X Close

Jerebu: Sarawak, Negeri Sembilan 'tidak sihat'

Diterbitkan: Rabu 4 Okt, 2006

PETALING JAYA:  Keadaan jerebu yang melanda negara sejak lima bulan lalu kini berada pada paras membimbangkan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sebuah kawasan di Sarawak telah mencecah tahap "amat tidak sihat" manakala keadaan di Semenanjung juga kian serius.


Sebuah pesawat MAS mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dalam keadaan jerebu semakin teruk melanda negeri ini.

Jarak penglihatan di beberapa tempat di Sabah dan Sarawak bertambah buruk akibat jerebu sehingga menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan atau dijadualkan semula.

Satu penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Kuching dibatalkan dan satu lagi yang menggunakan laluan sama telah dilencongkan ke lapangan terbang Sibu.

Penerbangan sebuah pesawat Fly Asian Xpress (FAX) di laluan Kuching-Mukah juga dibatalkan manakala beberapa lagi penerbangan melibatkan pesawat FAX dan AirAsia terpaksa dijadualkan semula akibat jerebu yang ditiup ke negara ini daripada negara jiran.

Bacaan IPU di laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar, cerapan pada jam 5 petang tadi, menunjukkan tahap "amat tidak sihat" direkodkan di Petra Jaya hari ini dengan bacaan 213 berbanding 187 pada hari sebelumnya.

Sepuluh kawasan lagi mencatat IPU "tidak sihat" (101-200) berbanding hanya lapan semalam, termasuk tiga di Semenanjung iaitu di Nilai (116) dan Seremban (106) di Negeri Sembilan dan Bukit Rambai (101) di Melaka.

Kawasan yang mencatat IPU "sederhana" (51-100) pula semakin bertambah kepada 35 kawasan petang ini berbanding 27 pada sebelah pagi, terutama kawasan tengah Pantai Barat Semenanjung, termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Pemandangan di Putrajaya pada jam 1 petang hari ini. (foto China Press)

Di bandar Kuching, jarak penglihatan turun sehingga kurang 400 meter sehingga pukul 4 petang ini, berbanding jarak penglihatan normal 10 km.

Kawasan-kawasan lain yang terjejas teruk termasuk Sibu (1.2 km), Sri Aman (1.5 km), Labuan (1.5 km), Tawau (2 km) dan Sandakan (2 km), menurut cerapan jabatan tersebut sehingga pukul 1 petang ini.

Kluang, Kota Kinabalu, Bintulu dan Limbang masing-masing mencatat kadar penglihatan sejauh 3 km manakala Kuantan dan Muadzam Shah mencatat bacaan 4 km.

Bagaimanapun Jabatan Metereologi Malaysia percaya bahawa keadaan akan pulih dalam beberapa hari lagi berikutan peralihan monsun sekarang.

Peramal cuaca kanan jabatan itu Kamil Ibrahim berkata peralihan monsun barat daya kepada timur laut yang bermula akhir bulan lalu dijangka menghasilkan lebih banyak hujan khususnya di kawasan-kawasan pantai barat dan Malaysia Timur.

"Peralihan monsun dari barat daya ke arah tenggara akan menyebabkan angin kuat dan membawa banyak hujan dan ribut petir menjelang pertengahan bulan ini

"Jerebu tidak akan hilang semua, tetapi cuma akan dikesan di kawasan-kawasan tertentu saja," katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang pengarah di jabatan itu, Low Kong Chiew pula berkata keadaan hujan lebat dan ribut petir yang terjadi berikutan peralihan monsun itu akan berlarutan sehingga ke hari Deepavali dan Aidilfitri, terutama di kawasan pantai barat.

Saki baki taufan Xangsane yang melanda beberapa negara Asia Tenggara baru-baru ini dikenal pasti sebagai pembawa jerebu tersebut.

iklan

iklan

Iklan