X Close

Siapa mangsa sebenar: Toya atau Altantuya?

Diterbitkan: Selasa 14 Nov, 2006

ULAAN BAATAR:  Ramai orang di Mongolia bingung tentang identiti sebenar mangsa pembunuhan ngeri yang dikaitkan dengan seorang model yang berasal dari negara itu di Malaysia.

Apabila mendengar namanya Altantuya, mereka terus menyangka mangsa itu seorang peraga fesyen terkenal Altantuya Honggul, atau lebih dikenali Toya, yang kini berada Paris.

"Ramai yang menyangka model yang mati itu Toya. Mereka tidak tahu Altantuya Shaaribuu," kata Davaadorj Bolormaa, 36, pengusaha sebuah sekolah latihan model dan fesyen di sini.

Bolormaa: Saya tidak mahu orang ramai fikir yang bukan-bukan tentang Toya. (foto The Star)
Bolormaa juga berkata Toya yang lebih terkenal di Ulaan Baatar juga berusia hampir sama dengan mangsa pembunuhan di Empangan Tasik Subang, dekat Shah Alam bulan lepas.

"Lebih memburukkan keadaan, akhbar dan rangkaian televisyen China, Taiwan, Hong Kong dan Singapura turut mempamerkan foto-fotonya (Toya), sementara forum-forum Internet membincangkan kematian Toya," katanya lagi, yang juga pernah menjadi seorang model terkenal Asia.

Dia berkata kekeliruan itu menambah minat orang ramai di sini, termasuk mereka yang aktif dalam dunia model dan fesyen.

Katanya, beberapa orang menghubunginya untuk mengesahkan berita itu kerana dia pernah menjadi guru dan agen model itu.

"Saya menangis apabila mendengar berita kematiannya (Toya). Dia seorang pelajar terbaik saya yang kini berjaya di Eropah."

Bagaimanapun, dia akhirnya menyedari mangsa pembunuhan itu bukan Toya. Model-modelnya yang bekerja di Eropah juga menelefon untuk memberitahunya bahawa Toya selamat dan dalam keadaan sihat.

"Mereka beritahu saya Toya kini menjalani sesi fotografi untuk sebuah majalah di Paris," katanya.

Bolormaa berkata dia akan mengeluarkan kenyataan kepada media tempatan untuk menjelaskan kekeliruan tersebut.

"Saya tidak mahu orang ramai fikir yang bukan-bukan tentang Toya [foto kanan]. Dia seorang model yang baik dan bekerja keras untuk menjadi terkenal. Saya hanya mahu menghentikan khabar-khabar angin yang negatif di akhbar dan Internet tentangnya."

Ditanya mengenai Altantuya Shaaribuu, Bolormaa berkata dia tidak pernah mendengar nama itu walau laporan-laporan media menyebutkan wanita itu seorang model sambilan.

"Dia tidak cukup tinggi untuk menjadi seorang model berjaya di Mongolia. Ketinggian minimum yang disyaratkan ialah 175 cm. Saya baca wanita yang mati itu tingginya hanya 155cm."

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Duta Mongolia di Bangkok, yang dilaporkan akan menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berhubung kes pembunuhan Altantuya, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Bernama melaporkan, Luvsandor Davaagiv tiba kira-kira pukul 7 malam tetapi meninggalkannya secara senyap, dengan diiringi oleh polis, melalui pintu keluar yang berlainan sehingga gagal dikesan pihak media.

Beliau dijadual menyerahkan surat tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 10.30 pagi Khamis ini.

Semalam duta itu dilaporkan akan bertemu ayah Altantuya, Shaariibuu Setev, selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Hari ini, Davaagiv dijangka bertemu pegawai-pegawai Kementerian Luar bagi membincangkan perkembangan kes itu.

Dalam perkembangan lain, polis semalam melanjutkan tempoh tahanan reman tiga pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan kes ini.

Dua daripadanya, seorang cif inspektor dan lans korporal wanita, telah dilanjutkan tempoh reman ini sebanyak dua kali menjadi jumlahnya 13 hari. Sementara seorang konstabel dilanjutkan sekali lagi tempoh reman selepas ditahan minggu lepas.

Berita berkaitan:
Razak disambung reman hingga Khamis baru
Musa: Hentikan pendakwaan melalui media 
Tiga polis disambung tempoh tahanan 
Lima wartawan dipanggil polis
Duta Mongolia menghadap Agong 
Kes Altantuya: Razak beri sampel DNA (10 Nov)
Kes Altantuya: Dua lagi direman (9 Nov)

iklan

iklan

Iklan