X Close

Pelepasan air empangan Chenderoh punca banjir kilat

Diterbitkan: Sabtu 28 Okt, 2006

IPOH: Tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melepaskan air dari Empangan Chenderoh yang melebihi paras bahaya menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kampung Gajah, kira-kira 75 km dari sini mengalami banjir kilat sejak Selasa lepas.

Lebih 200 keluarga membabitkan 23 kampung di lima mukim di daerah tersebut iaitu Mukim Pulau Tiga, Mukim Kampung Gajah, Mukim Pasir Panjang Hulu, Mukim Bandar dan Mukim Pasir Salak terpaksa berhari raya dalam suasana kurang ceria kerana rumah masing-masing masih lagi digenangi air.

Sehingga petang tadi (4.15 petang), keadaan kawasan yang dinaiki air antara satu hingga 1.5 meter masih lagi belum surut dan setakat ini hanya lima orang dari satu keluarga telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Pejabat Daerah Kampung Gajah.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, JPS terpaksa melimpahkan lebihan air di Empangan Chenderoh ke Sungai Perak untuk mengelaknya dari pecah yang berkemungkinan boleh menyebabkan banjir besar berlaku di persekitaran kawasan rendah di negeri ini.

Beliau berkata perkara tersebut telahpun dimaklumkan lebih awal kepada penduduk untuk mereka membuat persediaan yang perlu.

Menurut Pengarah JPS Perak, Abdul Razak Dahalan, air Sungai Perak naik ke paras tertinggi 6.85 meter dan dijangka surut beberapa hari lagi sekiranya tidak berlaku hujan luar biasa.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno Pasir Salak hari ini telah melancarkan Tabung Bantuan Banjir Kilat bagi membantu meringankan beban kesemua mangsa yang terlibat. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan