X Close

Bersalah ambil gambar wanita mandi bogel

Diterbitkan: Jumaat 17 Nov, 2006

KUALA LUMPUR:  Seorang juru mesin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua tuduhan cuba mengambil dan memiliki gambar wanita sedang mandi tanpa pakaian menggunakan telefon bimbitnya.

Ho Swee Poh, 23, didakwa melakukan perbuatan tersebut di Tingkat 3 Blok 15, Razak Mansion, Batu 3 1/2 Jalan Sungai Besi, Cheras di sini, pada pukul 8.30 pagi, 10 Nov lepas.

Bagi tuduhan pertama, Ho yang berasal dari Taman Miharja, Jalan Loke Yew di sini, didakwa cuba mengambil gambar wanita sedang mandi itu menggunakan telefon bimbit berkamera kepunyaannya dengan tujuan untuk mendatangkan aib kepada mangsa yang bekerja sebagai jurujual.

Bagi tuduhan kedua, Ho didakwa memiliki gambar wanita berusia 46 tahun itu dalam telefon bimbitnya pada tarikh, waktu dan tempat yang sama juga dengan tujuan untuk mendatangkan aib kepada mangsa.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Nor Aziati Jaafar membenarkan Ho diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh hukuman pada 20 Dis ini.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa cif inspektor D.R.Ghanthi Nathan. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan