X Close

Hati Siti "berbisik"

Diterbitkan: Rabu 4 Jan, 2006

Bukan topik perkahwinan yang berada di dalam benak penyanyi Nombor 1 Malaysia Siti Nurhaliza Tarudin ketika ini. Dan bukan juga perancangan menuju alam rumah tangga yang sedang dilakukan sekarang. Percaya atau tidak, kenyataannya Siti sibuk membuat perancangan untuk album barunya yang bakal dikeluarkan pada awal bulan depan.

Siti juga sedang sibuk membuat persiapan bagi konsert bergeraknya di 12 kota di seluruh Indonesia pada bulan Mei ini. Anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini juga sedang merangka konsep dan perancangan rapi bagi memeriahkan konsertnya itu.


Siti masih unggul di persada seni. Buktinya, dia akan kembali dengan album terbarunya awal bulan depan (Fail foto: The Star)

Siti yang telah menempa pelbagai kejayaan seni selama 10 tahun ini juga bakal bergelar penerbit album untuk album terbarunya yang bakal lahir pada awal bulan depan.

"Siti rasa sudah samapi masanya Siti cuba menjadi penerbit album. Siti agak "nervous" pada mulanya tapi mujurlah penerbit dan komposer Aubrey Suwito yang juga bertindak sebangai penolong penerbit banyak membantu," jelas penyanyi yang berlesung pipit ini.

Menurut Siti lagi, sudah tiga lagu telah dirakam termasuk Bisakah dari hasil ciptaan Aubrey Suwito, Hati Berbisik dan sebuah lagu yang berentak dance muzik.

Siti juga sedang meneliti sebuah lagu ciptaan Katon untuk dimuatkan di dalam album barunya.

Siti bakal memperkembangkan lagi perniagaan produk teh jenamanya (Fail foto: The Star)

"Sekira tidak sesuai mungkin Siti akan simpan untuk album tradisional yang akan datang. Siti juga turut mencipta dua buah lagu iaitu berentak balada," jelasnya lagi.

Album baru Siti merupakan album solo Siti yang ke 11. Siti telah berjaya menghasilkan 14 kompilasi album dan 4 album konsert menjadikan semua album yang pernah dihasilkannya adalah 25.

Antara lain komposer yang turut terlibat di dalam pembikinan album ini adalah enam orang komposer dari Indonesia termasuk Erin Gutawa, Melly Goeslow, Glenn, Shafiq (komposer baru) manakala komposer dari Malaysia termasuk Yasin, Damian (VE), Cat Ruffedge dan Siti Nurhaliza sendiri.

Ditanya kenapa terlalu lamai komposer Indonesia untuk kali ini, Siti berkata ini adalah secara kebetulan sahaja.

"Ketika diminta untuk memilih lagu yang telah disenarai sebanyak 50 buah lagu itu, tidak terdapat sebarang namapun. Hanya setelah dipilih bersama Aubrey kebetulan lagu-lagu itu ditulis oleh komposer Indonesia," kata penyanyi yang sedang popular dengan lagu Dua Dunia bersama kumpulan Too Phat itu.

Menurutnya lagi, penilaian lagu dilakukan dengan penuh teliti.

"Walaupun lagu ciptaan dari Indonesia, iringan muzik dan gubahannya dilakukan oleh komposer Malaysia seperti Mac Chew dan Jenny Chin."

Album ini dijangka akan diedarkan pada awal bulan hadapan.

Siti yang akan menyambut hari kelahirannya yang ke 27 pada minggu hadapan, sehari selepas Hari Raya Haji, tidak akan meneruskan niatnya untuk membintangi filem "Tiga Dara" seperti yang pernah digemburkan sebelum ini.

"Apa yang dirancang tidak dapat dilaksana kerana beberapa sebab. Salah satu darinya adalah kos perbelanjaan untuk menerbitkan filem ini," jelas Siti lagi.

Siti yang juga menghasilkan produk minuman Ctea merancang untuk mengeluarkan sebuah lagi produk jenis teh yang baru bernama Black Tea.

"Minuman Black Tea banyak khasiatnya. Walaupun SNP Marketing menghadapi banyak pesaing tetapi Siti harap produk tea yang baru ini akan mendapat tempat di hati penggemar minuman sekelian," jelas Siti yang telah mempunyai tiga buah syarikat sendiri - Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd, Siti Nurhaliza Collections Sdn.Bhd. dan Siti Nurhaliza Marketing Sdn.Bhd

Penyanyi yang mula mencipta nama ketika menyertai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) anjuran Radio Televisyen Malaysia, (RTM) pada 1995 ini akan meneruskan karier nyanyian dengan lebih agresif lagi pada tahun ini. Pada awalnya, memang ada di dalam perancangan untuk mengadakan sebuah konsert besar-besaran pada tahun ini.

"Siti tidak berani membuat pengumuman awal selagi tidak ada kata putus dari pihak penganjur. Konsert memerlukan penumpuan yang rapi dan dana yang banyak."

Siti yang juga mencipta nama di dalam "The Malaysia Book Of Records" sebagai penyanyi yang paling banyak menerima Anugerah ini tidak pernah sunyi diuji dengan pelbagai ranjau dan onak cabaran.

Di sebalik mengharungi kes mahkamah yang melibatkan soal maruah dan e-mel fitnah, Siti tetap tenang mengharungi tahun baru ini.

"Siti akan tetap tenang menghadapi semua dugaan tetapi di dalam hati hanya Allah jua yang tahu," ujar anak seni yang bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records Sdn. Bhd (SRC) semenjak 1995.

Soal perkahwinan dengan tokoh korporat yang bergelar Datuk K pula bagaimana?

"Tu yang Siti tak faham. Biarlah apa orang nak kata. Sampai masa orang tahu juga," ujarnya perlahan.

iklan

iklan

Iklan