X Close

Waris Jari Hantu kenangan Shumi untuk sahabat

Diterbitkan: Isnin 20 Nov, 2006


Shuhaimi Baba bersama-sama tiga orang pelakon utamanya... Azean Irdawaty, Maya Karin dan Rusdi Ramli
(Foto The Star Oleh Low Lay Phon)

Waris Jari Hantu itulah nama terakhir yang diberikan kepada filem terbaru Shuhaimi Baba. Sebelum ini, filem yang memakan kos sebanyak 1.6 juta itu diberi nama Waris Hantu sahaja.

"Sebelum ini terdapat sebuah filem yang mahu menggunakan perkataan waris juga. Jadi kami mengambil langkah untuk tidak menggunakan nama 'waris' sehingga pada sidang akhbar hari ini," ujarnya lagi ketika sidang akhbar di Hotel Royale Damansara baru-baru ini.

Namun apa yang menyentuh perasaan adalah niat pengarah Mimpi Moon ini yang menerbitkan filem Warisa Jari Hantu ini sebagai tanda ingatan pada salah seorang rakannya yang telah menginspirasikan idea untuk filem Waris Jari Hantu ini.

"Kisah ini berdasarkan pengalaman kawan saya sendiri yang mengalami peristiwa mewarisi saka rimau. Tetapi sewaktu saya menyediakan skrip ini beberapa tahun yang lepas, saya tidak berani menjadikan ia sebuah filem," ujar Shuhaimi yang turut bersedih kerana sahabat yang mencetuskan idea Waris Jari Hantu itu sudah meninggal dunia.

"Saya memang berjanji kepada dia saya akan membuat kisahnya sebagi sebuah filem namun apa kan daya kita tidak boleh mengatasi takdir," ujarnya lagi.

Shuhaimi perkenalkan Saka Rimau

Waris Jari Hantu berpaksikan persahabatan di antara Ari (Rusdi Ramli) serta Tina (maya Karin) sejak zaman kanak-kanak lagi.

Tina menaruh perasaan terhadap Ari yang merupakan seorang lelaki lembut atau istilah sekarang 'gay'. Namun konflik tercetus apabila Tok Wan (Azean Irdawati) memilih Tina untuk mewarisi saka rimaunya.

"Saka Rimau ini sememangnya wujud di kalangan kaum Minangkabau terutamanya di Negeri Sembilan. Kuasa saka ini digunakan untuk melindungi golongan wanita daripada sebarang bahaya.

"Saka ini hanya akan bertindak jika seseorang itu berlaku kejam atau berkeras kepada wanita yang dilindunginya," ujar Shuhaimi lagi mengenai filem yang memakan masa 35 hari untuk disiapkan.

Penggambaran yang menggunakan beberapa negeri seperti Paahang, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur.

Shuhaimi yang berketurunan Minangkabau ini, banyak melakukan kajian sebelum mengolah skrip untuk memulakan pembikinan filem terbaru terbitan Pesona Pictures.

"Jika beberapa tahun dahulu masyarakat kita sukar untuk menerima filem mistik begini tetapi saya yakin minda mereka kini terbuka untuk menerima Waris Jari Hantu," ujar pengarah yang dinobatkan sebagai pengarah terbaik menerusi Pontianak Haum Sundal Malam 2 ketika FFM 17 baru-baru ini.

Malah watak lembut yang dimainkan oleh Rusdi Ramli ini diramalkan akan mencetuskan kontroversi di kalangan beberapa pihak.

"Saya tidak boleh beritahu secara terus terang mengenai apa sebenarnya berlaku kepada Ari tetapi kita tunggu dan lihat sahaja," katanya lagi.

Liza Othman dan Azean Irdawaty memantapkan lagi Waris Jari Hantu

Apa yang membuat Shuhaimi begitu berkobar-kobar meneruskan usahanya menerbitkan filem ini ialah kerana penglibatan pelakon sensasi 80an serta penggiat teater Liza Othman.

"Setelah sekian lama Liza tidak beraksi di layar perak, kini dia kembali," ujar Shuhaimi lagi. Kali terakhir Liza berlakon di bawah arahan Shuhaimi ialah di dalam filem Selubung.

"Ini merupakan satu comeback yang terbaik untuk Liza. Dia merupakan pelakon yang baik serta berpengalaman," ujarnya lagi mengenai Liza, yang merupakan jurucakap LUX di sekitar tahun 1988.

Selain daripada Liza, Azean turut memberi impak yang besar kepada Waris Jari Hantu dan diberi watak salah satu watak utama, Tok Wan. Shuhaimi berharap agar keberkesanan filem tersebut dapat dimantapkan lagi dengan lakonan Azean.

Malah pelakon veteran tersebut dikatakan berlatih siang dan malam untuk menjiwai watak seekor harimau.


Azean Irdawaty memainkan watak Tok Wan yang mencari pewaris kepada ilmu Saka Rimaunya
(Foto The Star)

"Saya berlatih tak kira waktu sehingga terpaksa merangkak-rangkak dalam rumah untuk mengikuti pergerakan sebenar haiwan tersebut," ujar ibu kepada pelakon Benji.

Azean turut menonton program seperti Animal Planet dan National Geographic untuk menghayati watak harimau dengan lebih mendalam lagi.


iklan

iklan

Iklan