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenal pasti pihak yang merakam video pasangan-pasangan remaja yang berkhalwat di tempat awam di negeri ini.

Bagaimanapun pihak terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan dengan jabatan tersebut.

Menurut satu sumber jabatan itu, lelaki terbabit pernah mempunyai hubungan dengan sebuah pertubuhan kebajikan di negeri ini yang aktif melakukan kerja-kerja dakwah, termasuk mencegah kegiatan maksiat generasi muda.

Beberapa individu tersebut pernah bergerak di Bandar Baru Bangi kira-kira dua tahun lalu, katanya kepada mStar Online hari ini.

"Kita cam melalui suaranya," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, lelaki yang merakamkan video terbabit akhir-akhir ini tidak lagi mempunyai hubungan baik dengan pertubuhan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, JAIS juga menafikan bahawa klip-klip video khalwat yang tersebar di Internet, dan mendapat perhatian orang ramai, berasal daripada bahagian penguatkuasaan jabatan tersebut.

"JAIS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan beberapa rakaman video yang dilakukan anggota penguatkuasaannya berkaitan kesalahan khalwat, diedar dan diberikan kepada individu tertentu untuk dimuat turun ke laman web," kata Pengarah JAIS Mohammed Khusrin Munawi [foto] dalam satu kenyataan hari ini.

"Setelah menonton video yang dirakamkan tersebut, jabatan ini mendapati ia lebih bersifat tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mana kumpulan ini pernah melakukan modus operandi dengan merakamkan adegan pasangan terbabit dan mengugut akan mengirimkannya kepada keluarga pesalah," katanya lagi.

Kaedah bergerak individu-individu ini pernah disiarkan oleh sebuah majalah tempatan, tambahnya.

"Dalam pemerhatian tersebut juga, jabatan (JAIS) mendapati tindakan pencegahan hanya dilakukan seorang diri dengan si perakam bertanyakan soalan," kata Mohammed Khusrin.

Jabatan itu juga menegaskan, penguatkuasaannya selalu melibatkan sekurang-kurangnya dua orang kakitangan, seorang untuk soal siasat dan seorang lagi mengambil keterangan. 

Jumaat lepas mStar Online melaporkan terdapat beberapa klip video khalwat [foto kiri] yang tersebar di portal perkongsian video terkenal di dunia yang didakwa berasal daripada JAIS.

Video-video pendek itu, semuanya sekitar 20 hingga 30 saat, memuatkan saat-saat pasangan disoal siasat oleh seseorang untuk menentukan sama ada mereka suami isteri yang sah.

Dalam klip-klip tersebut, pasangan yang ditahan kelihatan cemas apabila didekati oleh lelaki terbabit dan diminta memperkenal diri masing-masing.

Tiga daripada klip video tersebut didakwa berasal daripada koleksi bahagian penguatkuasaan JAIS dengan nombor fail 23, 28 dan 172.

Mohammed Khusrin hari ini menjelaskan, JAIS tidak mempunyai rekod koleksi foto secara khusus di dalam inventori penguatkuasanya.

Beliau berkata, selain portal perkongsian video tersebut, siasatan JAIS juga mendapati sebuah lagi laman web yang menyiarkan foto-foto lucah yang meletakkan tajuk "JAIS files".

"Penemuannya jelas gambar yang ada di dalam groups (di Internet) itu adalah palsu dan rekaan semata-mata. Ia dipercayai bagi menarik perhatian orang ramai agar mempercayai bahan (yang disebarkan) adalah seratus peratus tempatan," katanya.

Jabatan itu akan membuat laporan polis dalam masa terdekat terhadap laman-laman web yang menerbitkan foto-foto dan klip-klip video yang dikaitkan dengan jabatan tersebut, katanya lagi.

Berita berkaitan:
Video khalwat milik JAIS terbocor di Internet? (24 Nov)

iklan

iklan

Iklan