X Close

Pemilik kedai emas parah ditembak perompak

Diterbitkan: Selasa 31 Okt, 2006

KUALA TERENGGANU:  Dua termasuk seorang cedera parah apabila dua lelaki bersenjata api melepaskan tembakan semasa merompak sebuah kedai emas di Batu Lapan, Jalan Kota Bharu dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, mangsa yang cedera parah ialah pemilik kedai emas tersebut, Roslan Ali, 45, manakala orang awam, Wan Mokhtar Wan Endut, 38, yang cuba menghalang kedua-dua perompak itu daripada melarikan diri, mengalami cedera ringan.

Roslan yang terkena tembakan di tangan kanan serta peha sementara Wan Mokhtar yang cedera di leher, kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Terengganu (HKT) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Mohd Azmir Mohd Nadzri berkata pada mulanya kedua-dua lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu memasuki kedai emas tersebut dan tiba-tiba seorang daripada mereka melompat ke atas kaunter barangan kemas itu dipamerkan dan memecahkan kaca.

"Pemilik kedai emas itu cuba menghalang kedua-dua perompak itu mengambil barangan kemas tetapi beliau ditembak sebanyak dua kali," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata berikutan tembakan itu, orang ramai cuba menghalang kedua-dua perompak tersebut daripada melarikan diri tetapi semasa mereka berbuat demikian, seorang daripada orang awam ditembak.

Mohd Azmir berkata kedua-dua perompak terbabit melarikan diri menggunakan sebuah kereta ke arah Tepoh dekat sini dan polis telah melancarkan Ops Tutup dengan mengadakan sekatan jalan raya termasuk mendapatkan bantuan polis Kelantan dan Pahang bagi menahan dua penjenayah itu.

Katanya jumlah kerugian yang dialami pemilik kedai emas itu masih disiasat tetapi polis percaya dua perompak itu hanya sempat melarikan barangan kemas dalam jumlah yang kecil kerana panik.

Anggota keluarga dan isteri mangsa, Azizah Mohd Noor, 45, pula enggan ditemubual berhubung kejadian itu.

Sementara itu bapa Wan Mokhtar, Wan Endut Wan Ismail, 70, ketika ditemui di HKT, berkata beliau mengetahui anaknya itu ditembak semasa menjemput cucunya pulang dari Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jiring dekat sini, kira-kira 5 petang.

Beliau berkata anaknya itu memaklumkan kepadanya bahawa semasa dia cuba menendang pintu kereta dalam usaha menghalang kedua-dua perompak itu melarikan diri, seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah beliau.

Wan Endut yang merupakan imam masjid Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam dekat sini, berkata sebelum itu, anaknya sedang minum di sebuah warung berdekatan kedai emas tersebut. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan