X Close

Awie bongkar kisah perceraian

Diterbitkan: Khamis 19 Okt, 2006

KUALA LUMPUR:  Penyanyi rock terkenal Awie akhirnya mendedahkan kemelut rumah tangannya dengan Arni Nazira Anuar, sambil mengaku beliau sudah mendirikan rumah tangga baru dengan isteri kedua tahun lepas.

Dalam sidang akhbar yang berterus-terang hari ini, dia juga mendedahkan Arni melepaskan tanggungjawab menjaga dua anak  mereka -- Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4 -- kepadanya selepas perceraian mereka awal minggu ini.


Arni mendahului Awie masuk ke ruang mahkamah yang menyaksikan perceraian mereka Isnin lalu. (foto The Star oleh Nik Naizi Husin)

Tentang isteri barunya itu, Awie, 38, berkata beliau telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan Rozana Misbun, adik pelakon Haliza Misbun.

"Saya bukan seorang kaki perempuan atau mahu berkahwin ramai," katanya.

Dia juga berkata tidak berniat menceraikan Arni dan ingin membesarkan anak-anak mereka bersama-sama.

Awie, ditemani peguamnya Mastuni Mohamad dan anak sulungnya, berkata Arni telah "bersetuju dengan rela hati" untuk melepaskan hak jagaan anak mereka sebagai pertukaran untuk mendapatkan talak di mahkamah syariah.

"Saya tidak berniat melafazkan talak satu kerana pertemuan itu seharusnya untuk sesi berunding. Saya pun meminta hak menjaga anak-anak kami dan tanpa berfikir panjang, dia pun bersetuju," katanya.

Awie dengan penuh emosi dan air mata mempersoalkan kenapa bekas isterinya itu sanggup melepaskan hak menjaga zuriat mereka.

"Saya terkejut. Apakah dosa anak kami sehingga dia sanggup mengabaikan mereka. Dia tidak berfikir bagaimana mereka sangat-sangat merinduinya pada Hari Raya nanti," katanya, sambil menambah Arni "begitu terdesak untuk bebas. "

Mastuni juga membaca kenyataan mahkamah yang menunjukkan mereka berdua bersetuju menyerahkan hak penjagaan anak kepada Awie.

"Dokumen ini hanya perlu diserahkan kepada Mahkamah Tinggi Kuantan," katanya, dengan menambah kenyataan peguam Arni bahawa isu penjagaan akan dibincangkan kemudian adalah salah.

Awie, atau nama asalnya Ahmad Azhar Othman, berkata dia mengambil keputusan membuka cerita semua ini kerana sudah tidak sanggup menelan tuduhan terhadapnya, termasuk daripada ibu mertuanya Noraini Nong beberapa minggu sebelum bercerai.

Beliau berkata sebelum ini dia memilih berdiam diri walaupun dilabel sebagai "Awie brutal, Awie gangster, Awie kaki perempuan, Awie ketua samseng dan macam-macam."

"Malah apabila pertunangan saya (dengan Erra Fazira) putus, saya tidak berkata apa-apa kerana ia suatu hal yang peribadi. Tetapi kali ini ia terlalu peribadi.

"Apabila perkahwinan saya mula goyang dan malah sampai saat ini, saya terus dituduh, difitnah dan dikeji. Anak saya sudah cukup besar untuk membaca dan memahami apa yang terjadi," katanya.

Awie bagaimanapun enggan mendedahkan punca sebenar keretakan rumah tangganya tetapi mengakui bahawa salah satu sebabnya ialah pernikahannya dengan Rozana.

"Apakah dosa saya yang menyebabkan Arni bertekad untuk meminta cerai."

Dia juga berkata dia merahsiakan perkahwinan keduanya untuk mengelak perceraian dengan Arni sementara menanti masa yang sesuai untuk menceritakan sendiri hal itu kepadanya.

"Belum saya sempat, orang lain telah memberitahunya dan mereka berjaya memusnahkan rumah tangga kami," katanya.

Awie berkata dia tidak pernah menafikan pernikahan keduanya dan semua orang tahu mengenainya walau hal itu dirahsiakan daripada pihak media.

Ditanya bagaimana dia merancang untuk merahsiakan hal itu daripada Arni kerana dia membawa Rozana ke mana-mana, Awie berkata dia tidak menyangka hal itu akan sampai ke pengetahuan wartawan.

Awie berkata dia tidak terkilan terhadap Arni tetapi kesal pandangan serong yang digambarkan terhadap mereka.

Ditanya jika Arni berubah fikiran tentang hak penjagaan anak, Awie berkata Arni harus membuktikan dia boleh menjadi seorang ibu yang bertanggungjawab. "Jika dia seorang ibu yang bertanggungjawab, dia tidak akan sanggup meninggalkan mereka."

Dia menyifatkan perkahwinan mereka sebagai "lapan tahun yang penuh tawa dan air mata."

Sementara itu di KUANTAN peguam Arni, Rohaidah Ali berkata ada saluran yang sewajarnya untuk dua bintang seni itu menyelesaikan masalah mereka, termasuk hak penjagaan anak.

Bercakap bagi pihak anak guamnya, Rohaidah berkata langkah terbaik ialah menfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Beliau berkata kedua-duanya telah membincangkan hak penjagaan itu di Mahkamah Rendah Syariah beberapa hari lalu.

"Arni tidak melepaskan haknya untuk menjaga anak-anak itu. Mereka berdua telah berbincang tentang hal ini tetapi ia di luar bidang kuasa mahkamah rendah.

"Perkara ini hanya boleh didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah," katanya.

Rohaidah berkata pertemuan Isnin lepas asalnya untuk mencari perdamaian kerana Awie tidak bersetuju untuk bercerai.

Selepas berbincang seketika, kedua-duanya mengambil keputusan berpisah kerana berasa sudah tidak wujud titik persamaan antara mereka, katanya lagi.

Peguam itu juga berkata Arni tidak senang dengan keputusan Awie memanggil sidang media hari ini, dengan mendedahkan hal-hal peribadi mereka.

"Ada cara yang lebih beradab untuk meredakan perkara ini iaitu melalui proses mahkamah.

"Anak guam saya kecewa kerana dia fikir semuanya telah selesai dengan baik baru-baru ini. Mereka berdua masih boleh berhubung dan dia (Arni) berharap Awie boleh menggunakan saluran itu," katanya.

Berita berkaitan:
Awie cerai Arni talak satu (16 Okt)

iklan

iklan

Iklan